saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 16/08/2008

Saiful bersumpah


MOHD. Saiful Bukhari Azlan melafazkan sumpah sambil diperhatikan oleh bapanya, Azlan Mohd. Lazim (kanan) dan imam masjid, Ramlang Porigi (kiri) di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 15 Ogos – Mohd. Saiful Bukhari Azlan hari ini mengotakan janjinya untuk bersumpah laknat (mubahalah) mengikut syariat Islam bagi membuktikan kebenaran dakwaan dirinya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam upacara yang berlangsung di Dewan Solat Utama Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini pada pukul 6.25 petang, Mohd. Saiful, 23, melafazkan sumpah itu disaksikan oleh bapanya, Azlan Mohd. Lazim dan salah seorang imam masjid itu, Ramlang Porigi.

Sambil duduk bersila menghadap kiblat, bekas pembantu peribadi Anwar itu yang bersongkok dan berbaju Melayu warna coklat memegang al-Quran ketika melafazkan sumpah berikut:

“Bismillahir rahmanir rahim. Pada hari ini, 15 Ogos 2008, saya Mohd. Saiful Bukhari Azlan, nombor kad pengenalan 850706-01-5687, sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut:

“A'uzubillahi minas syaitanir rajim. Bismillahir rahmanir rahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam lubang dubur saya.

“Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah SWT dan saya sanggup menerima azab, dilaknat dan kutukan daripada Allah SWT sehingga kiamat. Wallahualam.”

Mohd. Saiful yang memilih hari Jumaat untuk melakukan upacara bersumpah tersebut sebelum itu mengucapkan kalimah syahadah sebanyak tiga kali, diikuti bacaan surah Al-Fatihah.

Majlis itu berlangsung selama 15 minit.

Turut dilihat berada di masjid itu ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, beberapa pegawai masjid tersebut serta ahli keluarga Mohd. Saiful.

Seramai 40 orang berkumpul di dalam dewan solat itu ketika Mohd. Saiful bersumpah.

Upacara bersumpah laknat adalah suruhan mengikut syariat Islam yang terkandung dalam al-Quran sebagai cara membuktikan kebenaran sesuatu tuduhan zina apabila tidak boleh membawakan saksi-saksi.

Perintah untuk membawa saksi dan juga bersumpah laknat itu terkandung dalam Surah al-Nur, ayat 4, 6 dan 9, kitab suci al-Quran.

Dalam kes liwat Anwar dan Mohd. Saiful, saranan untuk bersumpah laknat atau bermubahalah itu dicetuskan oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin pada 3 Julai lalu.

Mohd. Saiful menerusi peguamnya sebelum ini telah menyatakan kesediaan untuk melakukan sumpah laknat selepas selesai siasatan polis terhadap laporan yang dibuatnya pada 28 Jun lalu berhubung dakwaan diliwat oleh Anwar.

Dalam laporannya, Mohd. Saiful menuduh Anwar meliwatnya beberapa kali, kali terakhir pada 26 Jun lalu.

Pada 7 Ogos lalu, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan melakukan seks luar tabii bersama Mohd. Saiful.

Anwar, 61, didakwa melakukan perbuatan itu pada 26 Jun lalu antara pukul 3.01 dan 4.30 petang di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Anwar dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dan kes itu akan disebut semula pada 10 September ini.

Sementara itu, selepas upacara bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan, Mohd. Saiful yang diiringi bapanya bergegas meninggalkan masjid dan enggan menemui para wartawan yang ingin menemu ramah beliau.

Beliau terus menuju ke Hotel Dynasty di Jalan Ipoh di sini bagi mengadakan sidang akhbar selama setengah jam bermula kira-kira pukul 7.30 petang.

Pada sidang akhbar itu, Mohd. Saiful memberitahu, beliau bersyukur kepada Allah dan berasa sangat lega sejurus selesai melakukan upacara bersumpah itu.

Tegasnya: “Saya amat memahami akibat bersumpah dengan nama Allah. Jika ia tidak benar atau satu ciptaan saya atau mana-mana pihak, maka saya akan dilaknat, ditimpa mala petaka serta bencana kepada diri saya, keluarga serta keturunan saya selama-lamanya.”

Beliau menafikan sengaja bersumpah dan bertemu wartawan hari ini iaitu sehari sebelum penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh yang melibatkan Anwar sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Secara kebetulan saja. Kalau nak ikutkan, saya pun tak tahu Anwar akan bertanding. Saya buat laporan pada 28 Jun lalu. Saya pun tak tahu bila dia akan bertanding.

“Selama ini saya mencari kekuatan mental dan rohani. Allah telah beri kekuatan kepada saya pada hari ini iaitu Jumaat, hari yang sangat dirahmati Allah,” ujarnya.

Menurut Mohd. Saiful, langkah beliau bersumpah laknat hari ini bukan hal politik sebaliknya ia adalah kes peribadi antara dirinya dan Anwar.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.