saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/09/2008

Jangan pertikai hak istimewa Melayu

MALAYSIA selepas pasca Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu telah mengalami pelbagai transformasi yang menuntut perhatian serius daripada semua pihak demi kesinambungan kesejahteraan dan kestabilan negara yang dimiliki oleh masyarakat majmuk.

Keberanian sesetengah pihak mempertikai Perlembagaan banyak berpunca daripada kuasa politik baru yang kononnya akan mewujudkan sebuah masyarakat 'Malaysia Baru' yang mementingkan kepada keadilan sejagat dan kesamarataan, seolah-olah masyarakat 'Malaysia Lama' sebelum ini terlalu teruk dan jelik.

Persoalannya, kenapa kontrak sosial dan Fasal 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan dipertikaikan? Sedangkan itu adalah ramuan utama permuafakatan kaum di negara ini untuk mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Fasal 152 menyentuh mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan manakala 153 menyentuh perbezaan kuota perkhidmatan, permit, biasiswa dan sebagainya di bawah tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera lainnya.

Tiga pakar undang-undang tanah air pada Forum Sambutan Merdeka - Pelaksanaan Undang-Undang Fasal 152 dan 153 anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) merumuskan bahawa kegawatan dan keghairahan itu berpunca daripada dua faktor utama.

Pertama - undang-undang tersebut tidak dilaksanakan ditegas oleh kerajaan dan kedua - percubaan golongan terbabit untuk memadam sejarah dan dengan sengaja 'berlakon' seolah-olah tidak memahami sejarah demi memenuhi hajat politik picisan.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr. Abd. Aziz Bari berkata, perlembagaan negara yang diamalkan hari ini telah wujud sejak 500 tahun lalu dan ia merupakan kesinambungan daripada Kanun Melaka pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Beliau berkata, sejak zaman itu lagi, Raja-Raja Melayu telah memikirkan mengenai nasib Melayu dan hak-hak kaum itu perlu dijaga. Justeru Perlembagaan tersebut telah menyerap apa yang diamalkan serta ditetapkan dalam kanun tersebut untuk dijadikan undang-udang selepas merdeka.

Katanya, mengikut laporan Suruhanjaya Reid yang diberi tugas untuk menggubal Perlembagaan negara sebelum merdeka, mereka semua bersetuju bahawa kaum pribumi iaitu Melayu perlu diberikan hak keistimewaan semasa penubuhan negara ini.

"Laporan Reid wujud lebih 50 tahun lalu dan kajian yang dibuat mereka merangkumi semua aspek, suruhanjaya yang diketuai oleh Lord Reid dari Britain mengakui bahawa Melayu masih ketinggalan terutama dari aspek ekonomi kerana mereka tidak mendapat pendedahan.

"Kaum pendatang dari Cina menguasai ekonomi disebabkan mereka datang ke sini untuk berdagang, jadi mereka telah mendapat pendedahan awal dan mereka bersetuju dengan apa yang diamalkan sebelum ini supaya kaum pribumi terus diberi hak keistimewaan," katanya.

Beliau menegaskan tidak kesemua Laporan Reid dipakai sebagai Perlembagaan, kerajaan pada ketika itu telah mewujudkan Kertas Putih dan untuk mengukuhkan lagi perlembagaan yang digubal maklum balas juga diambil daripada debat merdeka pada ketika itu.

Semua pihak termasuk kaum Cina, India dan lain-lain pada ketika itu bersetuju dengan Perlembagaan yang akan digubal berdasarkan Laporan Reid, Kertas Putih dan Debat Merdeka.

Dalam pada itu, Penasihat Undang-Undang Majlis Muafakat Melayu Malaysia, Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman berkata, sebelum merdeka, pendatang (imigran), Cina dan India mereka pada peringkat awal langsung tidak memikirkan sebarang usaha untuk mencapai kemerdekaan.

Katanya, mereka hanya bersikap menangguk di air keruh iaitu bakal memperoleh taraf kerakyatan dan mendapat hak sama rata dengan pribumi apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan kerana kebanyakan daripada mereka enggan kembali ke negara asal.

"Contoh yang paling ketara ialah tiada langsung penglibatan golongan imigran ini semasa Melayu bersepakat menentang penubuhan Malayan Union oleh Inggeris, malah mereka tidak berbuat apa-apa kerana fungsi Malayan Union itu kelak akan menguntungkan mereka pada akhirnya.

"Ekoran daripada itu telah timbul pelbagai polemik dan perdebatan di kalangan pemimpin Melayu supaya tidak memberikan taraf kerakyatan kepada imigran," katanya.

Bagaimanapun pihak Inggeris telah menekankan syarat supaya semua pihak pelbagai kaum mengambil bahagian sebagai salah satu syarat mencapai kemerdekaan.

Ekoran itu, maka wujudlah parti-parti politik yang mewakili kaum di Tanah Melayu pada masa itu iaitu UMNO bagi Melayu, MCA (Cina) dan MIC (India).

Pun begitu selepas mencapai kemerdekaan, suara-suara sumbang untuk mengganggu gugat hak keistimewaan Melayu mula kedengaran dan kemuncaknya pada 13 Mei pada tahun 1969 berlaku rusuhan kaum.

Lantaran itu, Abd. Aziz berkata, satu undang-undang digubal supaya empat perkara dalam Perlembagaan tidak boleh disentuh iaitu, Fasal 152, Fasal 153, kedudukan raja-raja Melayu dan hak kerakyatan bagi menjamin keharmonian negara ini.

Biar pun, undang-undang tersebut telah termaktub secara jelas lagi nyata tidak menghalang 'keseronokan' sesetengah pihak terutama parti politik mempertikaikannya selepas 51 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Bagi peguam terkenal, Zainur Zakaria, keseronokan untuk 'menggeletek' hak keistimewaan Melayu, agama Islam, bahasa Melayu adalah disebabkan tidak ada pelaksanaan yang tegas daripada kerajaan.

Bangsa lain sebenarnya langsung tidak mempunyai sebab untuk mengeluh atau merungut terhadap kedua-dua fasal itu kerana mereka telah pun menikmati keadilan yang bukan sedikit daripada kerajaan.

"Melayu bukannya tuntut hak lain cuma kita pertahankan hak sedia ada yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan. Tetapi apabila kita perjuangkan hak ini seolah-olah seperti kita pula yang bersalah," katanya.

Mempertikaikan hak keistimewaan Melayu adalah perkara remeh sedangkan kaum lain di negara ini telah mendapat pelbagai keistimewaan.

Soalnya, Melayu telah banyak bertolak ansur dan berkorban untuk semua kaum. Melayu juga tidak pernah mengungkit atau meminta hak kaum lain, ini semua tidak lebih daripada untuk menagih sokongan politik.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:01
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.