saya nak baca ..

FEMININ


ARKIB : 15/10/2008

Seni tenunan kesinambungan estetika


MANIS sungguh pengantin perempuan bersongket hijau.


Songket sutera panjang sembilan,
Panjang sutera hingga kepala;
Tuan laksana permata intan,
Kami menumpang akan cahayanya.
Lebat daun bunga tanjung,
Berbau harum bunga cempaka;
Adat dijaga warisan disanjung,
Barulah terpelihara khazanah bangsa.
Dari alam luas terbentang,
Ilham dipetik sangat cemerlang;
Bakat pencipta bukan kepalang,
Seni lama kekal gemilang.
(Koleksi pantun budayawan Azah Aziz)

SENI tenunan di Malaysia telah giat diusahakan sejak 200 tahun yang lalu. Kemasukan pedagang Arab dan Cina dengan barang dagangan mereka seperti benang emas, sutera serta bahan pewarna menjadi pemangkin kepada industri tenunan tempatan.

Mereka turut membawa bersama tukang yang mahir menenun, menganyam dan mengukir. Seni itu kemudiannya dipelajari penenun tempatan dan berjaya menghasilkan tekstil tenunan seperti limar, songket dan tenun Pahang yang memberi imej dan identiti tempatan.

Pada awalnya, kain tenun menjadi pakaian larangan yang hanya boleh dipakai oleh kerabat dan pembesar istana.

Namun kini, kain tenun telah diberi sentuhan inovasi dan sesuai dipakai oleh semua lapisan masyarakat seterusnya menambah pendapatan keluarga.

Kraf tangan Malaysia sebagai peneraju industri kraf negara turut menjadi medan perkongsian ilmu serta kemahiran di antara pengusaha, pereka dan pengajar tenunan dari dalam dan luar negara. Perkongsian ini berupaya menjadikan kraf tenunan sebagai industri yang dinamik dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.

Kain sarung

Sarung merupakan pakaian tradisi bagi lelaki dan wanita Melayu. Ia memperlihatkan ciri khas, iaitu dipakai secara menyarung atau kain dililit pada bahagian pinggang atau dada (berkemban), menutup labuh ke bawah lutut hingga ke buku lali.

Kain sarung ditentukan mengikut pembahagian ruang yang yang menempatkan reka corak atau motif hias. Bahagian-bahagian tersebut ialah badan, kepala dan kaki kain yang mempunyai peranan dalam menentukan cara ikat kain atau penyusunan motif.

Bahagian kepala berhiaskan motif 'pucuk rebung' dan 'lawi ayam'. Badan kain pula selalunya berhiaskan corak penuh ataupun corak bertabur dengan motif seperti 'bunga pecah empat dan enam'. Kaki kain ialah bahagian yang terletak di atas atau di bawah kain sarung.

Tradisi pemakaian sarung songket, limar dan kain tenun diwarisi juga keluarga diraja dan pembesar negara. Pelbagai reka corak dan ragam hias yang halus buatannya dihasilkan oleh penenun-penenun istana menjadi pelengkap kepada busana diraja.

Terdapat dua cara memakai kain sarung, iaitu dengan ikat 'ombak mengalun' dan ikat 'kuncup' atau 'ikat tindih kasih'.

Ikat 'ombak mengalun' atau dikenali sebagai ikat 'Johor-Riau' dipakai sama ada dengan baju kurung Johor, kurung Teluk Belanga atau baju kurung Cekak Musang. Kepala kain sama ada batik, tenun atau songket diletakkan di belakang. Ikatan tindih kasih pula biasanya dipakai oleh anak gadis dengan melingkupkan kepala kain di bahagian hadapan dan dipadankan dengan baju kebaya labuh, baju kurung Johor, baju Kedah, kebaya Cetia atau kebaya Nyonya.

Sarung juga dijadikan kain samping yang melengkapkan lagi bentuk berpakaian lelaki Melayu dan kadangkala digaya dalam pakaian wanita istana seperti pakaian Puteri Perak.

Songket Kelantan dan Terengganu

Songket adalah antara tekstil tenun tradisional yang giat diusahakan di Kelantan dan Terengganu. Benang emas atau perak yang dililit pada cuban (sebagai benang pakan) disulam atau disungkit melintang di celah benang loseng lalu menghasilkan ragam hias atau reka corak pada kain yang ditenun. Kain ini juga dikenali sebagai songket cuban atau kain berpakan emas.

