saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 20/08/2008

Siti jelas aset RM50 juta


SEMPAT lagi bermesra dengan kanak-kanak yang diundang khas untuk menyanyi bersamanya menerusi lagu Kau Ku Sayang.


BARU-BARU ini, dalam ruangan Papa Gosip yang disiarkan dalam akhbar ini ada menyiarkan kisah penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza yang dikatakan mempunyai aset bernilai RM50 juta.

Cerita itu yang dipetik berdasarkan laporan laman sesawang MTV Asia Awards yang turut menyenaraikan Siti sebagai antara penghibur terkaya di Asia Tenggara.

Jika dihitung pembabitan Siti dalam bidang seni selama 13 tahun, rasanya tidak mustahil untuk beliau mempunyai aset sebanyak itu.

Ketika bertemu dengan Siti sewaktu rakaman program hari raya, Eksklusif... Siti Nurhaliza Bersama Peminat terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini, Siti tidak terlepas daripada ditanya mengenai kebenaran di sebalik cerita tersebut.

Dengan melemparkan sekuntum senyuman manis, Siti dengan penuh hemah memberikan penjelasan.

“Memang saya agak terkejut mendengar cerita itu dan pelik juga dari mana mereka mendapat berita itu. Setakat ini, saya bersyukur dengan apa yang saya miliki dan jujurnya, aset saya belum lagi sampai ke tahap itu.

“Pastinya, saya juga mengimpikan untuk mempunyai aset sebanyak itu. Untuk memiliki nilai aset sebesar itu ia mestilah dari usaha dan kerja keras kerana ia tidak akan datang bergolek. Insya-Allah, mana tahu masin mulut anda semua, dapatlah saya memiliki aset seperti yang dikatakan itu,” katanya ketawa manja.

Berbalik kepada perancangan seninya, Siti turut memberitahu, dia kini dalam usaha untuk mengadakan sebuah konsert khusus untuk peminatnya yang sekian lama mendambakan persembahan istimewa daripadanya.

Kali ini, jelas Siti, bukan sekadar konsert biasa tetapi ia lebih kepada sebuah konsert amal dengan kerjasama Yayasan Nurjiwa yang diusahakan bersama suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Tambahnya, hasil daripada penjualan tiket itu kelak adalah untuk membantu artis-artis veteran yang uzur dan kurang bernasib baik dalam usaha meringankan beban mereka.

“Alhamdulillah, pihak saya iaitu Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. (SNP) sudah pun menyiapkan kertas kerjanya dan kami akan berusaha untuk mencari penaja bagi merealisasikan konsert ini.

“Seandainya semua berjalan lancar, saya berharap dapat melaksanakan konsert ini sebelum penghujung tahun ini.

“Mungkin juga kami akan membuat dua konsep iaitu sebuah konsert biasa dan juga persembahan makan malam. Semuanya bergantung kepada keadaan juga,” kata Siti yang kelihatan makin langsing dan anggun.

Kali terakhir Siti mengadakan konsert adalah pada tahun 2007 iaitu Konsert Istana Cinta Nostalgia Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma yang berlangsung di Istana Budaya yang mendapat sambutan yang cukup hebat sepanjang dua hari diadakan.

Berbicara tentang konsert ini, sudah pasti dengan kedudukan Siti sekarang ini, beliau sudah layak untuk mendendangkan lagu-lagunya di sebuah pentas yang cukup berprestij.

Salah satunya adalah di Dewan Filharmonik Petronas yang sememangnya cukup terkenal dengan pemuzik orkestranya yang bertaraf dunia.

Apabila diajukan pertanyaan itu kepada Siti, dia tidak menafikan mempunyai keinginan untuk beraksi di pentas bertaraf dunia itu.

“Memang saya ada hajat untuk beraksi di pentas itu tetapi buat masa ini belum ada sebarang perancangan lagi. Tengoklah nanti macam mana,” jelasnya yang kini cukup popular dengan single terbarunya, Wanita.

Siti juga sempat ditanya tentang pelayaran bahtera cintanya bersama suami yang sudah pun memasuki tahun kedua esok (21 Ogos).

