saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 22/10/2008

Jerih perih kehidupan Amber Chia


AMBER digemari kerana bijak memberikan gaya menarik di hadapan kamera selain peramah.


MUNGKIN jika disebut Chia Lee Peng, pasti ramai tidak mengenalinya, malah tertanya-tanya siapakah gerangan individu itu. Terkenalkah dia?

Meski nama itu cukup asing dan jarang dilontarkan biarpun oleh pemiliknya sendiri, hakikatnya dia cukup dikenali ramai terutama di kalangan golongan muda.

Masih buntu? Sebenarnya, itulah nama yang diberikan sejak lahir kepada wanita yang lebih dikenali umum sebagai Amber Chia.

Hadirnya Amber dalam dunia peragaan tempatan dahulunya memang tidak disedari ramai. Namun, nama wanita yang bertubuh tinggi lampai itu tiba-tiba menjadi sebutan apabila diumumkan sebagai pemenang pertandingan Guess Watches Timeless Beauty pada tahun 2004. Pertandingan yang turut disertai oleh 70 peserta seluruh dunia itu adalah bagi mencari wajah baru Guess Watch.

Sejak itu, Amber bukan sahaja dikenali di pentas peragaan tempatan, tetapi juga mencipta nama di serata Asia terutamanya Taiwan, Hong Kong, Singapura dan Indonesia.

Menyelak sejarah hidupnya, Amber dengan tenang memberitahu kesenangan yang dikecapi sekarang ini bukan datang sekelip mata. Sebaliknya, banyak rintangan dan cabaran yang perlu ditempuh apatah lagi kala mula ingin melibatkan diri sebagai model di ibu kota.

Berasal dari keluarga susah, bapanya, Chia Hui Poy hanya seorang nelayan sedangkan ibu pula, Chuan Moi Ku tidak bekerja. Sewaktu mengandungkan Amber yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik itu, mereka sekeluarga menetap di Sekinchan, Selangor.

Disebabkan bapanya sering meninggalkan keluarga selama beberapa hari jika ke laut, di tambah kampung yang didiami keluarga Amber ketika itu tidak mempunyai hospital, ibunya mengambil keputusan pulang sementara ke kampungnya di Ipoh, Perak sehingga melahirkan Amber.

Sekembalinya ke Sekinchan, keadaan masih tidak berubah. Kesusahan masih membelenggu keluarga tersebut, apatah lagi apabila ahli keluarga semakin bertambah.

‘‘Suatu hari sewaktu usia saya dalam tujuh tahun, ada orang datang ke rumah mencari bapa dan memarahi emak saya. Tetapi, saya tidak tahu siapa. Bila ditanya, emak hanya mendiamkan diri.

“Esoknya, awal-awal pagi saya dikejutkan dan pada waktu itulah kami terbang ke Tawau, Sabah. Apa yang saya tahu, emak terpaksa meminjam wang daripada kawan-kawannya untuk membawa kami ke Sabah.

‘‘Itu yang menyebabkan kenapa kami adik-beradik dibesarkan di Sabah. Malangnya, kakak sulung terpaksa ditinggalkan dengan keluarga angkat di Sekinchan dan kami bertemu semula selepas 11 tahun berpisah.

‘‘Sampai di Sabah, saya tidak bersekolah selama tujuh bulan kerana tidak berduit. Untuk bersekolah, saya terpaksa tinggal bersama keluarga angkat yang menyekolahkan saya. Tetapi, hati memberontak untuk pulang ke pangkuan keluarga kerana rindu dan rasa kesunyian,” katanya sayu.

Akhirnya ketika usia 13 tahun, Amber kembali kepada keluarganya dan bagi menampung perbelanjaan sekolah, gadis sunti itu bekerja sambilan. Awal pagi, menolong bapa menjual ikan dan selepas itu ke sekolah. Malamnya pula iaitu selepas pukul enam petang, bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya di Tawau.

Peragaan mengubah

hidup Amber

Memulakan kerjaya sebagai model seawal usia 18 tahun, Amber tidak menyesal malah langsung tidak menoleh ke belakang walau pada mulanya mendapat tentangan hebat daripada ibu bapanya.

Malah, disebabkan keinginan untuk menjadi peragawati yang disimpan sejak di sekolah rendah itu, Amber memberanikan diri merantau jauh seorang diri semata-mata untuk memenuhi impian tersebut.

Keputusan itu membuatkan Amber dimarahi ibu yang memberi kata putus, kalau sudah keluar jangan kembali lagi ke rumah tersebut.

Tetapi dia nekad. Berbekalkan wang sebanyak RM400, Amber terbang dari Tawau, Sabah ke Kuala Lumpur. Kebetulan ketika itu teman lelakinya yang dikenali ketika belajar di Sabah juga menetap di Kuala Lumpur, maka temannya itu menolong Amber mencari bilik untuk disewa.

‘‘Memang sejak kecil, saya memasang angan-angan untuk menjadi model sehinggakan semasa di sekolah rendah saya selalu dimarahi guru kerana menulis cita-cita adalah untuk menjadi model. Sedangkan, murid lain memilih kerjaya seperti guru, doktor, jurutera dan sebagainya. Tetapi saya, peragawati.

‘‘Mungkin, peragawati bagi mereka satu kerja yang tidak baik. Keluar malam, suka minum dan akhirnya menjadi isteri kedua. Malah, bapa saya juga tidak bercakap dengan saya selama empat tahun hanya disebabkan kerjaya tersebut.

