saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 07/09/2008

Siapa sebenarnya yang rasis?


Orang melayu bersikap toleransi demi keamanan dan kestabilan negara.


"Rasis" dan "perkauman" telah lama menjadi istilah yang mengikat orang-orang Melayu daripada bercakap tentang kepentingan Melayu. Dua istilah ini sekaligus menjadi fobia kepada orang Melayu, mereka bimbang kalau apa yang dikatakan terjebak dalam erti rasis atau perkauman. Kalau ini berlaku, fikir mereka, sudah tentu akan menyinggung perasaan kaum lain yang datang kemudian tetapi diterima menjadi rakyat negara ini. Bagaimanapun dari sudut lain, fobia dilabel dua istilah ini pula membuka laluan kepada kaum lain bertindak sebaliknya kepada orang Melayu.

Sebenarnya kedua-dua istilah ini tidak ada dalam perbendaharaan kata adat dan berbudaya orang Melayu. Orang Melayu tidak diajar untuk berlaku rasis kepada kaum lain, biar pun kaum yang datang kemudian itu membawa maksud pendatang. Dalam budaya dan tradisi Melayu, tetamu tetap dirai, silap dan lantangnya pula terpaksa ditelan dengan senyum dan bermanis muka. Inilah orang Melayu. Sejak turun temurun mereka diasuh mendahulukan yang datang seperti kata bidalan, orang asing yang singgah kekenyangan, anak di rumah mati kelaparan. Dalam konteks politik, orang Melayu berpesan kepada diri sendiri supaya memegang etika sebagai tuan rumah. Tetapi pada masa yang sama, sesetengah pihak dalam kalangan kaum yang datang ke negara ini tidak membawa budaya pendatang yakni menjaga hati tuan rumah.

Tetapi apalah gunanya menjadi tuan rumah kalau terlalu kerap disuruh beralah dengan gelagat orang asing yang datang ke rumah mereka? Sebenarnya orang Melayu di negara ini sudah lama dimangsai oleh dua istilah di atas yang dilabelkan dengan sewenang-wenangnya kepada kepada orang Melayu yang menyuarakan tentang hak mereka. Ketidakadilan menggunakan label ini sangat jelas apabila rasis tidak dirujuk kepada kaum lain, melainkan orang Melayu. Persoalannya benarkah orang Melayu rasis ketika ada kaum lain yang berarak dan membuat keganasan di jalan-jalan raya mempertikaikan hak orang-orang Melayu?

Isu Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera Pulau Pinang, Datuk Ahmad Ismail yang menganggap orang Cina sebagai "pendatang" memberi peluang terbaru untuk melabelkan orang Melayu sebagai rasis. Ahmad Ismail "diserang" bertalu-talu oleh parti Gerakan, sebuah parti yang duduk bersama UMNO dalam Barisan Nasional (BN). Gerakan yakni orang Cina menuntut Ahmad Ismail meminta maaf kerana menganggap orang Cina sebagai pendatang. Gerakan melabelkan Ahmad Ismail sebagai rasis dan kecinaan Gerakan pun semakin terserlah apabila mahu mengkaji semula kedudukan parti itu dalam BN. Label rasis begitu mudah digunakan untuk merujuk tindak tanduk orang Melayu yang menyebut asal usul orang Cina di negara ini. Padahal dalam konteks sejarah apa yang disebut oleh Ahmad Ismail itu memang tertulis kebenarannya.

Dalam sebuah kampung yang dihuni oleh orang Melayu bukanlah suatu fenomena yang luar biasa kalau ada sebuah kedai runcit Cina yang begitu maju perniagaannya. Siapakah yang memajukan perniagaan kedai runcit ini kalau bukan semua orang Melayu di kampung berkenaan? Kalau benar orang Melayu mengamalkan racisme, percayalah tidak ada kedai India atau Cina di kampung-kampung Melayu. Orang Melayu tidak ada masalah untuk berurusan jual beli di kedai milik Cina dan sikap ini bukan dibuat-buat sebaliknya memang menjadi amalan sejak dulu lagi.

Sikap terbukaDi pekan atau bandar-bandar pula, sebahagian besar kedai dimiliki oleh orang Cina dan segelintir saja dimiliki orang Melayu. Orang Cina tidak pergi ke kedai orang Melayu seperti orang Melayu berduyun-duyun ke kedai Cina. Malah sikap terbuka orang Melayu ini juga banyak membunuh perniagaan orang Melayu di pekan dan bandar-bandar besar apabila orang Melayu pilih kedai Cina dan orang Cina pilih kedai kaumnya. Itu pun orang Melayu tetap dianggap kaum yang mengamalkan racisme terhadap kaum lain.

