saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 05/10/2008

Cerita Syawal empat artis muda

KETIKA ini mereka adalah antara bintang-bintang paling bersinar. Bukan sahaja muda, cantik, kacak dan bergaya malah mereka juga berbakat besar dalam lakonan. Semakin mengukuhkan kedudukan sebagai pendatang baru yang menyerlah, mereka juga menjadi rebutan dalam dunia lakonan.

Siapa yang tidak mahu mengenali dan mengetahui cerita-cerita tentang mereka, terutama jejaka bernama Remy Ishak yang dikatakan memiliki persona lelaki Melayu sejati.

Kacak berkulit hitam manis, senyuman Remy dikatakan mampu mencairkan hati-hati mereka yang mengagumi ketampanannya. Begitu juga dengan aktres cantik Lisa Surihani yang dilihat berpotensi besar dalam lakonan serta dianggap antara pelakon muda yang bijak.

Sekalipun kini sedang sibuk berlakon antaranya drama Obsesi, kolaborasinya bersama Remy, Lisa masih sempat mengikuti kursus amalan guaman di sebuah kolej di ibu kota.

Diana Danielle pula tidak perlu diperkenalkan lagi kerana bukan sahaja popular dengan drama-drama terbitan Skop Production antaranya yang terkini, Farah Syakira di RTM2.

Malah dia juga amat dikenali sebagai buah hati Shamsul Yusof, pengarah muda yang juga merupakan anak kepada tuan punya Skop Production, Datuk Yusof Haslam.

Sementara Fouziah Gous pula mendadak namanya di persada seni selepas mendapat anugerah tajaan Pantene, Pelakon Wanita Harapan Popular pada Anugerah Skrin tahun lalu.

Bekas pramugari berambut panjang mengurai yang mula diperkenalkan menerusi drama Cinta Medik kini semakin mendapat perhatian peminat menerusi lakonannya dalam Sutera Maya dalam slot Samarinda di TV3.

Sememangnya keempat-empat bintang ini menyemarakkan dunia seni. Namun bergelar artis, tentu ada harga yang perlu dibayar. Kini mereka bukan lagi orang biasa tetapi artis popular dan apa sahaja mereka lakukan ingin diketahui khalayak.

Justeru sambutan Syawal kali ini juga agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya sementelah nama mereka kini tengah meletup. Selami pengalaman mereka menyambut Syawal tahun ini dalam suasana yang berbeza dan lebih meriah daripada kebiasaannya.

l Remy ada bajet untuk keluarga

AKTOR yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka ini mengakui perasaannya bercampur baur menyambut Syawal kali ini. Sementelah dirinya semakin dikenali sejak kebelakangan ini membuatkan dia berasa gementar dan gembira.

Gementar kerana khalayak sudah mula perasan dengannya sekali gus memerhati segala perbuatan, peri laku dan tindak tanduknya.

“Tak macam dulu masa tahun pertama dan kedua saya bergelar pelakon baru kerana masih tiada siapa yang perasankan saya,” katanya yang masuk tahun ketiga menyambut Lebaran sebagi artis.

Namun begitu, dia juga berasa gembira dengan perubahan itu kerana semenjak dikenali, rezekinya semakin bertambah.

Berbanding dulu, kata Remy, kini berkemampuan untuk menyediakan bajet bagi bersedekah duit raya kepada kanak-kanak yang datang ke rumah.

Biarpun tidak membuat rumah terbuka tahun ini kerana harus kembali bekerja pada hari raya keempat untuk pra-produksi sebuah filem namun Remy mengakui ramai tetamu yang datang berkunjung ke rumahnya terutama jiran sekampung.

“Alhamdulillah, nampaknya tahun ini ada rezeki yang Tuhan berikan membolehkan saya menyediakan segala persiapan raya pada tahun ini termasuk keperluan rumah, untuk mak dan adik beradik.

“Sebagai anak lelaki sulung dan ada pula rezeki lebih, saya mengeluarkan belanja, beli biskut raya dan baju raya untuk mak, ayah dan adik beradik serta anak saudara.

