saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 29/08/2008

Nokhtah hidup Ahmad Mahmud


TAMPAN dan bergaya. Karisma Ahmad Mahmud sebagai hero filem Melayu tidak boleh dinafikan.


TIADA perasaan lain yang berkocak dalam fikiran saya selain daripada ralat sebaik menerima kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada aktor Zaibo, malam kelmarin.

Kiriman SMS yang memaklumkan pemergian seniman tersohor negara, Datuk Ahmad Mahmud ke rahmatullah menyebabkan saya menarik nafas penuh kekesalan.

Tiga hari sebelum itu, saya dan teman sepejabat Tengku Khalidah Tengku Bidin (Pengarang Hiburan KOSMO!) merancang untuk menziarah Allahyarham di kediamannya selepas mendapat perkhabaran beliau sudah tenat.

Namun, takdir menentukan segala-galanya. Saya dan Tengku Khalidah tidak berpeluang bertemu beliau sehinggalah Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10 malam 27 Ogos lalu (Rabu).

Seniman yang sangat terkenal menerusi watak Dr. Ismadi dalam filem hebat arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Ibu Mertuaku itu pergi membawa bersama segala kemasyhuran yang pernah dibina ketika hayatnya bergelar anak wayang.

Ahmad Mahmud berangkat ke sebuah kehidupan baru dengan meninggalkan isteri, anak-anak dan cucu-cucu yang pastinya akan merindui seorang lelaki yang pernah membuat jutaan penonton terpukau dengan kehebatannya di layar perak.

Pemergian seniman hebat seperti Ahmad Mahmud mengingatkan saya pada nota Sasterawan Negara, Usman Awang yang pernah merakamkan gambaran kehidupan seorang seniman di hujung usia mereka menerusi puisi Arca Dan Puisi yang dihasilkan pada tahun 1973.

Bila lahad terbuka dan keranda diturunkan, berakhirlah satu kehidupan insan

Di sini perbatasan dunia fana dan alam baka

Di sini palang pintu hayat, perhentian penghabisan yang meletakkan batu tanda sebuah pusara

Seorang seniman telah berangkat. Yang tinggal dan kekal ialah pohon seninya yang bakal berdiri di tengah jantung seribu kota dan desa

Kini, tirai telah turun. Tepukan gemuruh penonton telah sepi di pentas yang telah padam lampunya

Jika diteliti sebahagian daripada bait demi bait puisi itu, ia tidak mungkin untuk tidak dikaitkan dengan seniman hebat seperti Ahmad Mahmud.

Kehidupan yang dinoktahkan oleh seniman Ahmad Mahmud malam kelmarin membuatkan kita mula menyelak lembaran sejarah seni yang ditinggalkan oleh beliau.

Ya, Ahmad Mahmud semasa aktif sebagai pelakon, matlamatnya ketika itu sudah tentu mementingkan kebahagiaan dan kegembiraan orang lain mengatasi kebahagiaan dan kegembiraan diri sendiri.

Namun suasana berbeza terasa pada tengah hari semalam. Ketenangan dirasakan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara, Kuala Lumpur ketika Ahmad Mahmud berangkat sendirian ke alam barzakh.

Dan sebaik jenazahnya diturunkan ke liang lahad dan talkin dibacakan selepas solat Zohor semalam, terputus sudah hubungan seorang hamba dengan kehidupannya di dunia.

Begitu juga dengan Ahmad Mahmud.

Segala-galanya ditinggalkan seniman yang banyak mewarnai dan menceriakan dunia perfileman tempatan.

Yang kekal hanyalah pohon seninya yang bakal berdiri di tengah jantung seribu kota dan desa

Tengah hari semalam juga, kaum keluarga, rakan-rakan terdekat, rakan-rakan seperjuangan dan ahli masyarakat yang lain berada di situ untuk sama-sama meredai pemergian seniman berusia 81 tahun yang menderita akibat penyakit buah pinggang sejak tujuh tahun lepas.

Pemergian anak seni tulen itu akan kita anggap sebagai suatu kehilangan yang tidak berganti.

Sebagai rekod, Ahmad Mahmud merupakan antara generasi terawal yang aktif dalam gelanggang filem Melayu bersama-sama dengan tokoh seangkatannya seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Siput Sarawak, Datuk Sarimah Ahmad, Allahyarham Normadiah, Allahyarham Nordin Ahmad dan ramai lagi.

Tiada siapa yang akan mudah lupa lakonan hebat Allahyarham sebagai Dr. Ismadi dalam filem Ibu Mertuaku arahan P. Ramlee.

Dalam filem box-office yang diterbitkan pada tahun 1962 itu, Allahyarham berlakon di samping primadona Sarimah.

Sejarah perjuangan seni Allahyarham begitu panjang.

Beliau yang mula berlakon filem pertama lakonannya berjudul Perwira Di lautan Teduh pada tahun 1951.

Allahyarham juga muncul sebagai sutradara hebat dan pernah mengarahkan empat buah filem iaitu Mama Oh Mama (1982), Dendam Dari Pusara (1983), Komplot (1984) dan May 13 (1984).

Antara filem lain lakonan Allahyarham ialah Setia, Istana Impian, Air Mata, Arjuna, Iman, Insan, Ribut, Adekku, Putera Bertopeng, Mogok, Seruan Darah, Kembali Seorang, Taufan, Matahari, Puteri Gunung Banang, Raja Laksamana Bentan, Lela Manja, Seniman Bujang Lapok, Pusaka Pontianak, Jebak Maut, Lanang Sejagat dan Ranjau Sepanjang Jalan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.