saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 01/10/2008

Keluarga pengikat kasih Mamat


PERMATA HATI... Dari kiri, Mohd. Khalid Zaffa, Mohd. Khalid Amen, Hasmah Hassan (isteri), Mamat Khalid, Nur Hassanah, Nor Sara dan Mohd. Khalid Adam.


TERASA begitu pantas waktu berlalu sehingga tanpa disedari 1 Syawal 1429 sudah pun membuka tirainya hari ini dan pastinya, seluruh umat Islam menyambutnya dengan penuh rasa syukur dan gembira.

Kegembiraan pastinya terpancar di wajah mereka yang mahu melalui Syawal kali ini penuh makna bersama keluarga tercinta di sisi terutama sekali di pagi Syawal.

Masakan tidak, jika sebelum ini, masing-masing sibuk dengan komitmen mahupun tugas yang memaksa berjauhan dari keluarga, yang pasti, Syawal tidak mampu membawa jauh ikatan kekeluargaan itu.

Itulah yang dapat digambarkan dalam diri sutradara kreatif, Mamat Khalid yang menyambut Syawal kali ini penuh kesyukuran apabila dapat bersama dengan isteri dan anak-anak.

Bukanlah dia kerap berjauhan dengan keluarganya tetapi Syawal memberi seribu erti dan makna buat Mamat apatah lagi melihat keluarga tersayang di depan mata menyambut Syawal dan meluangkan masa bersama mereka.

Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa hampir 14 tahun Mamat berkorban berulang-alik dari rumahnya di Ipoh ke Kuala Lumpur (KL) semata-mata untuk mencari rezeki demi memberikan kehidupan yang selesa buat keluarganya.

Pengorbanan Mamat bukanlah satu tanggungjawab yang mudah untuk dipikul semua lelaki yang bergelar suami dan bapa apatah lagi Mamat melakukannya demi memantapkan kariernya sebagai seorang pengarah filem.

“Setiap orang mempunyai persepsi berbeza berhubung maksud hari raya tetapi bagi saya, Syawal membawa maksud yang mendalam kerana saya menganggap ia sebagai satu kejayaan setelah sebulan berpuasa walaupun di mana kita berada.

“Bagi diri saya, kemenangan dan kejayaan itu akan lebih indah dan bermakna apabila saya dapat menyambutnya bersama keluarga tercinta. Malah, saya berasakan diri saya begitu bertuah untuk berada di samping mereka pada pagi Syawal setiap tahun,” ungkap Mamat membuka bicaranya sewaktu sesi fotografi dilakukan di rumahnya di Ipoh, Perak.

Hasil perkahwinan Mamat bersama isterinya, Hasmah Hassan, 45, pada 12 April 1987, pasangan bahagia itu dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu Mohd. Khalid Zaffa, 20; Nor Sara, 17; Mohd. Khalid Adam, 13; Mohd. Khalid Amen, 12 dan Nur Hassanah, 8.

gelagat anak-anak

Berhimpun di rumahnya tempoh hari, apa yang jelas kelihatan, tiada apa yang lebih membahagiakan dan menggembirakan bapa kepada lima orang anak ini untuk melihat wajah ceria yang terpancar di wajah anak-anaknya saat dia berada bersama mereka dalam membuat persiapan Syawal.

“Saya cukup suka melihat gelagat anak-anak apabila saya dan isteri membawa mereka pergi membeli-belah untuk persiapan menyambut raya. Bukan itu sahaja, setiap kali malam raya, kami sekeluarga akan ke rumah keluarga mertua saya untuk melakukan aktiviti wajib setiap tahun iaitu membakar lemang.

“Memang seronok melihat keriuhan dan semangat mereka menyambut kedatangan Aidilfitri bersama-sama keluarga di samping mereka,” jelasnya lagi.

Bukan itu sahaja, sebaik sahaja tanggungjawab solat sunat Aidilfitri dilunaskan, aktiviti Syawal seterusnya dilangsungkan pula dengan mengunjungi sanak-saudara dan berkumpul bersama mereka.

Seterusnya, acara kemuncak aktiviti hari pertama Syawal adalah berkumpul di rumah abang sulung Mamat iaitu kartunis tersohor, Datuk Lat sebelum pulang ke rumahnya dan menyambut tetamu pada sebelah malamnya pula.

Malah, dengan jujur, peminat setia Datuk Ahmad Jais ini memberitahu, dia sememangnya memanjakan anak-anaknya namun, ia dipantau oleh isterinya.

