saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 05/09/2008

‘Samad itu Utusan, Utusan itu Samad’


A. Samad Ismail, bekas Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu mempunyai episod kehidupan yang berwarna-warni.


Sekalipun Tokoh Wartawan Negara, Abdul Samad Ismail telah meninggalkan Utusan Melayu lama sebelum pemergian abadinya dengan bertugas di akhbar-akhbar lain tetapi tidak ada suatu zaman yang lebih besar dan lebih bererti sepanjang 84 tahun usianya kecuali hari-harinya di Utusan Melayu selama lebih 17 tahun.

Hari-hari inilah yang terus memburu hidupnya, menjadi ceritanya sepanjang masa, mempengaruhi dan membentuk keperibadiannya, menjadi kenang-kenangan hebat, indah dan keagungan hidupnya.

Menurut riwayat isterinya Allahyarhamah Hamidah Hassan, Samad tetap orang Utusan ketika berkerja di Berita Harian dan pada satu masa Samad adalah Utusan dan Utusan adalah Samad (lihat buku A. Samad Ismail Journalisme and Politics susunan Cheah Boon Kheng).

Memulakan kariernya di Utusan Melayu di Singapura pada umur 16 tahun ketika Utusan yang dilahirkan pada 29 Mei 12939, baru berumur setahun jagung, Samad tidak sahaja sebagai wartawan tetapi juga pejuang yang berhempas pulas bersama-sama pengasas Utusan Melayu, Yusoff Ishak dan beberapa orang wartawan yang jauh lebih dewasa daripadanya untuk memastikan Utusan Melayu terus hidup sebagai suara dan wadah perjuangan bangsa.

Samad tidak mengambil kira tentang kedudukannya dalam Utusan ketika itu sehinggalah beliau ditahan di bawah undang-undang darurat pada tahun 1951 kerana kegiatan politik kirinya dalam Parti Kebangsaan Melayu (PKM) dan Putera-AMCIA. Utusan terpaksa mencari istilah nama jawatannya.

Hanya setelah dibebaskan pada tahun 1953 barulah kedudukan beliau dirasmikan sebagai Timbalan Pengarang “tetapi itu pun tanpa surat rasmi” katanya dalam tulisannya di Utusan Melayu keluaran 50 tahun pada 29 Mei 1989.

Menurutnya pada mereka yang terdidik di Utusan sebanyak sedikit nilai hidup zaman permulaan mereka di Utusan Melayu masih kekal hingga sekarang.

“Pada kami Utusan adalah warisan bangsa yang diamanahkan kepada kami untuk membela dan memperjuangkan cita-cita kebangsaan.”

Pemisahannya daripada Utusan Melayu tanpa kerelaannya menjelang kemerdekaan Malaya pada tahun I957 adalah suatu episod yang amat melukakan hatinya.

“Sampai mati pun aku tidak akan lupa aku tidak dapat melihat perayaan kemerdekaan tanah airku,” katanya kepada wartawan anak didiknya di Utusan Melayu, Allahyarham Ali Salim yang terkenal dengan panggil Jiro.

Samad dihantar menjadi wakil Utusan Melayu di Jakarta kerana menurut apa dimaklumkan kepadanya oleh Yusoff Ishak, Ketua Pengarang dan Pengarah Urusan Utusan bahawa beliau tidak disenangi oleh kerajaan Perikatan yang bakal berkuasa di Malaya dan sekiranya beliau terus mengetuai Jabatan Pengarang Utusan Melayu, Utusan tidak akan mendapat lesen cetak apabila berpindah ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun singa UMNO, Syed Jaafar Albar yang mempunyai hubungan baik dengan Samad pada masa itu memberitahu Samad dalam sepucuk suratnya bertarikh 2 Julai 1957 bahawa hal itu “palsu yang direka-reka oleh kapitalis – yang oportunis.”

Siapakah di belakang perancangan pertukarannya itu tidak diketahui tetapi ramai orang tahu bahawa Lee Kuan Yew, Ketua Menteri Singapura yang pernah menjadi peguam Utusan mempunyai hubungan rapat dengan Yusoff Ishak. Kuan Yew tidak senang dengan Samad yang bersekongkol dengan kumpulan kiri dalam PAP yang diketuai Lim Chin Siong. Samad adalah salah seorang pengasas PAP bersama dengan Kuan Yew tetapi kerana tidak sefahaman, beliau mengundurkan diri.

Kuan Yew melantik Yusoff Ishak menjadi Presiden Singapura yang pertama setelah beliau meninggalkan Utusan atas desakan anggota Jabatan Pengarang dan kakitangan Utusan Melayu di Kuala Lumpur dalam tahun I959.

