saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 07/10/2008

Gafim harus diterajui orang filem


AHMAD PUAD ONAH


MUKADIMAH

BULAN lalu, Ahmad Puad Onah telah dilantik sebagai Presiden Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafim) yang baru pada mesyuarat agung gabungan itu di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Beliau menggantikan Datuk Mustapha Maarof yang mengundurkan diri atas sebab-sebab tertentu selain mahu menumpukan sebagai Presiden Persatuan Seniman Malaysia.

Pelantikan Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn. Bhd., itu meneruskan tradisi dalam Gafim yang diterajui oleh kalangan penggiat dalam industri perfileman tanah air.

Ini kerana, di bawah payung Gafim terdapat 11 persatuan termasuklah yang bukan berkaitan filem, misalnya Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita).

Sehubungan itu, Ahmad Puad berkata tidak timbul isu apabila Gafim kini terus diterajui oleh orang filem sepertinya untuk tempoh tiga tahun yang akan datang. Ikuti temu bual wartawan Hits, ABD. AZIZ ITAR bersama jurugambar ZAKARIA IDRIS dengan beliau di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.


HITS: Apa komen anda apabila Gafim terus dikuasai oleh Presiden daripada kalangan penerbit filem?

AHMAD PUAD ONAH: Saya rasa, isu itu tidak timbul kerana Gafim itu sendiri merujuk kepada industri perfileman. Malah, bukan setakat saya tetapi sebelum ini Presiden Gafim memang semuanya daripada kalangan orang filem. Contohnya, Datuk Mustapha Maarof dan Tan Sri Jins Shamsudin merupakan bekas Presiden Gafim yang terdiri daripada kalangan orang filem.

Apatah lagi, saya dipilih oleh ahli-ahli Gafim pada mesyuarat tersebut. Malah, saya fikir Gafim memang sepatutnya diterajui oleh orang filem sendiri.

Mengapa anda kata begitu?

Ini kerana, kebanyakan persatuan yang bernaung di bawah Gafim merupakan persatuan yang memlibatkan dunia lakonan termasuklah filem dan drama televisyen.

Papita antara persatuan yang bukan daripada kalangan orang filem, tetapi bagi saya muzik juga sebahagian daripada filem. Ini kerana, lagu juga memainkan peranan dalam filem.

Kalau tidak ada lagu dan suara, maka filem itu akan jadi kosong atau jadi filem bisu. Maka akan jadilah seperti filem Charlie Chaplin.

Apakah perancangan anda selepas dilantik sebagai Presiden Gafim yang baru?

Sebagai permulaan, saya akan panggil kesemua Ahli Jawatankuasa (AJK) Gafim untuk bermesyuarat, mungkin seminggu dua selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Kami akan tentukan tugas setiap AJK untuk kami sama-sama bekerja bagi kebajikan ahli-ahli persatuan ini. Kalau boleh kami tidak mahu tumpu kepada soal penganjuran festival filem atau badan-badan kebajikan semata-mata tetapi ia seharusnya lebih menjurus kepada ahli-ahli di bawah Gafim.

Contohnya?

Banyak masalah yang timbul sejak akhir-akhir ini, misalnya isu yang ditimbulkan oleh Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM) yang dikatakan menerima saingan daripada kemunculan Primework Studios Sdn. Bhd. yang berada di bawah kendalian Media Prima Berhad.

Kita perlu faham bahawa syarikat baru itu bukanlah menjadi ancaman kepada PTVM dalam usaha mereka untuk mendapatkan slot-slot rancangan TV di stesen-stesen TV Media Prima seperti TV3, ntv7, 8TV atau TV9.

Sebaliknya, mereka juga terpaksa bersaing sesama sendiri dan memilih hanya rancangan-rancangan berkualiti untuk siaran di saluran-saluran TV tersebut.

Dalam hal ini, semua pihak harus bersaing dan perlu menghasilkan produk-produk yang berkualiti. Selain itu, kami juga kini sedang memperjuangkan caruman para pekerja filem dalam caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kami sudah tiga kali bermesyuarat berhubung perkara itu. Proses perbincangan dan persetujuan sudahpun dicapai di mana ia diharap dapat dilaksanakan tidak lama lagi.