Nampaknya orang Melayu tidak boleh lagi berterusan mengambil langkah yang apologetik semata-mata untuk mengambil hati kaum-kaum lain di negara ini. Apa saja yang menyentuh kepentingan orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini dan yang terkandung dalam Perlembagaan perlu terus diperjuangkan. Orang Melayu perlu mempunyai keberanian untuk menangkis pihak lain yang menggunakan istilah rasis dan perkauman untuk menutup hujah mengenai orang Melayu. Malah orang Melayu perlu menyerlahkan keberanian untuk tidak menjadikan Perlembagaan sebagai kitab usang. Caranya ialah dengan tidak membiarkan pihak lain dengan mudah memanipulasikan sentimen yang menjuruskan kepada rasis sesuatu kaum.

Isu Ketua UMNO Bukit Bendera ini perlu dijadikan titik penting untuk orang Melayu bangun menangkis sikap honar sesetengah pihak yang membakar api kaum di negara ini. Tentu banyak yang masih ingat kenyataan seorang anggota Gerakan ketika Hindraf melancarkan demonstrasi besar-besaran di jalan-jalan utama di Kuala Lumpur dulu. Katanya, memang benar dasar UMNO menjadikan orang India di negara ini hidup terpinggir. UMNO itu Melayu dan menuduh dasar UMNO dengan sendirinya mengaitkan kononnya amalan rasis dilakukan oleh orang Melayu ke atas orang India di negara ini. Malangnya UMNO tidak agresif seperti yang dilakukan Gerakan dalam isu Ahmad Ismail. Ini satu kegagalan UMNO menangani isu yang dijuruskan kepada rasis. Tolong tanya kepada Gerakan, apakah tindakan yang diambil ke atas anggota Gerakan berkenaan yang bukan saja bertentangan dengan amalan Barisan Nasional tetapi lebih bahaya lagi menyalakan api rasis antara Melayu dengan India.

Adakah orang Melayu masih dianggap rasis selepas orang India dalam Gerakan menuduh dasar sebuah parti Melayu mengamalkan racisme hingga mereka terpinggir daripada pembangunan? Orang Melayu mesti membetulkan tanggapan begini supaya sejarah tidak terus ditipu kononnya Melayu itu rasis. Dalam masa yang sama adakah Hindraf yang dengan terang terang berkata mereka memusuhi UMNO itu bukan rasis dan orang Melayu masih boleh duduk diam tanpa berbuat apa-apa? Memusuhi UMNO adalah memusuhi Melayu kerana UMNO itu parti Melayu sekali pun tidak semua Melayu berada dalam UMNO. Adakah satu kaum mengakui secara terbuka memusuhi kaum lain masih tidak dianggap rasis?

MIC sebuah parti komponen Barisan Nasional. MIC dianggotai oleh orang India. Hindraf sebuah pergerakan haram juga dianggotai oleh orang India. Tetapi apabila ada beberapa orang kuat Hindraf ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), MIC dan Hindraf mendesak kerajaan membebaskan kaum mereka yang ditahan dalam ISA. Tahanan ISA bukan saja terdiri daripada orang India. Orang Melayu lebih banyak ditahan di bawah ISA. Tetapi orang Melayu tidak pula mendesak kerajaan membebaskan tahanan Melayu di bawah ISA atau menganjurkan "parti hari jadi" anak tahanan ISA di lobi bangunan Parlimen. Tindakan memperjuangkan nasib orang India saja yang ditahan di bawah ISA adalah menjurus kepada racisme, yakni memperjuangkan kepentingan satu kaum saja. Tetapi orang Melayu masih "berbudi bahasa" dan tidak melabelkan tindakan MIC dan Hindraf itu sebagai rasis.

ToleransiDi Selangor pula misalnya terdapat 700,000 orang beragama Hindu tetapi mereka mempunyai lebih 1,000 buah kuil. Padahal orang Islam di Selangor berjumlah empat juta orang tetapi hanya mempunyai 380 buah masjid. Sekiranya orang Melayu rasis, sudah tentu di Selangor tidak akan ada 700 kuil kalau melihat nisbah dengan jumlah masjid dan orang Islam. Semua ini berjalan lancar kerana toleransi orang Melayu yang faham peri pentingnya agama lain kepada kaum lain.

