saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 19/08/2008

Dakwah ABIM manhaj Maliziy


DR.HASSAN Ahmad menyampaikan pendangan beliau semasa membentangkan kertas kerja pada seminar ABIM di Negeri Sembilan, Sabtu lalu.


“Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Demikian ungkapan yang sering kita dengar bagi menggambarkan betapa besarnya harapan dan tanggungjawab pemuda-pemudi atau belia dan beliawanis di negara ini.

Tanggungjawab itu lebih berat bagi para belia Islam sebagai pelapis kepada kepimpinan negara di masa hadapan. Mereka bukan sahaja perlu bersatu memperkukuhkan perpaduan tetapi juga melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu bagi memastikan kedudukan Islam sentiasa di tempat yang tinggi.

Menyedari hakikat itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menekankan keperluan memantapkan aspek dalaman gerakannya. Ini merangkumi persoalan tarbiah (pendidikan), tazkiah (penyucian jiwa) dan kerohanian.

Presidennya, Yusri Mohamad berkata, ijtihad ini bertujuan menggarap sisi yang agak terabai, mengisi yang agak lompong dan memperkasa aspek yang kurang kuat.

“ABIM juga perlu meningkatkan keseimbangan antara teori dan amali, fahaman dan amalan manhaj (pendekatan) gerakan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar bertajuk ‘Memperkasa Perjuangan Agama dan Bangsa Dalam Lanskap Politik Baru’ pada Seminar Islam dan Cabaran Semasa ABIM di Pusat Dakwah Islam, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Seminar sehari itu diadakan bersempena Muktamar Sanawi ke-37 ABIM. Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan termasuk ‘Islam, Negara dan Masyarakat di Alam Melayu Moden: Cabaran Kepelbagaian Budaya dan Demokrasi’.

Ahli panel yang membentangkan kertas kerja itu ialah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Datuk Dr. Siddiq Fadzil, Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Pengarah Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia, Datuk Dr. Hassan Ahmad.

Menurut Yusri, ABIM turut memperjuangkan agenda Melayu kerana Islam dan Melayu itu tidak boleh dipisahkan.

Katanya, harus diingat makna Melayu itu sendiri mengikut Perlembagaan negara tidak dapat dipisahkan dengan Islam.

“Tambahan pula, hakikatnya majoriti besar umat Islam di Malaysia adalah bangsa Melayu. Lemahnya Melayu tidak dapat tidak akan melemahkan Islam di negara kita,” jelasnya.

Modenis-reformis

Yusri berkata, walaupun turut terimbau dengan aliran modenis-reformis namun ABIM beruntung kerana tidak mengikuti aliran itu secara menyeluruh.

Aliran tersebut antara lain kurang menghargai sumber dan khazanah tradisi Islam dan terlalu kuat menekankan perubahan terhadap sistem seperti politik, ekonomi dan sosial walaupun yang diwarisi dari kerangka Barat.

Katanya, ABIM bertuah kerana mendapat pelbagai sentuhan dan pengaruh yang mencorakkan pertubuhan itu sebagai gerakan yang menghargai khazanah tradisi.

“Ini tergambar dalam rangkaian ulama dan pemikir yang menjadi ideologi-ideologi ABIM, bahan rujukan dan terbitan serta seminar-seminar tokoh yang kita anjurkan.

“Ia juga tergambar dalam sebahagian manhaj gerakan pelbagai sikap dan pendirian ABIM termasuk sebahagian daripada manhaj Maliziy, salah satu konsep yang mencorakkan pendekatan gerakan kita,” katanya.

Muktamar itu dihadiri oleh lebih 500 peserta dari seluruh negara termasuk beberapa pemerhati dari Indonesia, Selatan Thailand dan Turki.

Turut dilancarkan adalah Projek Kewangan ABIM 25 (PKA 25) merupakan projek khas yang diberi nafas baru. Pengembelengan projek ini adalah bertujuan memperkasa perjalanan dan gerak kerja ABIM seperti melengkapkan ABIM dengan sumber manusia terbaik, prasarana organisasi, saluran komunikasi penerbitan dan projek-projek khusus yang dirancang.

Hal ini selaras dengan fungsinya menerusi pendekatan pembela, prihatin dan pendidik. Oleh itu, mekanisme PKA 25 disusun untuk memudahkan anggota dan individu yang menyokong perjuangan ABIM melakukan amal jariah.

Namun begitu, cabaran yang lebih rencam mendorong ABIM melakukan persedian secara lebih tersusun dalam memastikan jentera dan sumber manusia yang ada cukup kompeten untuk menggerakkan program dakwah, advokasi dan pendidikan untuk umat. Semua ini adalah sangat penting dalam membina masyarakat Islam untuk menghadapi cabaran politik, ekonomi dan sosial dewasa ini.