“Dulu sambutannya ala kadar dan selalu tidak dapat memberi apa-apa hadiah untuk mereka,” kata anak kedua daripada empat beradik ini.

Menggemari biskut tart nanas, kata Remy, dia juga amat menggemari hidangan ketupat dengan ayam hutan masak cili api ketika sambutan Syawal.

Malah masakan ayam hutan masak cili padi itu merupakan masakan istimewa di kalangan orang kampungnya.

“Kiranya kalau orang lalu pun saya tak layanlah kalau sedang menikmati hidangan tersebut,” ujarnya sambil ketawa.

Memberitahu bahawa dapat berkumpul bersama seluruh keluarga merupakan saat paling indah dalam hidupnya, Remy juga mengakui nakal ketika zaman remajanya.

Bermain meriam buluh dan meriam tanah merupakan antara aktiviti yang dilakukan bersama teman sekampung hingga pernah dikejar polis.

“Biasalah anak kampung, tentulah main meriam buluh dan meriam tanah. Itukan permainan orang kampung.

“Jadi orang keluar sembahyang terawih, kita pun keluar. Tapi pergi main. Bila tiba masa makan, baru nampak muka.

“Tapi kenangan pahit saya yang saya tak dapat lupakan tentulah bila tak dapat pulang beraya ketika terpaksa bekerja sedangkan kami adik beradik rapat antara satu sama lain,” katanya yang pernah bekerja di sebuah hotel di ibu kota.

l Lisa Surihani menangis selepas mimpi

Mengambil keputusan menjadi artis bukanlah satu keputusan yang mudah. Hari ini barulah Lisa merasai sendiri kerjaya ini memberi satu cabaran yang cukup besar buatnya. Bayangkanlah di hujung Ramadan pun dia masih lagi berada di lokasi kerana sibuk dengan penggambaran drama.

Kata Lisa, kesibukan itu membuatkan dia tidak sempat untuk menempah baju raya walaupun kainnya baju kurungnya sudah dibeli di Terengganu.

“Saya beli kain itu pun masa saya ada penggambaran drama di sana. Balik dari penggambaran ingatkan nak buat baju kurung tapi sampai hari ini tak sempat. Terpaksalah raya tahun kali ini saya pakai baju lama,” kata Lisa.

Walaupun begitu graduan undang-undang dari sebuah universiti di United Kingdom ini tidak dapat melupakan kisahnya menyambut raya ketika menuntut di negara itu.

Semasa hari raya pertama Lisa bermimpi melihat orang takbir raya tetapi selepas terjaga, rupa-rupanya dia berada seorang diri di dalam bilik tidur. Tidak dapat menahan sebak, Lisa mengaku ketika itu dia menangis kerana terkenangkan keluarga di kampung.

Suasana di bandar Wales tidak seperti di London yang ramai orang Melayu dan masyarakat Islam. Sudah tentu menyambut Syawal di kawasan yang agak pedalaman itu memberi kesan yang amat mendalam kerana ia sedikitpun tidak dapat menghilangkan kerinduan terhadap kampung halaman.

“Walaupun saya bersama rakan-rakan Islam yang lain menyambut raya tapi suasananya amat berbeza. Sedikit pun tak ada kemeriahan,” katanya.

Bercerita mengenai sambutan Syawal pada tahun ini, ujar Lisa dia gembira kerana dapat bertemu ahli keluarga dan saudara mara yang jarang sekali berjumpa.

Menyambut raya di Ampang, Selangor, tahun ini amat bererti kerana dia baru mendapat anak saudara pertama yang lahir pada 20 September lalu selain sudah bergelar “auntie”.

l Kerana biskut raya, Diana gemuk

SYAWAL ini merupakan Lebaran yang paling tidak meriah yang dirasai oleh gadis manis berusia 17 tahun ini kerana kebanyakan masanya perlu dihabiskan dengan mengulangkaji pelajaran.