Kaum lain tidak perlu sengaja membuat andaian salah terhadap orang Melayu, kononnya Melayu kaum yang rasis dan penindas kepada kaum lain. Buktinya, dalam sejarah dan ketamadunan Melayu tidak mencatatkan Melayu sebagai penakluk. Lihatlah mana-mana catatan sejarah sekali pun, adakah mencatatkan bahawa orang Melayu menjadi penakluk seperti bangsa-bangsa lain di dunia? Kalau dilihat di luar konteks negara, dunia Melayu bukanlah sempit dan tidak berpengaruh. Tetapi memilik pengaruh besar tidak pernah menjadikan Melayu sebagai bangsa penakluk seperti sekian banyak penjajah yang menjajah negara ini. Jadi, orang Cina dan India perlu mengakui bahawa label rasis yang diberikan kepada orang Melayu sebenarnya membongkar sikap rasis mereka sendiri.

Toleransi orang Melayu sebenarnya hingga ke peringkat memakan diri. Semua ini tentunya dilakukan demi keamanan dan kestabilan politik di negara yang dihuni oleh pelbagai kaum ini. Apa lagi yang perlu orang Melayu korbankan supaya tidak dianggap rasis oleh orang bukan Melayu? Hinggakan menghunus keris yang menjadi salah satu daripada resam budaya Melayu tidak boleh dilakukan kerana orang Cina mentafsirkan keris itu melambangkan keganasan. Dalam budaya Melayu menghunus keris tidak ada kena mengena dengan mengamuk atau rasis terhadap kaum lain. Maka berkorbanlah orang Melayu memohon maaf kerana menghunus keris. Sebenarnya cerita tentang keris ini sangat sukar dipercayai tetapi begitulah realitinya yang terpaksa dihadapi oleh orang Melayu bagi menjaga keharmonian hidup di negara ini.

Kaum lain kena ingat, orang Melayu adalah manusia biasa yang mempunyai tahap kesabaran yang sama dengan orang lain. Sekiranya terlalu banyak provokasi yang melabelkan Melayu seolah-olah kaum yang rasis, sudah tentu suatu perasaan yang tidak baik wujud di antara pelbagai kaum di negara ini. Orang Melayu sebenarnya sangat terbuka. Lihatlah apabila ada anak muda Melayu yang membakar bendera Jalur Gemilang dalam kejadian di Batu Buruk, Terengganu, anak-anak muda itu menerima hukuman dan orang Melayu menerima dengan hati terbuka. Tetapi hati mereka remuk apabila seorang remaja Cina yang berada di luar negara menghina lagu Negaraku dengan mengubah lirik yang membawa maksud buruk tidak dikenakan apa-apa tindakan. Anak muda Melayu membakar Jalur Gemilang hanya disaksikan segelintir penduduk di Batu Buruk, tetapi lirik lagu Negaraku yang diubah dapat diakses di seluruh dunia menerusi Internet. MCA dan Gerakan juga mengkritik tindakan yang paling tidak patriotik itu tetapi nadanya sangat lembut dan akhirnya isu itu selesai tanpa penyudah.

Maka kepada isu Ahmad Ismail di Bukit Bendera, ketegasan untuk tidak memohon maaf perlu dihormati serta difahami oleh Gerakan. Hanya baru sekali ini orang Melayu bertegas, selepas banyak kali orang Melayu mengorbankan perasaan mereka untuk menjaga hati kaum lain. Kenyataan bahawa kedudukan kaum lain tidak sama dengan bumiputera di negara ini bukanlah luar biasa. Malah dalam Perlembagaan juga ada peruntukkan tertentu yang tidak diberikan kepada kaum lain. Mempertikaikan kenyataan Ahmad Ismail sama dengan mempertikaikan Perlembagaan. Adakah Gerakan cukup besar untuk mempertikaikan Perlembagaan? Sebaliknya Gerakan yang kelihatan sangat rasis apabila tidak melihat kenyataan Ahmad Ismail dalam konteks yang menyeluruh. Gerakan sengaja memetik frasa-frasa tertentu untuk memperlihatkan seluruh kenyataan itu menjurus kepada rasis. Sebenarnya ini adalah satu contoh tindakan yang rasis.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:02
Asar 4:25
Maghrib 6:59
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.