saya nak baca ..

KOTA


ARKIB : 01/09/2008

Kerajaan sudah beri hak milik kepada syarikat swasta sejak 1985 DBKL tiada kuasa


SUDAH BERMULA... Projek bercampur di Kampung Chubadak dan Chubadak Tambahan di Sentul sudah dimulakan oleh pemaju selepas pertikaian dengan penduduk setinggan yang mendiami kawasan itu diselesaikan walaupun penduduk mendakwa mereka masih mempunyai hak ke atas tanah tersebut.


KUALA LUMPUR 31 Ogos - Penduduk Kampung Chubadak dan Kampung Chubadak Tambahan di Sentul merupakan penduduk setinggan di atas tanah milik pihak swasta dan bukannya peneroka bandar seperti yang didakwa oleh mereka.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab. Hakim Borhan berkata, tiada istilah peneroka bandar diberikan kepada mereka memandangkan tanah tersebut adalah milik kerajaan dan telah diberi milik kepada STLR Sdn. Bhd. pada 26 Oktober 1985.

Menurutnya, pada waktu tersebut, STLR Sdn. Bhd ditubuhkan bagi mengumpul dana untuk melaksanakan projek infrastruktur kerajaan dan menyelesaikan masalah setinggan di Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, ujarnya, pada 6 Julai 1990, STLR Sdn. Bhd. telah menjual tanah tersebut kepada Sentul Murni Sdn. Bhd. (SMSB).

Katanya, tanah yang berkeluasan 29.43 hektar itu menempatkan 419 keluarga setinggan dengan sebahagian daripada mereka masih menetap di kampung itu sehingga kini.

"Kerajaan tidak pernah memberi taraf peneroka bandar kepada mereka sejak dahulu lagi, inilah bukti mereka adalah setinggan yang tinggal di atas tanah swasta.

"Pemaju berhak membangunkan kawasan terbabit memandangkan tanah tersebut adalah hak milik mereka dan DBKL tidak berkuasa untuk campur tangan terhadap kerja-kerja pembinaan tersebut," tegasnya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang dakwaan penduduk Kampung Chubadak Tambahan mengenai pencerobohan pemaju ke kawasan mereka tanpa pemberitahuan.

Selain itu, penduduk turut mendakwa DBKL tidak berbuat apa-apa untuk membantu mereka dan enggan campur tangan bagi menyelesaikan masalah terbabit.

Penduduk turut mendakwa, cadangan membangunkan kawasan tersebut dilakukan tanpa berbincang terlebih dahulu dengan penduduk yang mendiami kawasan itu sejak puluhan tahun lalu.

Ketua Kampung Chubadak Tambahan, Rahim Ali berkata, penduduk sudah berjuang sejak 12 tahun lalu untuk mendapatkan hak terhadap tanah itu dan mendakwa mahkamah sudah mengiktiraf mereka sebagai peneroka bandar.

Katanya, penduduk tidak menolak pembangunan yang hendak dilaksanakan tetapi pihak-pihak yang terlibat perlu menghormati juga penduduk yang tinggal di kawasan itu.

Mereka menuntut diberikan penjelasan terhadap masalah itu, dan bukannya ditawarkan unit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) semata-mata.

Mengulas lanjut, Ab. Hakim berkata, tapak projek tersebut telah dicadangkan untuk dibangunkan dengan pembangunan kediaman dan rumah kedai sejak tahun 1991, namun hanya fasa satu iaitu 1,260 unit kediaman kos rendah sahaja telah disiapkan.

Fasa dua, kata beliau, melibatkan pembangunan kediaman dan fasa enam melibatkan pembangunan rumah kedai telah terbengkalai pelaksanaannya pada tahun 1997 kerana bantahan daripada penduduk setinggan tersebut.

Katanya, kes itu juga telah dibawa ke mahkamah dengan kira-kira 70 keluarga menuntut mahkamah supaya menyatakan bahawa transaksi jualan tanah STLR Sdn. Bhd kepada SMSB sebagai tidak sah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada tahun 2004 dan Mahkamah Rayuan pada 2006 telah menolak permohonan penduduk terbabit.

Selain itu, terdapat tuntutan empat keluarga setinggan untuk mendapatkan pampasan dan Mahkamah Tinggi pada 3 Julai 1998 memutuskan SMSB diberi milikan kosong dengan penduduk setinggan terbabit dibayar RM69,000.

"Berikutan itu, semua masalah tersebut dapat diatasi pada tahun 2006 dan SMSB telah berusaha untuk menyiapkan projek berkenaan. Tidak sepatutnya timbul sebarang masalah lagi.

"Pada hujung tahun ini, SMSB akan menyiapkan pembangunan fasa dua iaitu pembangunan kediaman selain daripada melaksanakan projek jalan raya dan pembinaan 340 unit rumah kos rendah," jelasnya.

Bagaimanapun, ujar Ab. Hakim, memandangkan projek tersebut telah lama terbengkalai, pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL bersetuju untuk membantu SMSB dengan menyediakan 77 unit rumah dalam Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Batu Muda.

Tambahnya, penyediaan rumah tersebut bertujuan menempatkan 77 keluarga setinggan yang masih terdapat di tapak yang terlibat dengan projek yang diusahakan oleh SMSB itu.

"Seramai 77 keluarga telah ditawarkan untuk berpindah ke PPR tersebut pada 15 Jun lalu dan sehingga 26 Ogos lalu, sejumlah 39 keluarga telah mengambil tawaran berkenaan manakala 38 lagi belum menerima tawaran itu.

"Untuk makluman, DBKL hanya menempatkan setinggan di PPR sahaja manakala urusan perundingan dengan setinggan dilakukan sendiri oleh SMSB," jelasnya.

Sehubungan itu, kata Datuk Bandar, dakwaan penduduk yang mengatakan bahawa tanah tersebut hak mereka adalah tidak benar.

Katanya, mereka tetap dikategorikan sebagai setinggan dan sebarang perbincangan perlu dilakukan dengan pemaju yang membangunkan kawasan itu dan bukannya DBKL memandangkan tanah tersebut adalah milik pemaju.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.