saya nak baca ..

TERKINI


ARKIB : 30/08/2008

Perutusan PM sempena Hari Kebangsaan Ke-51

30/08/2008 9:14pm

Berikut adalah teks penuh perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-51 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan disiarkan menerusi saluran televisyen utama malam ini.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Saudara, saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayat Nya, esok kita akan sekali lagi bersama-sama menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51.

Untuk tempoh setahun yang terakhir ini, setelah kita sama-sama menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50, tahun lalu, pelbagai peristiwa telah melanda negara kita.

Setelah Pilihan Raya Umum ke-12 diadakan pada 8 Mac lalu, negara kemudiannya berhadapan pula dengan krisis bekalan makanan dan kenaikan harga minyak yang membawa kepada kenaikan harga barang-barang dan kadar inflasi. Semua ini merupakan cabaran yang besar kepada kita dan mungkin menimbulkan banyak persoalan dan melahirkan kebimbangan di kalangan rakyat. Adakah kita mampu untuk menghadapi dan mengatasi keadaan ini?

Kita akan terus menangani masalah kenaikan harga barang-barang dan inflasi ini dengan sebaik mungkin. Kerajaan sentiasa prihatin terhadap beban yang ditanggung oleh rakyat, terutamanya mereka yang miskin dan berpendapatan rendah serta golongan yang kurang bernasib baik. Menyedari akan hakikat itulah, kerajaan akan sentiasa mengambil langkah perlu, malah telah mula melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat menyesuaikan diri dan meringankan beban mereka.

Sebagaimana yang telah saya umumkan pada ucapan Bajet 2009 semalam, program jaringan keselamatan sosial akan ditambahbaik dan diperluaskan. Tahap kelayakan pendapatan isi rumah bagi pemberian bantuan kebajikan di bawah jabatan kebajikan masyarakat akan ditingkatkan mengikut wilayah, selaras dengan paras pendapatan garis kemiskinan semasa. Dengan kenaikan ini, bilangan penerima bantuan akan meningkat dua kali ganda daripada 54,000 isi rumah kepada 110,000 isi rumah.

Pada masa yang sama, mekanisme program jaringan keselamatan sosial akan diperkukuhkan agar rakyat yang layak akan dapat menerima bantuan tanpa melalui banyak kerenah pentadbiran.

Kerajaan juga akan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi pada harga yang berpatutan. Selaras dengan dasar jaminan makanan, antara langkah yang sedang dilaksanakan termasuklah mewujudkan stok penimbal makanan, memberi insentif kepada petani dan nelayan untuk menggalakkan pengeluaran hasil yang lebih tinggi serta mengusahakan tanah-tanah terbiar untuk tanaman makanan.

Di samping itu, kerajaan akan terus memberi subsidi bagi barangan makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak dan roti. Sesungguhnya kerajaan akan berusaha dengan sedaya upaya untuk memastikan agar kualiti hidup rakyat akan dapat terus dipelihara dengan sebaik mungkin walaupun dalam keadaan ekonomi global yang serba mencabar ini.

Untuk tempoh jangka panjang pula, saya yakin bahawa negara kita hari ini, berada pada landasan yang betul untuk menjadi sebuah negara maju yang berdaya saing dan mampu berdiri sama tinggi, jika tidak lebih lagi, dengan negara-negara maju yang lain.

Dari segi ekonomi, asas-asas akan terus diperkukuhkan agar matlamat untuk menjadi sebuah negara dengan nilai ekonomi yang lebih tinggi dan efisyen berasaskan ilmu pengetahuan akan dicapai.

Dalam konteks sosio-ekonomi pula, kita sewajarnya berbangga kerana tumpuan dan penekanan yang diberikan oleh kerajaan terhadap usaha pembasmian kemiskinan telah membuahkan hasil. Dari setahun ke setahun, kadar kemiskinan dan kemiskinan tegar telah mencatatkan penurunan yang memberangsangkan. Dalam tempoh 2004 hingga 2007 juga, tahap pendapatan rakyat di bandar dan luar bandar juga telah turut meningkat dengan peratusan peningkatan di luar bandar melebihi sekali ganda peningkatan di bandar.

Dengan perkembangan ini, jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar telah berjaya dikurangkan. Jurang pendapatan antara kumpulan etnik juga berjaya dirapatkan. Dengan usaha yang berterusan, saya bertekad untuk memastikan bahawa matlamat kerajaan dalam RMK-9 iaitu untuk menghapuskan kemiskinan tegar dan mengurangkan kemiskinan keseluruhan kepada tiga peratus menjelang tahun 2010 akan terlaksana.

