saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 29/11/2008

Tindakan 'melayan' kerenah 40 keluarga hanya jejaskan projek CAR

SEBANYAK 98 peratus daripada projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Rawang telah berjaya disiapkan. Manakala dua peratus atau satu kilometer lagi tergendala semata-mata kerana penduduk di Kampung Sungai Terentang, Rawang tidak mengizinkan tanah mereka diambil untuk menyempurnakan projek tersebut.

Matlamat projek yang bernilai RM400 juta itu amat murni iaitu untuk mengelak urusan penduduk di Lembah Klang terganggu gara- gara krisis terputus bekalan elektrik yang boleh berlaku bila-bila masa.

Ini berikutan keupayaan sistem transmisi sedia ada milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mencapai paras maksimum. Dan projek CAR yang sepatutnya siap pada 31 Ogos lalu bakal meningkatkan keupayaan voltan kepada 275kV untuk membolehkan talian transmisi menampung sebarang bekalan tambahan bagi Lembah Klang.

Hakikatnya pelan jajaran kabel voltan tinggi itu tidak akan berjaya disempurnakan jika penduduk di kawasan berkenaan terus mengambil sikap mementingkan diri sendiri.

Ketiadaan kerjasama penduduk semestinya menimbulkan kesulitan di pihak TNB termasuk dari sudut terpaksa melanjutkan tempoh projek tersebut (jika ia terpaksa dialih ke kawasan lain) selain keperluan menjalankan kerja-kerja penyelidikan cuaca dan tanah serta berunding dengan pemilik tanah lain.

Proses tersebut sudah pasti akan mengambil masa yang lama sekali gus memperlahankan projek CAR serta mendedahkan penduduk di Lembah Klang kepada kemungkinan terpaksa bergelap untuk tempoh beberapa hari.

Sudah pasti apabila keadaan itu berlaku, maka bukan urusan seharian penduduk di kawasan berkenaan sahaja yang akan terganggu. Malah ia akan mencatatkan rekod buruk di kalangan para pelabur memandangkan Lembah Klang yang pesat membangun kini menjadi tarikan pelabur. Bak kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor, kepesatan pembangunan, pertambahan penduduk, operasi pelabuhan dan perindustrian amat bergantung kepada bekalan elektrik.

Jadi boleh sahaja kita membayangkan gangguan urusan harian penduduk dan kelompok perniagaan jika tiba-tiba Lembah Klang terputus bekalan elektrik. Berapa banyak kerugian yang terpaksa ditanggung seperti mana yang pernah dialami ketika krisis terputus bekalan elektrik berlaku pada 13 Januari 2005. Sedangkan untuk mengelak kejadian itu daripada berlaku hanya tinggal dua peratus sahaja lagi dan menuntut pengorbanan 40 keluarga yang mendiami kawasan tersebut.

Kita tidak tahu apa keutamaan keluarga- keluarga di Kampung Sungai Terentang sehingga bermati-matian tidak mengizinkan tanah mereka diambil untuk menyempurnakan projek berkepentingan ramai itu.

Dan mengapa kerajaan negeri Selangor terpaksa tunduk kepada bantahan penduduk tempatan yang telah pun ditawarkan oleh TNB antara lain pampasan tambahan sekali ganda daripada nilaian yang dibuat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan. TNB juga bersetuju membina semula bangunan dan kemudahan awam seperti balai raya dan perpustakaan kepada penduduk yang terlibat.

Manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di kampung itu akan dijadikan sebagai sekolah anak angkat oleh TNB dengan memberi bantuan dan melaksanakan program kemasyarakatan.

Namun kesemua tawaran itu nampaknya tidak mengusik hati 40 keluarga yang mendiami kawasan tersebut atas alasan apa sekalipun tidak diketahui. Keengganan untuk bertolak ansur jelas menunjukkan betapa penduduk di kawasan itu menolak untuk memahami apa keperluan rakyat secara keseluruhannya. Lebih menyedihkan penolakan itu berlaku ketika projek CAR tinggal dua peratus lagi untuk disiapkan.

Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri Selangor untuk segera menyelesaikan masalah tersebut dan menjadikannya sebagai keutamaan.

Kerajaan negeri yang diterajui pakatan pembangkang mesti peka dan bersungguh- sungguh untuk menyakinkan penduduk di kawasan tersebut bahawa projek CAR mesti diteruskan.

Jika di peringkat awal kerajaan negeri itu yakin bahawa masalah yang berlanjutan selama setahun itu mampu diselesaikan dalam masa dua minggu, maka keyakinan itu mesti dibuktikan dengan hasil yang memuaskan hati semua pihak.

Kerajaan campuran yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat, DAP dan Pas mesti bertindak secara seimbang dan adil sambil mengetepikan kepentingan individu hanya kerana menjaga kepentingan politik masing- masing.

Hakikatnya jika penduduk lain sanggup berkorban untuk menjayakan 98 peratus daripada projek CAP, apa istimewanya 40 keluarga di Kampung Sungai Terentang, Rawang sehingga terpaksa mengorbankan projek yang hanya menunggu dua peratus sahaja lagi untuk disiapkan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.