saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 31/08/2008

Ahmad Mahmud yang serius

Satu demi satu tokoh besar di persada filem hitam putih Jalan Ampas pergi meninggalkan kita. Selepas Allahyarham Hussein Abu Hassan, 70, menghembuskan nafas terakhirnya pada 26 November tahun lalu, Rabu lalu Allahyarham Datuk Ahmad Mahmud pula meninggalkan kita.

Tetapi seperti kata pepatah Melayu, harimau pergi meninggalkan belang, manusia pergi meninggalkan nama. Ahmad Mahmud atau nama sebenarnya Ahmad Mahmood yang berusia 81 tahun adalah nama yang cukup gah ketika dunia perfileman bertapak di Singapura.

Kerjaya awal sebagai kerani dan operator telefon akhirnya membawa dirinya menjadi seorang seniman yang disegani sehingga akhir hayatnya.

Allahyarham yang lahir di Rembau, Negeri Sembilan membuka lembaran baru dalam hidup apabila hasrat menjadi pelakon di Singapura terlaksana selepas berlakon filem Perwira Di Lautan Teduh tahun 1951. Bagaimana pun kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, filem itu tidak dapat ditayangkan sehingga kini.

Sesuai dengan sifatnya yang serius, Allahyarham lebih terkenal dalam filem-filem bercorak cinta dan kasih sayang. Watak Hang Jebat dalam filem Hang Tuah arahan Phandi Majundar setanding dengan P. Ramlee yang memegang watak Hang Tuah.

Malah Allahyarham lebih banyak diberi watak putera raja termasuklah kerap kali muncul dalam filem aksi purba seperti Lela Manja, Raja Bersiong dan Megat Terawis. Allahyarham tidak pernah berlakon filem komedi. Tetapi Allahyarham P.Ramlee mencuba bakatnya sebagai pelakon pembantu dalam filem Seniman Bujang Lapok dengan watak seorang doktor.

Sifat Allahyarham adalah seorang yang serius dan tegas. Mungkin kerana itu, Allahyarham tidak mempunyai ramai kawan rapat kerana segelintir pelakon seangkatan agak segan untuk mendekati Allahyarham.

Allahyarham tidak pernah menonjolkan kebolehannya sebagai penyanyi sebaliknya sering meminjam suara R.Azmi dan Aziz Jaafar ketika babak nyanyian di dalam filem lakonannya. Sehinggalah kehebatan suaranya itu dikesan oleh komposer Yusof B dan dibuktikan menerusi filem Isi Neraka arahan Jamil Sulong.

Bermula dari filem itu Allahyarham menggunakan suaranya sendiri untuk lagu-lagu dalam filem sebagaimana yang dilakukan P.Ramlee dan Aziz Jaafar.

Mengimbas kenangan pada tahun 1960, sifat tegas Allahyarham telah mengejutkan seluruh pelakon di Singapura pada waktu itu. Semuanya gara-gara tajuk “Ahmad Mahmud Tak Suka Peminat” dalam majalah Gelanggang Filem yang diterbitkan oleh P. Ramlee. Rencana itu telah membangkitkan rasa tidak puas hati bukan sahaja peminatnya di Singapura tetapi juga seluruh negara.

Selepas rencana itu tersiar Allahyarham menerima beberapa ugutan daripada peminatnya termasuklah ada yang mengirimkan bangkai seekor cicak melalui surat. Malah kerana rencana itu juga, Allahyarham naik berang dan terus menyerang penulis rencana itu, Aimi Jarr yang bertugas sebagai wartawan Gelanggang Filem.

Menurut Aimi Jarr, beliau mendapat berita itu selepas Allahyarham memberitahu tidak mahu berjumpa peminat apabila rombongan sebuah bas melawat Studio Jalan Ampas.

“Allahyarham merungut kepada saya tak mahu jumpa peminat ketika mereka melawat studio itu. Masa peminat datang, Allahyarham lari menyorok. Bukan sombong tetapi terlalu penat selepas penggambaran filem,” kata Aimi Jarr.

Merasakan ini mempunyai nilai berita yang besar, Aimi Jarr mendapat kebenaran P.Ramlee untuk menulis rencana tersebut dan disiarkan sebagai tajuk utama majalah Gelanggang Filem.