Jelas Siti, dua tahun itu sudah cukup mematangkan dirinya untuk lebih mendalami maksud perkahwinan itu sendiri.

“Dalam tempoh dua tahun ini, saya banyak belajar untuk mengenali erti bertolak ansur dan bagaimana untuk menjaga hati suami.

“Setakat ini, semuanya berjalan dengan baik dan saya mengharapkan perkahwinan ini akan berkekalan sehingga ke akhir hayat kami berdua.

“Biasalah, kalau dah nama pun suami isteri, kalau tak bergaduh, tak sahlah kan? Tetapi, daripada situ, saya belajar bagaimana hendak memujuk hati suami kalau dia tengah marah.

“Janganlah pula ditambah lagi kemarahannya. Apa yang penting, doakanlah kebahagiaan kami sampai bila-bila,” ucap Siti penuh harapan.

Bercerita lanjut tentang program hari raya bersama RTM, Siti dengan penuh teruja memberitahu konsepnya amat berbeza dengan program raya yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Ini kerana katanya, buat julung kalinya, ia dapat mengumpulkan peminat istimewanya yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) dan pasukan daripada unit beruniform.

“Malah, konsep kali ini juga tidak menonjolkan suasana raya itu sendiri. Apabila diberikan idea ini oleh pihak RTM, saya terus bersetuju dan saya sendiri tidak sabar untuk beraksi bersama mereka.

“Dari segi pemilihan lagu pula, hanya sebuah lagu raya sahaja yang akan didendangkan iaitu Sesuci Lebaran dan selebihnya adalah lagu-lagu pop dan klasik yang diberi nafas baru,” kata Siti lagi.

Antara peminat istimewa yang diundang bagi memeriahkan rancangan ini adalah Kompleks Penyayang BAKTI, Rumah Juara Anak Yatim Petaling Jaya, Persatuan Dyslexia Malaysia dan Taman Sinar Harapan Cheras.

Pasukan unit beruniform pula terdiri daripada polis, polis trafik dan FRU yang mewakili Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia yang merangkumi tentera darat, laut dan udara.

Eksklusif... Siti Nurhaliza Bersama Peminat yang diterbitkan oleh Azman Hashim itu menyaksikan Siti mengalunkan lagu-lagu yang bertemakan cinta dan kasih sayang sesuai dengan konsep yang ditampilkan.

Antara lagu-lagu lain yang turut disampaikan oleh Siti ialah Ku Mahu, Bukan Cinta Biasa, Biarlah Rahsia dan tidak ketinggalan lagu Ketahuan yang dipopularkan oleh kumpulan dari seberang, Matta.

Jelas kelihatan daripada mereka yang hadir pada malam itu terasa dekat bersama Siti apabila Siti datang kepada mereka dan mengambil peluang bermesra bersama.

Bukan itu sahaja, saat Siti mengalunkan lagu Kau Ku Sayang, terpancar ciri-ciri keibuan di wajah biduanita muda negara ketika dia dikelilingi oleh kanak-kanak istimewa.

Menariknya program ini juga, Siti turut menyampaikan lagu-lagu klasik yang ditujukan kepada peminat istimewanya pada malam itu iaitu rangkaian lagu-lagu seperti Si Baju Hijau, Penawar Rindu dan Pahlawanku.

Malah, penghayatan Siti menerusi lagu Pahlawanku sungguh menusuk di kalbu sehingga Auditorium Perdana senyap sunyi dengan lontaran vokal mantap Siti.

Mungkin sudah sampai masanya Siti harus merakamkan semula lagu itu kerana lenggok lagu itu cukup cocok dengannya.

Begitu juga dengan lagu Penawar Rindu yang menyaksikan Siti sempat menyanyikannya bersama seorang peminat veteran yang bernama Makcik Fatimah. Siap menari bersama lagi sehingga menimbulkan gamat di dalam dewan.

Buat peminat Siti Nurhaliza, pastikan temu janji anda untuk menyaksikan persembahan istimewa ini sebagai santapan Syawal anda hanya di RTM2.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.