Pak Samad tidak disenangi dan ditakuti oleh Kuan Yew mungkin kerana kepintarannya dan juga pengaruhnya yang luas di kalangan masyarakat Melayu, puak kiri daripada semua kaum termasuk kesatuan sekerja dan kalangan pelajar menengah Cina di Singapura.

Di dalam buku memoirnya yang kedua From Third World to First World, Kuan Yew mendakwa Samad sebagai anggota Parti Komunis Malaya sejak tahun 1950. Buku ini juga menceritakan peranan Kuan Yew dalam konspirasi dengan Kerajaan Malaysia bagi menahan Samad di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam tahun 1976 selepas kematian Perdana Menteri, Tun Abdul Razak.

Ia menampakkan dendam yang tidak berkesudahan Kuan Yew terhadap Samad sekalipun beliau telah berhijrah ke Kuala Lumpur setelah meninggalkan Utusan Melayu untuk berkhidmat dengan Berita Harian sejak 1958 apabila pulang dari Jakarta.

Di Straits Times (ST) Kuala Lumpur di samping tugas kewartawanannya, Samad meneruskan peranannya sebagai seorang nasionalis dan pejuang politik dengan merancang pengambilan alih Straits Times daripada penguasaan asing yang bertunjang di Singapura. Ini menepati apa yang dikatakan oleh isterinya Hamidah; “He was not too anxious to surrender his individuality to his new employers.”

Berbeza

Menurut Cheah Boon Kheng yang ketika itu bertugas sebagai penulis rencana di Straits Times, Samad telah mengambil kesempatan untuk meneruskan agendanya ketika tindakan perusahaan ‘kerja perlahan’ anggota Jabatan Pengarang Straits Times di Kuala Lumpur kerana tidak puas hati dengan perbezaan gaji dan lain-lain layanan kerja yang terlalu jauh berbeza dengan pegawai-pegawai asing.

Boon Kheng menulis dalam A.Samad Ismail Journalisme and Politics bahawa Samad yang merancang gerakan yang membawa kepada Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan Tunku Razaleigh ketika itu Menteri Kewangan mengarahkan syarikat Straits Times memindahkan pemilikannya ke tangan rakyat Malaysia.

Sebelum itu Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) yang saya sebagai Presidennya dan Hor Sai Kong daripada Straits Times sebagai Setiausaha Agungnya telah menyampaikan sebuah memorandum yang bertajuk Expatriates in The Malaysian Press kepada Perdana Menteri Tun Abdul Razak menuntut supaya wartawan tempatan mengambil alih Jabatan Pengarang Straits Times.

Bagaimanapun pada mulanya kami menghadapi masalah untuk mendapat temu janji dengan Tun Abdul Razak. Saya telah menjemput Datuk Harun Idris, Ketua Pemuda UMNO Malaysia untuk bercakap di Utusan mengenai perlunya pemilikan media oleh rakyat Malaysia sendiri terutamanya akhbar Inggeris.

Oleh kerana sudah timbul bunga-bunga persaingan politik antara Datuk Harun dengan Tun Abdul Razak pada masa itu maka langkah membawa Datuk Harun ke Utusan telah membantu memudahkan pertemuan kami dengan Tun Abdul Razak. Tiba-tiba Hor Sai Kong memberitahu saya bahawa jalan terbuka sekarang.

Saya tahu siapakah yang mengaturkan pertemuan itu. Pucuk pimpinan NUJ dengan diketuai saya (Utusan Melayu) dan disertai Hor Sai Kong (Straits Times), Philip Mathews (Straits Times) dan C.C.Liew (Sin Chew) telah menemui Tun Abdul Razak di pejabatnya untuk hanya kira-kira lima minit sahaja bagi menyampaikan memorandum berkenaan yang mempunyai fakta lengkap jumlah rakyat asing dalam Jabatan Pengarang Straits Times, pendapatan mereka dan keistimewaan yang mereka dapat yang jauh lebih baik daripada rakyat tempatan dan carta jabatan pengarang yang menunjukkan bilangan dan kedudukan wartawan asing di Straits Times termasuk dari Singapura.

Memoradum itu yang bertarikh 17 Januari !972 menekankan tentang ancaman terhadap pembangunan nasionalisme dan budaya Malaysia sekiranya orang asing terus menguasai Jabatan Pengarang akhbar-akhbar di Malaysia terutamanya akhbar Inggeris tetapi tidak mencadangkan pengambilahan syarikat Straits Times oleh rakyat tempatan. Saya masih menyimpan memorandum itu hingga kini.