Mengugut

Ini menyebabkan Allahyarham marah dan mengugut untuk menyaman Aimi Jarr dan juga P.Ramlee. Tetapi kebijaksanaan P.Ramlee membuatkan Allahyarham menarik balik hasrat untuk menyaman mereka berdua.

“Masa P.Ramlee jumpa Allahyarham, P.Ramlee minta maaf dan memberitahu yang saya tidak perasan kata-katanya itu adalah off the record sebab itulah disiarkan dalam Gelanggang Filem,” ujar Aimi Jarr.

Tambah beliau, disebabkan Allahyarham masih bertegas untuk menyaman, P.Ramlee memberi dua pilihan iaitu kalaulah ditakdirkan Ahmad Mahmud menang kes tersebut, dia kena membayar gaji P.Ramlee selama dua tahun.

Begitu juga kalau Allahyarham kalah, P.Ramlee akan membayar gajinya selama dua tahun.

Memikirkan hubungan baik dengan P.Ramlee, Ahmad Mahmud melupakan hasrat untuk menyaman tetapi selepas itu tidak lagi bertegur sapa dengan Aimi Jarr kerana masih marah.

Selama lima tahun tidak bertegur, akhirnya mereka bertemu secara tidak sengaja ketika menziarah kematian seorang kawan dan kedua-duanya bersalaman serta meminta maaf.

Ketegasan Allahyarham itu turut diakui oleh Datuk Mustapha Maarof yang menganggap seniman itu seperti abangnya sendiri. Semasa zaman bujang Mustapha, Allahyarham sering mengajak beliau ke rumah mertuanya di Johor Bahru.

Selama mengenali pelakon itu, Mustapha jarang melihat Allahyarham bergurau dengan pelakon-pelakon lain kerana Allahyarham lebih senang bersendirian dan pulang ke rumah apabila habis penggambaran.

Tetapi di sebalik sifatnya yang serius itu Allahyarham seorang yang boleh dibawa berbincang sekiranya mengenali dengan dekat.

“Memang susah nak tengok Allahyarham bergurau sifatnya yang serius. Tapi saya selalu tengok dia suka mengusik isterinya dan bagi saya Ahmad Mahmud bukanlah seorang yang serius sangat,” kata Mustapha yang pernah berlakon filem Kubur Tak Bertanda arahan Allahyarham sendiri.

Datuk Sarimah Ahmad yang berpengalaman berlakon enam buah filem bersama Allahyarham menganggap seniman itu sebagai seorang yang komited terhadap tugasnya.

Sarimah pernah melihat bagaimana susahnya Allahyarham digigit lintah ketika di sawah sewaktu penggambaran filem Ranjau Sepanjang Jalan.

“Pada waktu itu lintah bergayut di celah kaki dan betis Allahyarham tetapi dia tetap mahu meneruskan penggambaran.

“Semasa berlakon filem Ibu Mertuaku, Allahyarham datang ke set penggambaran lebih awal untuk menghayati watak Dr. Ismadi yang dilakonnya,” ujar Sarimah.

Berjimat

Selain menyifatkan Allahyarham seniman yang berjaya, Sarimah melihat Allahyarham seorang yang berjimat dan mampu merancang kewangannya dengan baik. Dalam masa yang sama sifatnya yang mendahulukan isteri dan anak-anak dalam setiap yang dilakukan membuktikan Ahmad Mahmud seorang yang penyayang.

Sementara itu daripada buku Jejak Terbilang tulisan Aimi Jarr antara lain menggambarkan Allahyarham boleh menarik minat penonton kerana memiliki raut wajah yang tampan. Karismanya terserlah selepas berlakon watak penting dalam filem Hang Tuah pada tahun 1956.

Menerusi filem ini, kedua-dua nama besar itu dilihat cuba bersaing untuk menonjolkan kehebatan masing-masing dan akhirnya membawa hasil yang memberansangkan di dalam filem tersebut.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, tiga anak, sembilan cucu dan seorang cicit. Ahmad Mahmud yang lebih terkenal wataknya sebagai Dr. Ismadi dalam Ibu Mertuaku itu tetap terpahat dalam sanubari peminat filem Melayu sehingga hari ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.