saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 19/10/2008

Kenapa Rosyam sorok isteri?

SEBUT nama Rosyam Nor, siapa yang tidak kenal pelakon, produser dan pengacara yang sudah lebih 20 tahun berdiri dalam dunia hiburan ini? Bermula dengan filem Gila-Gila Remaja pada tahun 1984, hari ini, Rosyam masih aktif di merata lokasi drama dan filem. Sudah banyak hasil kerjanya dipuji peminat. Malah ketika ini sesudah melewati usia 41, Rosyam mampu bersaing dengan artis-artis muda baru dan mempertahankan popularitinya!

Dia dikatakan senang memberikan kerjasama kepada wartawan untuk publisiti. Dia juga tidak hipokrit merahsiakan status sebagai suami orang. Cuma sampai saat ini, ada yang tidak faham kenapa dia tidak mahu bergambar bersama isteri dan anak-anak untuk akhbar dan majalah? Malah dia pernah meminta saya tidak menyiarkan gambar dia dengan isteri yang dirakamkan seorang jurufoto, pada satu majlis perkahwinan yang dihadiri mereka. Bersungguh-sungguh dia merayu, jangan disiarkan gambar itu.

Rosyam juga tidak membawa isterinya ke mana-mana majlis hiburan. Saya bertanya soalan panas ini untuk Rosyam.

Setelah berkahwin pada tahun 1989 dan sudah punyai anak lima, kenapa masih melarang wartawan atau jurugambar merakamkan gambar isteri dan anak-anak?

Mungkin ada yang kata saya yang tak nak bergambar dengan isteri tapi sebenarnya, isteri saya yang meminta agar tidak membawanya ke dunia publisiti. Dia selesa menjadi isteri Rosyam Nor yang tidak didedahkan wajahnya dalam akhbar dan majalah. Itulah permintaannya bila kami dah kahwin dulu. Jadi sampai saat ini, saya jaga permintaannya itu. Tapi jangan kata saya takut orang kenal isteri saya. Ketika saya berjalan bersama-samanya di luar rumah waktu shopping, saya disapa oleh peminat. Lalu saya kenalkan isteri saya kepada mereka. Macam itulah, saya juga pernah terserempak dengan Huzz dan wartawan lain. Masa tu ada saya lari? Tak adakan? Malah sudah beberapa kali saya kenalkan isteri dan anak-anak saya kepada Huzz. Cuma saya minta, tolong jangan siarkan gambar mereka saja.

Apa komen Rosyam dengan cerita mengatakan kalau siapa nak ambil gambar Rosyam dengan isteri, sediakan saja wang sejumlah lebih RM5,000. Pasti nanti Rosyam setuju.

Eh itu cerita mengarutlah. Sebelum ini saya mengaku, saya ada berjenaka dengan wartawan, kalau nak sangat ambil gambar dengan isteri, bayarlah, tapi itu melawak. Saya tak hadap duit untuk menukar pendirian saya dan isteri.

Disebabkan ramai belum kenal wajah isteri, tidakkah Rosyam berasa bimbang, kalau-kalau nanti ada yang cuba mendekatinya, ketika dia di luar rumah. Maklumlah, orangnya cantik. Lagi pun, zaman sekarang, ada lelaki yang suka mengurat perempuan tanpa mempedulikan status tunang atau isteri orang.

Dalam soal ini, saya cukup percaya kepada isteri ketika dia di luar rumah. Saya dah lama kenal dia. Dia tegas menjaga dirinya. Jadi sudah tentu dia tidak melayan yang bukan-bukan atau perangai lelaki yang tidak pandai menghormati orang lain. Bagi saya dengan tak ada publisiti isteri, ia juga antara yang menyumbang kepada kebahagiaan rumah tangga kami selama ini.

Kesemua anak Rosyam perempuan. Yang sulung sudah pun berusia 18 tahun. Khabarnya, ada yang sudah diajak menjadi pelakon dan model Adakah akan menghalang wartawan merakamkan gambarnya?