Yusri berkata, PKA 25 adalah nama kepada projek sumbangan dana oleh ahli ABIM secara tetap sebanyak RM 25 setiap bulan kepada tabung ABIM.

“Sumbangan itu adalah satu bentuk amal jariah kepada masyarakat secara berkala dan konsisten. Sebabnya, walaupun money is not everything, but everything is money,” jelasnya.

Sementara itu, Profesor Akademi Kajian Melayu, Universiti Malaya, Prof. Dr. Awang Sariyan berkata, falsafah pendidikan bahasa itu mesti selari dengan Falsafah Pendidikan Negara.

“Pertama, dari segi upaya pengembangan berterusan potensi individu secara seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

“Kedua daripada segi sumbangan bahasa terhadap pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja Islam sebagai teras Ilmu, Bahasa dan Budaya Melayu.

Dr. Awang berkata, kini budaya ilmu semakin dikesampingkan akibat kurang penghayatan terhadapnya.

Katanya, ini membawa kepada hilangnya keberkatan apabila para ilmuwan ‘dizalimi’ dari segi kepakaran mereka tidak dijadikan asas membuat sesuatu dasar.

Ini termasuklah dalam bab pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

“Saya berharap dapat diwujudkan pemikir untuk Islam supaya kita tidak kehilangan barakah dan rahmat dalam keilmuan,” jelasnya.

Sempena muktamar itu, turut diadakan forum perdana bertajuk Memperkasa Perjuangan Agama dan Bangsa di Masjid Bandar Baru Senawang, Negeri Sembilan.

Ahli panelnya ialah Timbalan Presiden ABIM, Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran dan Yang Dipertua ABIM Negeri Sembilan, Shamsul Azhar Yahya.

Gerai-gerai jualan turut disediakan untuk kemudahan para pengunjung dan peserta membeli pelbagai barangan untuk dijadikan oleh-oleh apabila pulang ke rumah masing-masing.

Adalah diharap semua pihak terutama umat Islam di negara ini menghargai kenikmatan hidup aman damai dan harmoni serta berusaha mengekal dan memperkukuhkan lagi perpaduan.

Ingatlah firman Allah: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka... (ar-Ra’d: 11)

Apa kata pemerhati asing

“Muktamar ABIM ini memberi peluang kepada saya mewujudkan rangkaian kerjasama dalam bidang dakwah.

“Kerjasama itu meliputi bagaimana mengangkat tokoh ulama kedua-dua negara untuk membangunkan Islam tanpa mempolitikkannya.

“Inilah juga perjuangan kami di Indonesia untuk mengembalikan ajaran Islam mengikut al-Quran dan sunnah,” katanya.
- IRFAN ALI R. ANSHARY, penuntut Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta.

“Walaupun ini kali pertama menghadiri muktamar ABIM, saya melihat ia berjaya sebagai wadah memperjuangkan Islam.

“ABIM juga dilihat mampu menyatukan umat Islam di Malaysia melalui pendekatannya yang sederhana.

“Saya berharap dapat memperluaskan lagi kerjasama dengan ABIM selepas ini,” katanya.

- NASRUL, wakil pemerhati dari Pesantren Buya Hamka, Sumatera Barat, Indonesia.

“Kami dan ABIM sudah menjalin persahabatan yang cukup lama ibarat ‘adik dengan abang’.

“Ucapan dasar Presiden ABIM, Yusri Mohamad tentang memperkasa agama dan bangsa itu boleh kami jadikan sebagai pengajaran untuk memajukan lagi umat Islam di selatan Thailand.

“Dari segi dakwah, kami turut menganjurkan kelas agama untuk belia seperti kelas qiraati dan kempen Anti-HiV,” kata beliau.
- NIK MOHD. NASIR NIK ABDULLAH, Presiden Persatuan Muslim Muda Thailand.

Peserta seminar

“Muktamar kali ini membincangkan isu-isu berkaitan Islam yang bersifat setempat.

“Perbincangan tentang soal bangsa Melayu juga membuktikan bahawa ABIM memperjuangkan hal yang merentasi sempadan politik dan budaya.

“Cuma muktamar kali ini tidak membincangkan secara khusus isu berkaitan wanita,” katanya.
- HAZLINA ABDUL RAZAK, Ketua Helwa ABIM Selangor

“Seminar yang diadakan kali ini memang baik kerana ia membicarakan secara menyeluruh tajuk bangsa dan agama.

“Perkembangan ini antara lain hikmah natijah pilihan raya umum ke-12.

“Saya akan menyampaikan segala maklumat di dalam seminar dan muktamar ini kepada ahli-ahli lain menerusi usrah yang dijalankan,” jelasnya.
- SUZANA JA’AFAR, Ketua Helwa Serdang, Selangor

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.