Kami tidak bercakap panjang dengan Tun Abdul Razak kerana kami yakin segala-galanya telah diterangkan lebih dahulu kepadanya oleh Samad Ismail.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Abdullah Majid meminta supaya kami tidak menulis berita pertemuan itu tetapi saya telah menyiarkannya di muka hadapan Utusan Melayu dan Utusan Malaysia.

Tidak lama kemudian berlakulah perubahan drastik dengan nama The Straits Times ditukar menjadi New Straits Times (NST) dan jabatan pengarang dan pengurusannya disusun semula dengan memberikan kedudukan penting kepada anak tempatan. Lembaga pengarah NST yang baru dilantik terdiri daripada semuanya rakyat Malaysia. Boon Kheng menyifatkannya sebagai suatu kejayaan kudeta Samad Ismail di The Straits Times.

Sesungguhnya hubungan Samad yang begitu rapat dengan Tun Abdul Razak, tidak menyenangkan beberapa pihak dalam UMNO yang mahu mencabar kedudukan Tun Abdul Razak sebagai Presiden UMNO.

Dalam pertarungan ini sekali lagi Samad Ismail dimomokan memainkan peranan ‘komunis’ di belakang layar dan Kuan Yew di Singapura yang tidak senang dengan pemulihan Samad yang rapat dengan Tun Abdul Razak kemudiannya melihat ini sebagai suatu kesempatan baginya untuk menyekat kemaraan Samad dalam politik di Malaysia.

Berikutan dengan kematian Tun Abdul Razak, berlakulah tangkapan yang popular dengan panggilan “Tiga Abdul” iaitu Abdul Samad Ismail, Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid di bawah ISA pada tahun 1976.

Ketidakpercayaan Kuan Yew pada Samad tidak pernah berakhir walaupun Samad telah berpindah ke Malaysia. Saya sendiri dapat merasakan ini apabila di akhir tahun 1964, kami wartawan-wartawan Malaysia menghadiri suatu majlis di Temasik kediaman Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur yang diberikan oleh Kuan Yew dalam usaha merapatkan diri dengan wartawan Malaysia.

Kuan Yew bertanya kepada Firdaus Abdullah (sekarang Profesor Datuk Firdaus) dalam bahasa Melayu: Saudara dari mana? Bila Firdaus memberitahu bahawa dia dari Berita Harian, Kuan Yew terus bertanya kenapa Samad tidak datang dan Firdaus memberitahu ‘dia melawat’ US Seventh Fleet yang berlabuh di Filipina atas jemputan. Dengan spontan Kuan Yew berkata “Habislah rahsia Amerika dia tahu.”

Saya hanya berkesempatan bergaul dengan Samad sesekali ketika mengikuti lawatan Tun Abdul Razak ke negeri-negeri Pantai Timur di awal 1970-an di mana saya sedikit sebanyak dapat menyelami perasaannya terhadap Utusan dan nasionalismenya. Saya lebih banyak tahu mengenainya dari wartawan yang pernah bersama berkerja dengannya seperti Jiro, Mazlan Nordin, Pak Melan dan mereka yang pernah berkerja di bawahnya.

Nama besar

Samad telah meninggalkan nama-nama besar anak didikannya dalam dunia kewartawanan dan kesusasteraan dan juga politik tetapi beliau tidak pernah mendakwa mendidik mereka menjadi besar dalam dunia masing-masing dengan sifat kerajinan, kesungguhan, komitmen dan dedikasi yang merupakan keperibadian Samad. Antara mereka ialah sasterawan dan wartawan Keris Mas, Osman Awang, Mazlan Nordin, Melan Abdullah, Osman Wok, Azhari Taib, Samad Idris, Osman Abadi dan ramai lagi.

Mazlan Nordin (Tan Sri) masih gigih membaca dan menulis hingga ke hari ini.

Samad yang memperkenalkan Hadiah Kajai yang merupakan hadiah tertinggi kepada wartawan Malaysia terulung menerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI) sebagai menghargai mahagurunya dalam dunia kewartawanan ketika usia mudanya di Utusan Melayu.

Dalam tulisannya sempena keluaran khas Utusan Melayu 29 Mei I989 sempena Utusan Melayu 50 tahun di bawah tajuk Mengenang suatu zaman yang begitu besar, Samad berkata “Daripada Kajai saya belajar budaya kerja, nilai profesional saya, komitmen kepada bidang hidup saya dan saya rasa tanpa ketegasan Yusoff Ishak barangkali Utusan tidak akan survive.Beliau telah memberikan corak dan bentuk pimpinan yang diperlukan oleh Utusan di zaman itu; “tegas dan keras.”