Dari aspek nilai dan budaya masyarakat pula, kerajaan akan terus mengambil langkah yang perlu dan melipatgandakan usaha, agar matlamat untuk melihat kemajuan fizikal yang ingin dicapai turut ditunjangi oleh masyarakat Malaysia yang lebih matang dan berwibawa, akan terlaksana. Untuk itu, aspek-aspek pembangunan yang lebih berteraskan pengetahuan, budaya dan minda akan terus menjadi fokus.

Lebih banyak perhatian telah dan akan dicurahkan kepada langkah-langkah pelaksanaan dalam usaha penambahbaikan sistem pendidikan, penerapan nilai-nilai luhur seperti integriti, keterbukaan media dan pengukuhan institusi negara seperti Parlimen, sistem kehakiman, Badan Pencegah Rasuah, Polis Diraja Malaysia dan sebagainya. Institusi perkhidmatan awam pula akan terus diperkukuhkan agar dapat sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik bertaraf dunia kepada rakyat Malaysia.

Namun, dalam merealisasikan semua hasrat dan matlamat ini, kerajaan tidak akan mampu melakukannya secara bersendirian. Kerajaan sesungguhnya amat memerlukan sokongan dari semua pihak; dari sektor swasta, NGO-NGO dan yang terutama sekali dari rakyat Malaysia sendiri.

Saudara saudari sekalian, Sebenar-benar ujian kepada sesebuah negara dan rakyatnya ialah apabila negara tersebut berhadapan dengan saat-saat getir dan bagaimana rakyatnya bertindak dalam menghadapinya. Bumi Malaysia ini tidak pernah sunyi dari menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. Namun, Alhamdulillah, setiap halangan dan cabaran tersebut telah dapat kita tempuhi dengan jayanya.

Kita bukan sahaja berjaya menghadapi segala rintangan yang ada, tetapi lebih dari itu, kita juga telah berjaya membangunkan negara ini ke tahap yang membanggakan hari ini.

Saya juga yakin dan percaya bahawa segala ujian yang sedang kita hadapi hari ini akan dapat kita harungi sekiranya kita terus bersatu dan berganding bahu, dengan azam yang kuat, bertekad melaksanakan tanggungjawab kita masing-masing. Adalah menjadi harapan saya agar setiap rakyat Malaysia akan dapat menghayati dan menginsafi akan peri pentingnya perpaduan di kalangan kita semua. Rakyat yang bersatu padu adalah benteng pertahanan negara yang kukuh bagi menghadapi sebarang ancaman, baik dari dalam mahupun dari luar negara.

Perpaduan merupakan tunjang kepada kestabilan politik, keharmonian sosial dan keutuhan daya saing ekonomi negara.

Sememangnya dunia amat menghormati dan mengagumi Malaysia kerana tidak banyak negara dengan rakyat berbilang kaum di dunia ini, yang dapat hidup bersama dengan penuh toleransi, dalam suasana aman dan harmoni.

Bercakap tentang keamanan, saya ingin mengambil kesempatan ini, bagi pihak kerajaan dan semua rakyat Malaysia, untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pasukan keselamatan negara; para anggota polis dan tentera yang telah menjalankan tugas dengan penuh komited dan dedikasi, bertunjangkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air, dalam memelihara keselamatan dan keamanan negara, demi kita semua rakyat Malaysia.

Saudara saudari sekalian, Perjalanan perjuangan kita masih jauh lagi. Masih banyak yang perlu kita lakukan. Matlamat kita adalah untuk menjadi sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri; sebuah negara maju yang menjanjikan kehidupan dan masa depan yang gemilang untuk setiap rakyatnya tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Saya amat yakin dan percaya bahawa matlamat ini tidak mustahil untuk dilaksanakan jika setiap dari kita rakyat malaysia, bersatu hati dan bersatu tenaga, mengetepikan segala perbezaan dan prejudis yang ada dan bangkit sebagai rakyat yang memiliki ketahanan bagi menghadapi segala musuh dan cabaran.

Tidak ada warga yang diiktiraf lebih tinggi kedudukannya dari warga yang lain di tanah air ini. Negara ini adalah milik kita bersama. Jatuh bangun dan maju mundur negara ini, kita bersama yang menentukannya. Selamat menyambut Kemerdekaan Negara yang ke-51.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zuhur 1:07
Asar 4:15
Maghrib 7:09
Isyak 8:18



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.