saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 09/10/2008

Eurofine pernah buang 90 pekerja


IDA Rahayu Md. Noor bermesra dengan anak-anak yatim yang turut dijemput memeriahkan lagi majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Kumpulan Syarikat Eurofine di Petaling Jaya, Selangor kelmarin.


EUROFINE (M) Sdn. Bhd. (Eurofine) merupakan sebuah syarikat produksi tempatan yang aktif menerbitkan program-program televisyen (TV) seperti drama, telemovie, sitkom, dokumentari dan filem sejak ia ditubuhkan 17 tahun lalu.

Sepanjang terbabit dalam bidang penerbitan, syarikat yang beribu pejabat di Bandar Baru, Nilai, Negeri Sembilan, ini melalui pelbagai cabaran getir seperti menghadapi masalah kekurangan produk untuk dijual kepada stesen-stesen TV tempatan.

Ekoran masalah itu, Penerbit dan Pengarah Urusan Eurofine, Ida Rahayu Md. Noor berkata, syarikat itu pernah bertindak memberhentikan 90 pekerja di bawah syarikat produksinya pada tahun 2002 kerana kurang mendapat slot pembekalan rancangan di stesen-stesen TV.

"Seingat saya, setakat ini kami pernah mendapat 300 jam untuk pembekalan slot rancangan-rancangan TV di RTM (Radio Televisyen Malaysia) pada tahun 1998 dan ia merupakan jumlah paling banyak pernah diperoleh.

"Ketika itu, kami menerbitkan banyak program TV dan mempunyai 110 kakitangan. Tetapi selepas tahun 2002, kami tidak banyak menerbitkan program yang boleh dijual kepada stesen-stesen TV hingga memaksa kami kurangkan kakitangan menjadi seramai 20 orang sahaja.

"Kini 20 kakitangan terdiri daripada mereka yang terbabit dalam bidang pengembangan skrip, konsep, grafik, animasi dan pengurusan sementara yang lain pekerja sambilan," katanya ketika ditemui pada majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Kumpulan Syarikat Eurofine di Petaling Jaya, Selangor kelmarin.

Mulai saat itu, kata Ida Rahayu, syarikatnya lebih banyak menerbitkan dokumentari menyebabkan ramai yang beranggapan beliau sudah kurang aktif menerbitkan drama-drama TV.

Bagaimanapun tambahnya, pada tahun ini Eurofine kembali semula dengan penerbitan drama-drama TV yang kebanyakannya sudah siap sedia untuk ditayangkan di stesen-stesen TV.

"Setakat ini kami sudahpun menerbitkan 18 telemovie dan juga enam drama bersiri. Kebanyakannya untuk siaran TV di RTM dan sebuah lagi untuk TV3," ujarnya.

Senario itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebanyakan produk terbitan Eurofine lebih banyak dijual bagi mengisi slot TV di RTM berbanding stesen-stesen TV lain.

Mengulas perkara itu, kata Ida Rahayu, perkara itu tidak menjadi isu kerana ia merupakan perkara biasa dalam soal keperluan pembekalan rancangan kepada stesen-stesen TV.

"Dulu masa mula-mula iaitu pada tahun 2000 susah juga untuk jual program kepada TV3. Antara drama yang terawal kami jual kepada TV3 berjudul Kiranya Ku Tahu. Selepas itu banyak juga produk kami yang disiarkan di TV3.

"Mungkin setiap stesen TV berasakan mereka juga mempunyai pemilihan sendiri tentang rancangan bagaimana yang sesuai untuk saluran mereka.

"Apatah lagi, TV3 tidak banyak membeli produk luar kerana mereka juga ada syarikat seperti GBSB (Grand Brilliance Sdn. Bhd.) yang banyak membekalkan produk TV.

"Sementara RTM pula lebih terbuka dalam hal ini di mana mereka memberi ruang yang luas kepada syarikat pembekal rancangan TV dari luar. Selain drama, RTM juga banyak membeli animasi yang kami terbitkan seperti siri animasi Yokis, Alif dan Kenyalang," katanya.

Antara drama terbaru Eurofine yang akan ditayangkan di kaca TV tidak lama lagi berjudul Kembali, Cinta Batu Belah, Ash & Aeri, Aku Punya Kamu, Azam, Mama Nenek, Teratak Kasih Tok Mak, Puisi Buat Anis, Lemas Dalam Cinta, Kita Berdua dan Kepulangan.

Selain itu, Akhir Sebuah Ilusi, Lily Marlin, Anum, 25 Tahun Menghitung Duka, Bara Yang Ku Genggam, Lara, Noktah Pilu, Nine P.I., dan Milik Siapa Hati Ini juga merupakan drama bersiri terbaru terbitan Eurofine.

Ketika ditanya tentang Fine TV kendalian Eurofine yang menyediakan saluran TV interaktif rancangan-rancangan berbayar sejak 2004, Ida Rahayu berkata, ia masih berjalan seperti biasa.

Jelasnya, buat masa ini saluran yang boleh diikuti menerusi jalur lebar itu dan dilanggani dengan harga RM28 sebulan dan mempunyai 2,000 pelanggan itu lebih banyak tertumpu di premis-premis universiti seluruh negara.

"Bagi memperluaskan lagi perniagaan Fine TV, kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi kami supaya pasarannya lebih meluas dalam industri penyiaran tempatan.

"Setakat ini sasaran kami 2,000 pelanggan sahaja tetapi ia akan bertambah selepas ini. Apatah lagi, sehingga ini kami mempunyai 20 saluran yang menayangkan pelbagai rancangan," ujarnya lagi yang masih aktif menerbitkan dokumentari.

Dokumentari terbaru terbitan Eurofine berjudul Minda, Fashion Sense, The Other Sides of Food, Poskad Fadzly, Towering Malaysians dan Cinta Diri Musim serta animasi bertajuk Tulis serta Taman Karang.

Eurofine yang sebelum ini pernah menerbitkan dua buah filem berjudul Putih (animasi) dan Anaknya Sazali pada majlis itu turut meraikan rakan kongsi dan 40 anak-anak yatim serta orang kurang upaya.

Sumbangan hari raya turut diberikan kepada mereka di mana ia disampaikan oleh Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad di mana Eurofine turut mendapatkan kerjasama daripada Pergerakan Puteri UMNO Petaling Jaya Utara bagi menjayakan majlis tersebut.

Majlis pada tengah hari hingga awal petang itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian Ning Baizura dan Kumpulan Daya Tebrau Remaja Ghazal dari Johor.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.