Ini kerana esok (6 Oktober) dia akan menghadapi peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain perlu bersiap sedia menghadapi peperiksaan itu pada bulan depan.

Bagaimanapun berpeluang pulang ke kampung halaman ibunya di Taiping, Perak berjaya mengubat hati Diana.

Berkumpul bersama ahli keluarga ibunya, kata Diana merupakan saat yang ditunggu-tunggu pada setiap tahun kerana ketika itulah dia dapat berjumpa dengan makcik, pakcik dan sepupunya yang berjumlah 30 orang.

“Mama ada 10 adik beradik dan mereka semuanya mempunyai ramai anak. Ada yang sudah berkahwin dan mempunyai anak.

“Jadi memang kalau berkumpul waktu raya, meriah sungguh. Saya pula anak tunggal, memang seronok rasanya dapat berkumpul begitu,” kata Diana.

Amat menggemari masak lemak cili padi dan rendang yang dibuat ibu saudaranya, dia boleh makan sehingga lima pinggan jika dihidangkan masakan itu, katanya sambil ketawa.

Juga menyukai biskut tart nanas, Diana memberitahu pernah berat badannya naik sehingga 10 kilogram tahun lepas gara-gara ketagih makan biskut raya dan kek ketika waktu raya.

Sehinggakan buah hatinya, Shamsul bukan sahaja risau melihatkan berat badan Diana malah kerap mengejek dan memanggilnya, ‘gemuk’.

“Uncle (Yusof Haslam) lagi teruk. Kalau jumpa sahaja, dia pasti akan gelakkan saya. Hinggakan kalau saya datang ke rumah Shamsul dan nak berjumpa Datin (Fatimah Ismail), saya menyorok sehingga uncle keluar barulah saya bertemunya,” kata Diana sambil ketawa.

Pernah tercedera kaki akibat bermain mercun pada usia lapan tahun, Diana memberitahu, dia juga tidak pernah ketinggalan menziarah keluarga Shamsul sejak menjalinkan hubungan tiga tahun lalu.

Pun begitu, kata Diana, kenangan beraya bersama buat pertama kali merupakan kenangan terindah dalam dirinya.

Cuma pada tahun ini dia tidak berkesempatan meluangkan masa membeli belah bersama buah hatinya itu kerana sibuk mengulangkaji pelajaran dan Shamsul sendiri sibuk dengan kerja penyuntingan.

l Fouziah Gous beraya di kampung orang

SEMAKIN gemerlapan bintangnya, Fouziah Gous antara artis yang berjaya meraih populariti dek kerana kecantikan yang dimiliki. Membuat keputusan meninggalkan kerjayanya sebagai pramugari MAS, Fouziah tidak menyesal memilih untuk menjadi pelakon kerana minat.

Berbeza seperti tahun-tahun lalu, selepas membuat keputusan menjadi pelakon menuntutnya untuk berkorban masa bersama keluarga.

Percaya atau tidak menurut Fouziah sejak Ogos lalu dia tidak pernah mempunyai waktu terluang kerana sibuk dengan penggambaran drama.

Sebagaimana Lisa, sehinggalah tamat Ramadan Fouziah masih berada di lokasi penggambaran dan tidak sempat untuk menguruskan persiapan raya.

“Terus terang saya katakan pada tahun ini saya cuma beli kuih di kedai. Baju pun tak sempat nak tempah sebaliknya beli yang dah siap,” katanya.

Menyambut Syawal di Puchong, Selangor, beza beraya di dalam diri Fouziah kerana dia tidak pernah merasai bagaimana beraya dalam suasana kampung.

Dibesarkan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, pada tahun ini beliau berhasrat untuk merasai suasana itu dengan beraya di rumah kakak iparnya di Pekan, Pahang.

“Saya dan keluarga akan beraya di rumah kakak ipar baru kami kerana nak merasai bagaimana indahnya beraya di kampung seperti yang selalu orang sebutkan.

“Tapi sayang ini bukan kampung saya tapi kampung orang,” ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.