saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 17/08/2008

Pertandingan tiga penjuru


Arif Shah Omar Shah (menunjukkan tanda bagus) bersama Hanafi Mamat (tengah) dan Anwar Ibrahim selepas selesai proses penamaan calon di Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam.


BUKIT MERTAJAM 16 Ogos - Pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

BN yang diwakili calonnya, Datuk Arif Shah Omar Shah, 52, akan menentang Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 61 dan Presiden AKIM, Hanafi Mamat, 51.

Pada awalnya, pilihan raya kecil itu seakan bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru apabila bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang, Dr. Mansor Othman turut menyerahkan borang pencalonan atas tiket Bebas.

Bagaimanapun Dr. Mansor secara mengejut menarik diri tanpa sebab sebelum pengumuman calon dibuat menyebabkannya kehilangan wang deposit RM10,000. Ini kerana tindakannya itu dilakukan selepas pukul 10 pagi, tempoh penyerahan borang pencalonan tamat.

Arif, mengemukakan kertas pencalonannya pada pukul 9.03 pagi dengan dicadang oleh Abdul Kalam Ahmad dan disokong oleh Normala Abdul manakala Anwar menyerahkan borang sembilan minit kemudian dengan pencalonannya dicadangkan oleh Ibrahim Ahmad dan disokong oleh Mohd. Hamdan Abdul Rahman.

Hanafi yang mengemukakan borang pada pukul 9.40 pagi, dicadangkan oleh Lockman Abdul Rahman dan disokong oleh Romli Musa.

Nama ketiga-tiga calon bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, Roslan Yahya di Dewan Aminuddin Baki, Institut Perguruan Tuanku Bainun (IPTB) di sini kira-kira pukul 11.45 pagi.

Mereka disahkan bertanding bagi kerusi Parlimen kawasan tersebut selepas tamat tempoh waktu bantahan selama sejam bermula 10 pagi.

Sementara itu Arif tiba paling awal di pusat penamaan itu diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pemimpin BN dan penyokongnya kira-kira pukul 8.30 pagi.

Sementara itu, Anwar yang memakai baju Melayu biru diiringi isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, tiba pada pukul 8.40 pagi bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin gabungan Pakatan Rakyat.

Parlimen Permatang Pauh mempunyai 58,459 pemilih berdaftar terdiri daripada 57,969 pengundi biasa dan 490 pengundi pos yang layak membuang undi pada pilihan raya kecil yang pertama diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu.

Anwar yang menguasai kerusi Parlimen itu sejak 1982 sehingga beliau dipecat daripada UMNO pada September 1998, diberi laluan oleh Wan Azizah yang meletak jawatan pada 31 Julai lalu.

Sementara Arif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Seberang Jaya merupakan rakan rapat Anwar ketika pemimpin PKR itu menjadi Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh.

Hanafi pula pernah bertanding dalam pilihan raya umum 1990 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri di Kelantan atas tiket Bebas tetapi gagal.

AKIM yang didaftarkan sebagai parti politik pada 16 Februari 1995 dan mempunyai 10,000 anggota di seluruh negara juga pernah meletakkan calon di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri di Kelantan pada pilihan raya umum 1996 tetapi kesemuanya tewas.

Sementara itu, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima lima bantahan tetapi tiada pencalonan yang ditolak.

Mengulas mengenai tindakan Dr. Mansor yang tiba-tiba menarik diri, Kamaruzaman berkata:

"Beliau (Dr. Mansor) menarik diri pada pukul 11.15 pagi tanpa memberi sebarang alasan. Beliau memaklumkan sudah ubah fikiran dan enggan meneruskan hasrat bertanding.

"Secara keseluruhannya, SPR berpuas hati dengan perjalanan hari penamaan calon hari ini," katanya.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.