Umumnya songket terbahagi kepada empat bahagian iaitu badan, kepala, kapit serta kaki kain dan pada setiap bahagian ini dihiasi dengan motif-motif tertentu. Kepala kain biasanya dihiasi dengan motif pucuk rebung atau lawi ayam; badan kain dihiasi dengan motif bunga pecah lapan, tampuk manggis, bunga kesemak yang diragam hias dengan teluk berantai; manakala kapit dan kaki kain menggunakan motif sulur bayung.

Terdapat lebih daripada 20 jenis bunga dan daun serta 10 jenis unggas yang menjadi sumber bagi menghias songket.

Songket anggun dipakai dengan baju kurung atau kebaya panjang yang dilengkapi dengan selendang atau kain kelubung. Selain daripada itu, songket turut dipakai sebagai samping, tengkolok atau bengkung.

Limar

Tenun limar adalah hasil teknik ikat ganda melalui proses ikat celup di mana benang loseng dan pakan diikat sebelum diwarna. Kain limar benang kapas atau sutera yang ditambah dengan sulaman (disongket) dengan benang emas dikenali sebagai 'limar bersongket'. Kain limar juga turut dihiasi dengan perada emas dan dikenali sebagai 'limar bertelepuk.'

Penenun biasanya menggunakan warna-warna lembut seperti hijau, merah jingga dan ungu bagi menghasilkan tenunan limar. Pemilihan motif pula ditentukan oleh jenis kain yang akan ditenun; kain limar jantan dihiasi dengan motif pohon bunga bersayap (pohon ayat) dan pucuk rebung; kain limar betina berhias dengan motif renik (kecil) patola; manakala kain limar berayat dihiasi dengan tulisan jawi.

Umumnya kain limar dijadikan kain panjang seperti selendang, bengkung atau kain lepas. Dahulu limar menjadi pakaian golongan bangsawan dan istana terutama semasa upacara perkahwinan (semasa adat mandi berlimau), kelahiran dan kematian.

Songket Sarawak

Masyarakat Sarawak mewarisi kepakaran menenun songket daripada masyarakat Melayu Brunei. Sebelum mengenali benang sutera, penenun tempatan terlebih dahulu menggunakan serat nanas atau pisang yang diwarna dengan bahan pewarna asli.

Songket Sarawak dapat dibahagikan kepada empat jenis, iaitu, pertama kain bertabur (bunga bertabur di bahagian badan kain); kedua kain berturus (corak berdiri, jalur emas); ketiga kain belatak (corak penuh yang sarat dengan benang emas) dan keempat kain biasa atau dikenali sebagai kain lungik, kain bertabur atau kain songket sutera pisang.

Songket Sarawak biasanya digunakan semasa meraikan upacara adat seperti 'sheikh gendang' atau berkhatam al- Quran dan upacara perkahwinan di mana kain tenunan ini dijadikan penghias 'ponggor' (pelamin).

Tenun Bercorak

Tenunan bercorak ialah hasil jalinan benang pakan dan loseng yang berwarna menggunakan sama ada benang kapas atau sutera. Kebiasaannya benang emas diselitkan untuk mengimbangi motif jalur atau garis kecil dan ini memperlihatkan keindahan tenunan bercorak.

Kain tenunan bercorak biasanya bercorak melintang, memanjang, beragi, corak Bugis dan corak Muar. Corak ini terdapat di Pahang, Kelantan dan Terengganu. Di Pahang, kain tenunan ini dikenali sebagai tenunan sutera Pahang yang dipercayai telah dibawa masuk pada abad ke-17 oleh orang Bugis.

Pua Kumbu

Pua, tenunan ikat lungsing yang diwarisi turun temurun oleh kaum Iban memaparkan identiti dan pegangan kuat kaum tersebut kepada adat dan tradisi hidup. Dahulu motif tumbuh-tumbuhan dan binatang yang digarap oleh penenun menghasilkan reka corak pua yang unik dan tersendiri.

Kini penenun lebih tertumpu kepada motif moden seperti bentuk tumbuh-tumbuhan dan geometrik. Selain digunakan dalam upacara adat istiadat dan keagamaan, pua kumbu juga dijadikan pelbagai jenis pakaian tradisi seperti bidang (skirt), kalambi (jaket), sirat (cawat) dan dingdong (kain selempang).

Tenun Sabah

Di kalangan masyarakat Bajau, tenunan benang kapas disebut tubau. Pengantin wanita akan memakai sarung olos berangkit untuk melengkapkan cara berpakaian masyarakat Bajau. Olos berangkit pula merupakan kain baldu yang dihiasi dengan hiasan sulaman pada bahagian hadapan kain tersebut.

Kain mugah pula merupakan kain sarung panjang tenunan tangan dengan jalur mendatar. Kain ini dipakai semasa majlis perkahwinan berserta dengan selendang yang dipakai pada bahu sebagai penghias diri.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.