saya nak baca ..

KESIHATAN


ARKIB : 17/10/2008

Makanan tambahan atau makanan seimbang?


PENGAMBILAN sayur dan buah-buahan akan lebih menyihatkan tubuh badan. - Gambar hiasan


PENGAMBILAN makanan tambahan atau suplemen sama ada dalam bentuk pil, serbuk atau cecair setiap hari bukan lagi amalan luar biasa di kalangan masyarakat hari ini.

Di kalangan selebriti terkenal misalnya, ia bagaikan satu kemestian yang didakwa bertujuan mengekalkan kesihatan.

Golongan ini dikatakan terlalu berhati-hati dalam soal pengambilan makanan sehingga ada yang bergantung kepada makanan tambahan semata-mata dan mengehadkan pengambilan makanan seperti nasi dua atau tiga kali seminggu.

Namun, sejauh mana keperluan dan kepentingan makanan tambahan tersebut kepada seseorang itu masih menjadi persoalan kebanyakan daripada kita.

Membincangkan topik itu, Ketua Pemakanan di Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw John berkata, selagi seseorang itu sihat dan boleh makan apa sahaja, mereka sepatutnya tidak perlu mengambil makanan tambahan.

Menurutnya, perlu atau tidaknya pengambilan makanan tambahan bergantung kepada kesihatan seseorang.

Ini kerana keperluan bagi setiap individu adalah berbeza antara satu sama lain.

Menerangkan lebih lanjut kata Mary, secara umumnya, seseorang itu tidak perlu bergantung kepada makanan tambahan selagi mereka mengamalkan pemakanan seimbang dalam kehidupan harian.

“Sebenarnya kita tidak memerlukan makanan tambahan selagi masih mengamalkan pemakanan seimbang. Adalah tidak benar bahawa sebiji pil makanan tambahan mampu menggantikan makanan untuk tengah hari ataupun malam,’’ ujarnya.

Beliau menyangkal pendapat sesetengah individu mengambil makanan tambahan kerana berpandangan makanan seharian tidak lagi mampu memenuhi khasiat yang diperlukan badan.

Katanya, untuk mendapatkan pemakanan seimbang bukanlah rumit seperti yang disangkakan sesetengah orang.

Seseorang perlu makan seperti yang disarankan dalam piramid makanan. Menu harian perlu seimbang - ada sumber karbohidrat, protein, serat, vitamin dan mineral - yang semuanya ini boleh diperoleh daripada makanan.

Beliau menjelaskan, sebenarnya hanya dalam kes tertentu seseorang itu disarankan mengambil pil makanan tambahan.

Selain golongan tua, golongan pesakit yang mengalami masalah hati, batu karang, pankreas dan penghadaman antara yang disaran mengambil makanan tambahan.

Tidak terkecuali mereka yang mengamalkan diet sebagai contoh golongan remaja, wanita yang datang haid serta wanita hamil.

Menerangkan mengenainya, kata Mary, bagi golongan tua, proses penuaan secara tidak langsung akan mempengaruhi kecekapan sistem badan dan daya penyerapan makanan, yang tentunya tidak lagi sebaik ketika muda.

Malah, biasanya orang tua menghadapi masalah kurang selera menyebabkan ramai yang makan sedikit, cukup untuk menghilangkan kelaparan.

Akibatnya, jumlah khasiat yang sepatutnya dibekalkan kepada badan tidak mencukupi dengan aktiviti dilakukan terutama bagi yang masih aktif.

Manakala bagi wanita hamil, mereka perlu mengambil asid folik (sejenis Vitamin B) dan asid lemak perlu (EFA) bagi membantu proses pembentukan otak dan saraf anak serta mengelakkan risiko kecacatan.

Sementara bagi wanita kedatangan haid pula disaran mengambil pil zat besi bagi mengatasi masalah kekurangan zat besi yang hilang bersama darah haid sehingga menyebabkan mereka mudah berasa letih.

Seperkara yang perlu difahami juga, katanya, pil bukan pengganti makanan tetapi melengkapkan khasiat yang tidak dapat dibekalkan kepada badan.

“Satu pil hanya membekalkan satu khasiat, manakala satu jenis makanan boleh sumbangkan banyak khasiat.

‘‘Hidup ini akan hilang nikmatnya jika kita asyik bergantung kepada pil saja,’’ tegasnya.

Mengaitkan senario pada hari ini, Mary berkata, biasanya apabila seseorang itu mengambil pil makanan tambahan, pasti mahu melihat kesannya kepada tubuh badan, seperti meningkatkan kecergasan, daya ingatan dan sebagainya.

Apa pun, tanpa disedari ia sebenarnya boleh mendatangkan keburukan kepada pengguna sama ada dalam tempoh singkat mahupun jangka panjang.

Beliau memberi contoh sekiranya, seseorang itu mengambil vitamin A, D, E dan K secara berlebihan akan menimbulkan masalah kepada kesihatan.

‘‘Pengambilan vitamin A, misalnya, bukan sahaja menyebabkan seseorang mudah diserang sakit tulang, tetapi juga menjadikan tumbesaran kanak-kanak terbantut, tekanan, sakit perut serta masalah pada saluran darah.

‘‘Sementara pengambilan vitamin D berlebihan, turut menyebabkan kandungan kalsium dalam darah menjadi tinggi, kalsium yang terdapat dalam gigi mudah keluar, sakit kepala, batu dalam buah pinggang dan masalah saluran darah,’’ ujarnya.

Berbanding kumpulan di atas, beliau berkata, seseorang lebih disarankan mengambil jenis vitamin dalam kumpulan B kompleks termasuk vitamin C. Begitu pun, pengambilannya mestilah dalam jumlah sederhana dan tidak berlebihan.

Berbeza dengan kumpulan vitamin A, D, E dan K, setiap pengambilan vitamin B kompleks tidak akan disimpan dalam badan, sebaliknya keluar melalui air kencing.

Selain itu katanya, tanggapan kononnya seseorang itu tidak perlu berlapar, tidak perlu bersenam dan boleh makan apa saja hanya dengan mengambil pil termasuk untuk langsing, adalah tidak benar.

‘‘Pengguna tidak harus mudah mengikut apa saja yang disarankan atau terpengaruh dengan iklan. Apa yang penting sentiasa amalkan pengambilan makanan secara kerap mengikut waktu ditetapkan dan meliputi pelbagai jenis, tetapi sederhana,’’ ujarnya.

Beliau juga menganggap iklan yang memaparkan kononnya boleh membuat seseorang awet muda atau kurus langsing hanya dengan mengambil sebiji pil, sebenarnya satu pembohongan.

Ini kerana, sehingga kini tiada kajian dibuat mengenainya dan tidak dimasukkan dalam jurnal perubatan.

Apa yang menghairankan, makanan tambahan seumpamanya begitu mudah menarik perhatian masyarakat terutama golongan wanita.

‘‘Sebagai pengguna, kita perlu bijak berfikir mengenai apa yang ingin kita makan. Apa yang penting ialah ialah merujuk kepada pakar pemakanan atau doktor,’’ ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:09
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.