‘‘Namun, keinginan itu tidak pernah berubah biarpun muka saya jelik. Apa yang saya harapkan, suatu hari nanti dapat menjadi perempuan yang cantik,” katanya tersenyum mengingati kisah silam.

Hakikat yang terpaksa dilalui Amber, bukan mudah bergelar model. Sebaik tiba di Kuala Lumpur, dia teraba-raba mencari tapak untuk menjadi model. Lebih 20 agensi model dilawati hasil daripada iklan yang terdapat di akhbar. Masalahnya, kebanyakan agensi tersebut menipu kerana rata-rata meminta wang terlebih dahulu sedangkan, Amber ketika itu tidak berduit.

Pengalaman itu sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengejar impian bergelar model. Puas turun naik bas mencari peluang dari satu agensi ke satu agensi, akhirnya Amber memberanikan diri bertanya dengan seorang peragawati di salah satu pertunjukan fesyen yang dilihatnya.

Hasilnya, Amber bertemu dengan Desmond Lau yang ketika itu bergiat secara sambil sambilan dalam mencari model-model berbakat. Pertemuan di pertunjukan fesyen di Plaza Sungei Wang itu menjadi titik permulaan Amber berkecimpung dalam bidang peragaan.

Pertunjukan fesyen pertama yang dilakukan Amber adalah kala pelancaran Karnival Mega Malaysia pada bulan Ogos, 2000 di Bintang Walk, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

‘‘Waktu itu saya cuma dibayar sebanyak RM120 sahaja. Tetapi saya puas. Bagi saya, angka itu sudah cukup besar jika dibandingkan dengan upah sebagai juruwang di Tawau, iaitu RM3 satu jam. Wang tersebut saya gunakan bagi membeli kasut untuk dipakai di pentas peragaan.

‘‘Daripada agensi kecil, saya menyertai Andrew’s Models yang lebih besar dan terkenal. Malah, pemilik agensi itu, Andrew Tan yang memberikan saya nama Amber.

“Ketika itu saya sedang menggayakan rantai leher ambar dan Andrew yang sedang menerangkan tentang rantai tersebut langsung berkata: ‘‘Kenapa tidak kita panggil awak Amber? Nama itu terus kekal hingga kini,” kata wanita berusia 27 tahun ini.

Itu dulu. Sekarang ini Amber dibayar RM1,000 ke atas untuk memperaga dan wang hasil kerja kerasnya tidak kira untuk tugasan memperaga atau iklan, disimpan sehingga membolehkan dia membeli sebuah rumah banglo mewah di ibu kota.

Rentetan kisah hidupnya itu diluahkan dalam bukunya, Amber Chia The Success Secrets of a Supermodel. Buku berbahasa Mandarin yang dilancarkan September lalu itu dihasilkan bertujuan membantu gadis muda yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang peragaan di Malaysia.

Harapannya cuma satu, agar mereka yang mempunyai impian serupa tidak tertipu dengan agensi peragaan yang tidak bertauliah selain memberi sedikit panduan dalam mempersiapkan diri menjadi seorang model. Sebabnya, ramai yang ingin menjadi model cuma mereka tidak tahu laluan yang betul.

Buku yang sama juga akan diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu pada penghujung tahun ini.

Berkecimpung dalam perniagaan dan lakonan

Memikirkan diri tidak selamanya boleh bergiat aktif dalam bidang peragaan, Amber memulakan perniagaan bersama butik Sew & Soul yang terkenal membawa busana jenama terkemuka ke tanah air.

Selain membantu rakan niaganya, Liew Siew Shan, dalam mencari busana-busana cantik untuk wanita yang cintakan fesyen dan sentiasa ingin kelihatan cantik bergaya, Amber juga turut memperkenalkan Bag Station yang menjual beg-beg terpakai jenama terkenal seperti Dior, Gucci, Burberry dan Louis Vuitton.

Butik yang terletak di Jalan Telawi 4, Bangsar, adalah antara impian Amber dalam memperluaskan kerjayanya dalam bidang fesyen.

Tidak cukup dengan itu, Amber turut mencuba bakat dalam bidang lakonan. Terbaru, dia akan membintangi filem Melayu berjudul Jalang dengan melakonkan watak utama sebagai gadis biasa yang bekerja di pejabat tetapi malamnya bertukar watak dengan suka berseronok.

Amber akur, dalam bidang lakonan dia masih terlalu mentah, justeru bagi memantapkan bidang lakonannya dia akan terbang ke New York pada akhir Disember ini dan menetap di sana selama tiga bulan untuk mendalami ilmu lakonan di New York Film School.

‘‘Sebagai pelakon, saya mungkin sudah dikenali di kalangan masyarakat Cina kerana banyak membintangi drama dan filem Cina. Dan, sekarang saya cuba memperkenalkan diri kepada peminat Melayu pula.

‘‘Saya sedar bukan mudah menjadi pelakon profesional, sebab itu saya mahu belajar dalam berusaha memperbaiki kelemahan diri selain memantapkan seni lakonan. Bukankah untuk hidup kita perlu terus belajar biarpun bukan secara formal tetapi melalui pengalaman.

‘‘Bagaimanapun, ia tidak bermakna saya akan melupakan bidang peragaan kerana itulah cinta pertama saya,” jelasnya mengakhiri perbualan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.