Setakat ini yang saya tahu, anak-anak saya sibuk belajar dan tak ada yang bercita-cita nak jadi pelakon. Andai suatu hari nanti, ada yang ikut jejak jadi artis dan ketika itu kalau wartawan mahu kami bergambar bersama-sama untuk publisiti, saya tak menolak. Tapi yang saya boleh tegaskan di sini, anak-anak saya Arniesha Azureen (18 tahun), Nur Anis (15), Nurlisa (11), Syadira(6) dan Zarith Maryam (5) tak ada cita-cita nak jadi pelakon. Biar mereka tumpu kepada pelajaran.

Semua anak Rosyam perempuan. Tak berhasrat nak dapatkan anak lelaki? Atau sudah tak minat nak ada anak lagi?

Kalau ada rezeki, saya masih mahu anak. Kalau boleh nak anak lelaki.

Maaf tanya, ada yang tak selesa bila Rosyam tak mahu menjawab sama ada sudah mengerjakan umrah. Padahal ada yang mendakwa, ternampak Rosyam di Mekah sebelum ini melakukan umrah. Kenapa nak berahsia?

Saya tak mahu komen hal itu. Biarlah kisah amal ibadah saya, tak dihebahkan.

Artis jatuh cinta sesama artis ketika sama-sama main drama atau filem. Apa komen Rosyam?

Kalau artis itu sama-sama single dan suka sama suka selepas berlakon sama, apa salahnya. Yang bahaya, kalau yang lelaki atau perempuan itu sudah kahwin. Keadaan itu menyusahkan. Nasihat saya, kalau boleh elakkanlah. Apa-apa pun segala ini terpulang pada semua pihak untuk berfikir akan apa saja tindakan yang dilakukan, jangan merugikan diri sendiri sudahlah.

Bagaimana dengan status jutawan. Benarkah Rosyam salah seorang jutawan artis?

Saya boleh katakan, kehidupan saya hari ini, Alhamdulillah, ya hidup saya senang berbanding dulu. Tapi janganlah nak labelkan saya ini seorang jutawan. Takkan dengan ada produksi dan sibuk dengan projek drama TV saya dah jadi jutawan? Tak naklah cakap panjang cerita jutawan ini.

Sejak tujuh tahun lalu, bila tiba saja malam raya, mesti ada drama-drama lakonan Rosyam Nor di TV yang mengusik hati penonton. Kebanyakan drama itu mengundang air mata kerana jalan ceritanya. Ada yang bertanya, kenapa mesti dibuat, drama suruh orang menangis setiap kali nak sambut hari raya. Rosyam juga dikatakan bintang malam raya sebab banyak sangat drama di kaca TV. Apa komen Rosyam?

Saya mengakulah, memang sejak tujuh tahun lalu, saya sering diajak menjayakan banyak drama untuk hari raya. Pernah ada yang cakap, saya ni cukup popular bila tiba hari raya kerana drama-drama lakonan saya ditayangkan. Alhamdulillah itulah rezeki saya. Tahun ini sampai dua drama terbaru saya disiarkan. Tak hanya itu, drama-drama lama, berkali-kali diulang siar lagi tahun ini. Sebetulnya, drama-drama saya pada tahun ini tak banyak babak air mata berbanding yang sebelum ini. Kita cuba buat perubahan. Takkan tiap-tiap tahun suruh orang menangis depan TV. Tapi itulah, bila dah dikurangkan babak sedih, orang cakap tak 'menyengat'.

Orang kita sebenarnya yang suka cerita sedih untuk menghadap TV pada malam raya, bila drama itu tak cukup sedih, mereka komen. Seingat saya, dua tahun lalu saya pernah buat drama kisah hidup perompak pada malam raya, tapi tak semua suka. Ada mengatakan, drama itu tak menyentuh sehingga buat dia orang menangis bengkak-bengkak mata.

Apapun saya berterima kasih kepada semua peminat dan stesen TV yang memberi peluang drama baru dan lama saya ke udara sepanjang raya tahun ini.

Perkembangan terkini Rosyam?

Saya akan ke lokasi untuk drama slot Samarinda (TV3) berlakon dengan Rita Rudaini. Judulnya Rozanna. Selain itu filem lakonan saya berjudul Estet (arahan Mamat Khalid) juga akan ditayangkan tak lama lagi. Bagi yang nak menonton lakonan saya bersama-sama Fauziah Latif tunggu November ini drama Gelora Di Hati Sarah yang akan disiarkan di RTM.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.