saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 29/08/2008

Pembakar semangat Aznil




PENGACARA nombor satu negara, Aznil Nawawi sudah pasti mampu tersenyum puas dengan segala kejayaan yang dimilikinya setelah mengharungi onak dan duri dalam meniti hidup sebagai seorang anak seni.

Sudah pasti segala-galanya memberikan seribu kemanisan buat pengacara kesayangan ramai ini dan tiada apa yang lebih indah apabila dia kini berjaya membuka satu lagi lembaran baru dalam karier seninya.

Buat pertama kalinya, Aznil diiktiraf oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Anugerah Galakan Keterampilan Berbahasa Televisyen 2007 menerusi rancangan kendaliannya, Macam-Macam Aznil (MMA).

Anugerah itu bakal diberikan kepada Aznil kerana berjaya memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di dalam rancangan MMA pada majlis anugerah Citrawangsa 2007 yang akan diadakan pada Oktober depan.

Saat ditemui pada majlis pelancaran album mininya yang berjudul Aznil, baru-baru ini, pengacara tersohor ini tidak dapat lagi menyembunyikan perasaan gembira dan terkejutnya saat dikhabarkan tentang berita baru itu.

Apa yang penting, kata Aznil, dengan pengiktirafan itu setidak-tidaknya ia mampu mengikiskan pelbagai gambaran negatif yang pernah dilabelkan terhadap rancangan hiburan.

“Mungkin ini juga rezeki selepas saya pulang daripada mengerjakan umrah baru-baru ini kerana sebaik sahaja saya tiba, saya menerima surat tahniah dari DBP yang memaklumkan kemenangan saya itu.

“Apa yang membanggakan dan membuat saya terharu apabila anugerah ini diberikan atas nama tiket hiburan yang sebelum ini dikatakan tidak menjana minda serta tidak mampu untuk mengangkat bahasa ibunda ke peringkat yang sebetulnya.

“Tetapi dengan anugerah ini membuktikan rancangan santai seperti MMA juga mampu mendidik serta memberi pendedahan kepada masyarakat tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul,” katanya penuh makna.

Pengacara program Kring Kring dan Jangan Lupa Lirik! ini juga tidak pernah menyangka sama sekali bahawa rancangannya diperhatikan oleh pihak seperti DBP dan seterusnya memberikannya dengan anugerah yang telah menjadi pembakar semangat kepadanya untuk terus memartabatkan bahasa Melayu.

“MMA mungkin sebuah rancangan yang begitu santai dan pada pandangan ramai, agak mustahil untuk mengetengahkan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Tetapi di sebalik menghiburkan penonton menerusi rancangan itu, saya mahu mendidik masyarakat untuk terus menghargai bahasa ibunda kita yang cukup indah itu,” jelasnya lagi.

Aznil juga menyatakan pendapatnya apabila rancangan berbahasa Melayu juga mampu diangkat ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebagai contoh, Aznil pernah mengecapi nikmat itu apabila MMA berjaya menewaskan rancangan berbahasa Inggeris yang lain untuk dinobatkan sebagai Program Bual Bicara Terbaik di Asian Television Awards 2005.

Berbicara tentang kerjaya seninya yang terus mengharum bagai bunga di taman sari, Aznil ternyata teruja apabila album mininya akhirnya berjaya dilancarkan.

Mungkin ramai yang terlupa bahawa Aznil pernah melahirkan album sulungnya sekitar tahun 1996 dan ironinya, tajuk albumnya itu menggunakan judul Macam-Macam Aznil.

Mungkin untuk dibandingkan dengan kehebatan penyanyi lain dengan Aznil seperti itu, bagaikan langit dan bumi dari segi penjualan album namun, Aznil boleh berbangga kerana selebriti sepertinya ketika itu berjaya membuat penjualan album sebanyak 12,000 unit.

Untuk itu, penantian anak jati Kuala Lumpur ini untuk melihat albumnya terbarunya itu sudah pun menjengah pasaran ternyata berbaloi apabila lagu-lagunya semakin mendapat perhatian.

Lagu-lagu seperti Profesor Klon, Jangan Cepat Marah dan Teramat Sangat menjadi siulan dan kegemaran para peminatnya khususnya peminat cilik dan remaja yang begitu mengaguminya.

Adalah tidak adil untuk membandingkan vokal Aznil dengan penyanyi lelaki lain seperti Anuar Zain, Faizal Tahir mahupun Jamal Abdillah, namun, keistimewaan Aznil terletak pada karakter vokalnya yang mampu menghidupkan setiap lagu yang dinyanyikannya.

Luah Aznil, dia pernah bertegang urat dengan penerbit albumnya, Edry Abdul Halim yang begitu mempercayai kebolehan Aznil dalam menyampaikan lagu-lagu komedi dan humor.

Kini, single terbarunya, Toyol yang turut dimuatkan dalam album berkenaan sedang ligat berputar di radio dan mendapat sambutan yang cukup hebat.

Ditanya mengapa lagu Toyol yang dipilih untuk dirakamkan semula, Aznil menjelaskan, dia sengaja memilihnya untuk peminat dan pendengar untuk mengenang kembali fenomena lagu itu satu ketika dahulu yang pernah didendangkan oleh penghibur pujaan Aznil, Allahyarham Sudirman Arshad.

“Malah, ketika itu juga saya begitu obses dengan komik Toyol yang pernah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia. Jadi, kerana itu juga saya merakamkan kembali lagu Toyol ini,” ujar bapa tunggal ini lagi.

Satu hasrat yang dipendam oleh Aznil adalah apabila dia berhajat untuk merakamkan kembali lagu-lagu Sudirman tetapi diberi nafas baru dengan sentuhan magis KRU.

“Saya juga percaya seandainya arwah Sudir masih hidup, beliau pasti akan menggunakan khidmat KRU untuk mewarnakan albumnya.” kata Aznil penuh optimis.

Dalam pada itu juga, Aznil turut akan turun padang bagi menjayakan promosi album mininya itu dan destinasi pertama adalah di Pentas Utama Times Square, First World Plaza, Hotel First World Hotel, Genting Highlands.

Promosi itu merupakan sebuah showcase yang diberi nama Meet Uncle Azni yang akan diadakan esok bermula pukul 2 petang.

“Saya mahu berjumpa dan menghiburkan peminat saya terutama kanak-kanak yang banyak menyokong kerjaya saya selama ini. Showcase ini adalah untuk mereka dan saya berharap mereka akan datang dan sama-sama memeriahkan majlis,” kata Duta Kanak-Kanak Astro ini penuh harapan.

Pada sebelah malamnya pula, Aznil dan barisan artis popular yang lain akan terlibat dengan persembahan sempena konsert Ambang Merdeka.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.