Jika Gafim menerima persatuan seperti Papita yang berteraskan muzik, adakah gabungan ini juga sanggup menerima Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bernaung di bawahnya?

Kami di Gafim tidak ada masalah untuk menerima kemasukan Karyawan kalau mereka berminat untuk menyertai gabungan ini.

Saya memang mengalu-alukan kemasukan persatuan itu dalam Gafim. Ini kerana, Gafim merupakan suatu gabungan persatuan artis yang sudah kukuh di mana ia telahpun diiktiraf oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW).

Jadi, takkanlah kita yang sudah lama ditubuhkan dan diiktiraf mahu menyertai Karyawan yang hanya merupakan sebuah persatuan sahaja berbanding 11 lagi persatuan di bawah Gafim?

Selain Gafim, anda juga adalah Presiden Persatuan Pengeluar- Pengeluar Filem Malaysia (PFM). Adakah dua tugas tersebut tidak bertindih antara satu sama lain?

Isu itu juga tidak timbul kerana, Gafim mewakili 11 persatuan di bawahnya, sedangkan di PFM saya mewakili 80 ahli-ahli bersekutunya selain 60 lagi ahli-ahli biasa yang bernaung di bawah persatuan ini.

Di PFM, saya tentulah ada agenda bersama ahli-ahli kami yang lain. Ini kerana, setiap persatuan ada aktiviti mereka masing-masing. Contohnya, Persatuan Pekerja-Pekerja Filem Malaysia (PPFM) menganjurkan Anugerah Oskar, Gafim pula menganjurkan Festival Filem Malaysia bersama Finas.

Cuma sebagai Presiden Gafim, saya akan pastikan segala aktiviti dan kebajikan ahli-ahli kami akan dijaga. Selain itu, Gafim juga akan memastikan supaya ada aktiviti-aktiviti dianjurkan semasa sambutan Hari Seniman Negara yang disambut pada setiap 29 Mei. Jadi, daripada sekarang Gafim harus merancang pelbagai aktiviti untuk sambutan tersebut.

Apakah perkara yang belum Gafim laksanakan?

Kita memang banyak merancang pelbagai aktiviti tetapi ia harus dilakukan satu persatu. Misalnya, sekarang ini kami sedang mengusahakan untuk memilih sebuah lagu sebagai lagu tema untuk Hari Seniman Negara.

Buat masa ini, kami sedang memilih dan mengusulkan beberapa buah lagu yang sesuai. Selepas itu, kami akan serahkannya kepada KPKKW atau Finas untuk memilih serta menentukannya.

Sebagai Presiden PFM, ceritakan sedikit tentang persiapan penganjuran Festival Filem Asia Pasifik Ke-52 yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia pada November ini.

PFM akan memilih lima filem tempatan yang dirasakan layak untuk bertanding pada festival itu nanti.

Ada sedikit masalah apabila pada tahun lalu ia yang sepatutnya diadakan di Hong Kong terpaksa dibatalkan kerana pihak tuan rumah menarik diri kerana sebab-sebab tertentu.

Tahun ini, saya jangkakan sekitar 150 delegasi kita akan ke sana. PFM akan menaja juri yang didatangkan dari Malaysia, manakala Finas juga akan membantu membawa delegasi seperti pelakon dan pengarah pada festival tersebut.

Akhir sekali, apakah harapan anda sepanjang menjadi Presiden Gafim untuk tempoh tiga tahun akan datang?

Saya harap dapat bekerjasama dengan AJK Gafim bagi membantu menyelesaikan segala masalah yang berlaku di kalangan 11 persatuan yang bernaung di bawah gabungan ini.

Sekarang adalah masa untuk kita bekerja keras dan bukan setakat bercakap perkara-perkara remeh temeh sahaja. Apa yang penting kebajikan ahli-ahli Gafim dapat dijaga. Soal isu jawatan, itu jangan tanya saya kerana saya dipilih oleh ahli-ahli gabungan ini. Kalau ada yang tidak puas hati dan mahu bertanding tunggulah pada mesyuarat agung yang akan datang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.