“Saya berbuat demikian kerana mahu menggantikan kembali waktu yang saya tinggalkan namun, isteri selalu pesan kepada saya kemewahan bukanlah tunjang kepada kebahagiaan tetapi kasih sayang,” kata pemilik nama penuh Mohamad Mohd. Khalid ini penuh makna.

Sememangnya Mamat dan keluarganya dilihat begitu bertuah kerana dikelilingi oleh mereka yang amat mementingkan ikatan kekeluargaan itu sendiri apabila ibu, adik-beradik serta keluarga mertuanya semuanya tinggal di Ipoh.

“Walaupun penat, tetapi semuanya hilang bila melihat keluarga semua berkumpul dan menghabiskan masa bersama,” luah Mamat lagi.

Dilahirkan dan dibesarkan di Sungai Rokam, Ipoh dan hampir setiap masa dikelilingi oleh keluarga tercinta, tradisi itu juga diturunkan pula kepada anak-anaknya.

Maka dengan itu, tidak hairanlah, dia juga membesarkan anak-anaknya di kampung halamannya jauh daripada kesibukan kota metropolitan.

Mungkin ada yang berpendapat ia tidak lagi relevan pada zaman yang serba moden ini tetapi Mamat mempunyai pandangannya yang tersendiri.

“Pada saya, di mana sahaja sebuah keluarga itu berada bukanlah satu masalah tetapi yang penting adalah ikatan kekeluargaan itu sendiri. Kerana itu, saya melihat ini sesuatu yang cukup istimewa dalam hidup saya.

“Saya mahu anak-anak merasai apa yang saya rasa. Bohonglah kalau saya kata saya tidak penat berulang alik setiap dua hari ke Kuala Lumpur tetapi saya sedar semuanya ada hikmah. Memang rindu akan bertandang dalam diri saya namun telefon dan SMS menjadi penghubung lantas menguatkan lagi ikatan kekeluargaan kami,” ujar pengarah filem dan drama berusia 45 tahun ini lagi.

Namun, semuanya itu beralasan dan jelas Mamat lagi, dia tidak mahu mencampur aduk antara karier dan kerjaya kerana tidak mahu ketegangan berlaku yang akan menggoyahkan keharmonian rumah tangga.

“Setidak-tidaknya dengan cara begini, saya dapat fokus kepada kerja saya 100 peratus apabila berada di KL. Bila pulang ke Ipoh, saya akan melupakan segala kerja saya dan menumpukan kepada keluarga.

“Setiap kali pulang ke rumah, saya akan pulang sebelum anak-anak bangun tidur kerana saya mahu mereka melihat saya sebelum ke sekolah. Begitu juga apabila saya pulang semula ke KL, saya akan pergi sebelum mereka tidur kerana mahu bersalaman dan memeluk mereka,” cerita Mamat yang baru sahaja dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21 yang lalu menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang.

Mamat sempat juga berkongsi cerita apabila dia terpaksa beraya di bilik suntingan bagi menyiapkan drama arahannya, Hari Raya Abdullah Rafi yang pernah disiarkan di ntv7 pada tahun 2002.

“Ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu gelodak hati untuk menyambut Syawal bersama keluarga tetapi, mereka pula yang datang meraikannya bersama saya. Setelah semua selesai, barulah, kami menyambut Syawal di rumah mertua yang ketika itu menetap di Mentakab, Pahang.

“Saya bangga dan gembira kerana mempunyai keluarga yang cukup memahami kerja saya. Malah, mereka tidak pernah merungut dengan situasi yang perlu mereka hadapi.

“Cuma, dua anak saya iaitu Amen dan Hassanah yang akan rasa kehilangan saya dan mula menarik muka bila saya mahu ke KL,” ujarnya tersenyum.

Walaupun hati rasa berat meninggalkan kampung halamannya, tetapi Mamat terpaksa membuat keputusan untuk berhijrah ke ibu kota selepas Aidilfitri kerana kerjaya seninya yang semakin sibuk dan kencang.

“Alhamdulillah, keputusan ini direstui oleh isteri dan anak-anak. Malah, mereka juga teruja dengan penghijrahan ini. Saya tidak menyesal kerana ini untuk kepentingan bersama. Rumah kami di Ipoh masih masih ada dan sesekali kami akan pulang ke sana nanti,” tuturnya yang akan muncul dengan filem Estet tahun depan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.