Samad melihat mereka yang berkerja dengan Utusan di zamannya merasakan “Utusan melambangkan segala yang luhur, mulia dan suci daripada perjuangan bangsa.”

Sesuatu yang saya ulangi membacanya berkali-kali dan mengharukan perasaan saya ialah bahagian terakhir tulisannya itu yang berbunyi:

“Seperti seorang ayah atau ibu yang lebih suka mengenang anaknya yang besar dan yang sudah dewasa, seolah-olah anaknya itu masih berusia enam tahun maka begitulah saya lebih berminat melihat Utusan bukan dalam bentuk dan rupanya sekarang, pada saat ini tahun I989 tetapi Utusan dalam zaman remajanya dan dalam zaman kecilnya.

“Mungkin kerana saya ingin mengenang ciri ciri manis sahaja daripada sejarah Utusan, atau mungkin saya keberatan menghadapi kenyataan sebenarnya bahawa di sebalik yang manis,terselip juga yang pahit.

“Tetapi saya akui ini adalah kelemahan saya sebagai manusia atau sebagai ayah yang hanya ingin mengenang anaknya yang sebenarnya sudah berumah tangga sekarang, ketika anaknya masih kecil lagi, ketika masih ditimbangnya lagi.

“Saya tidak akan jujur kalau saya tidak mengatakan bahawa sikap dan tanggapan saya, nilai dan norma-norma saya terbentuk dalam zaman saya berjuang di Utusan.

“Zaman itu tidak akan berulang lagi. Ia telah berakhir. Tulisan ini sekadar satu nostalgia sahaja untuk mengenang satu zaman yang begitu besar ertinya pada hidup saya dan teman-teman lain.”

Ketika tersebar berita saya tersingkir daripada jawatan Ketua Pengarang Utusan Melayu pada akhir tahun 1992, anak didik kesayangan Samad, Sasterawan Negara, Osman Awang menelefon saya; “Zam, saya rasakan sepi hari ini. Saudara adalah warisan terakhir Utusan.”

Saya tidak tahu sama ada ini benar atau tidak tetapi apa pun perbezaan pandangan politik saya dengan Pak Samad, Osman Awang, Said Zahari dan Pak Sako tetapi ada suatu jalinan perasaan warisan yang mengikat erat antara kami yang diharapkan akan terus turun dari generasi ke generasi.

Utusan adalah suatu lambang perjuangan berani, nekad dan penuh dengan komitmen yang dilambangkan oleh penglibatan wartawan-wartawannya menerusi penulisan dan sebagai aktivis politik secara terang-terangan sejak awal penubuhannya seperti Pak Sako, Tajuddin Kahar, Melan Abdullah, Said Zahari dan lain-lain tetapi Samad Ismail lebih tersembunyi di sebalik tabir politik yang pelbagai dari kiri hingga ke kanan.

Sekalipun tidak berada di barisan depan parti-parti politik yang disertainya sejak usianya yang begitu muda namun peranan kewartawanan politiknya menyokong gerakan anti kolonialisme menerusi gerakan nasionalisme Nusantara dan antarabangsa dan politik dalam negara dengan daya inteleknya yang tinggi dan kebijaksanaan perancangan dan penyusunan organisasi menjadikannya nama besar dalam dunia politik, berpengaruh, ditakuti dan senantiasa disyaki dan diikuti yang membawanya masuk dari zaman penjajahan hingga di tanah airnya yang merdeka.

Kehidupannya yang penuh dengan tekanan, cabaran, buruan, kejayaan dan kegagalan, timbul dan tenggelam menjadikannya wartawan lain daripada yang lain, menyebabkan beliau mendapat perhatian dan simpati, disegani dan dihormati. Beliau dilihat lebih besar daripada tokoh-tokoh wartawan lain di negara ini.

Kembalinya A. Samad Ismail ke rahmatullah adalah pemergian abadi seorang wira kewartawanan politik yang terhebat di negara ini.

Saya mencatatkan kembali sebuah sajak pendek dalam tulisan terakhir di kolum Awang Selamat pada Mingguan Malaysia 1 November 1992 yang rasa sesuai untuk dibacakan semula sempena pemergian A.Samad Ismail ang telah menanam benih dan idealisme perjuangan dalam Utusan Melayu.

Kawan kawan;

Dari 1939 sampai kini

Api ini tidak pernah mati

dimarakan ganti berganti

dalam chahayanya anak-anak menari

satu tangan terbakar

sejuta tangan menggengamnya

lebih erat lagi

maka keramatlah sebuah institusi

yang memahkotakan rakyat

dari generasi ke generasi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.