saya nak baca ..

PELANCONGAN


ARKIB : 29/11/2008

Khazanah Ulu Salan menyimpan pelbagai misteri


AHLI kumpulan Middle Earth menghabiskan masa di air terjun Lata Telur.


PAHANG diakui mempunyai banyak produk pelancongan yang sentiasa menjadi tumpuan ramai termasuk dari pelancong asing.

Dengan kedudukan Negeri Pahang yang begitu luas, terdapat kawasan-kawasan hutan masih belum diterokai.

Kawasan hutan yang luas ini merupakan khazanah sangat berharga dan mampu menjadi destinasi riadah dan pelancongan menarik.

Sehubungan itu, tidak hairanlah kawasan-kawasan yang belum diterokai ini sebenarnya menyimpan pelbagai rahsia.

Peluang meneroka daerah Jerantut memberi pendedahan kepada pengalaman baru dalam dunia pelancongan negara.

Berada di Ulu Salan, Jerantut, ia sesuatu yang baru dan sungguh mempesonakan. Mungkin ramai di kalangan kita tidak pernah mendengar nama `Ulu Salan’ sebelum ini.

Namun, Ulu Salan sebenarnya menyimpan pelbagai keunikan dan tarikan tersendiri.

Jejak-jejak ke Sungai Salan itu sendiri, menunjukkan kawasan tersebut belum lagi diterokai sepenuhnya.

Untuk sampai ke kawasan berkenaan, seseorang pasti memerlukan kenderaan pacuan empat roda.

Setelah sampai ke kawasan perkhemahan di tepi Sungai Salan, seseorang itu perlu melakukan treking untuk ke kawasan lata atau air terjun.

Setakat ini, tugas meneroka kawasan Ulu Salan dilakukan oleh Middle Earth, yang aktif dalam pembabitan meneroka kawasan-kawasan baru sekitar Jerantut dan Pahang.

Walaupun Middle Earth merupakan kumpulan atau kelab pacuan empat roda, namun ahli-ahlinya juga mahir dalam membuat trek-trek baru, menjadi pemandu pelancong, meneroka kawasan pedalaman, `jungle catering’ dan banyak lagi.

Yang pasti, Middle Earth diketuai oleh Pengarah Urusannya, Marodzuan Abd. Ghani, sedia menyediakan apa jua kehendak pelancong yang mahukan cabaran ekstrem atau pakej pelancongan berkeluarga.

Berbalik kepada khazanah dan rahsia di Hulu Salan, banyak lokasi menarik yang boleh ditemui.

Dari kawasan perkhemahan, seseorang itu perlu melakukan treking antara tiga hingga empat jam untuk ke Lata Manik, bergantung kepada kepantasan berjalan.

Sepanjang laluan treking, tidak hairanlah kita akan bertemu dengan pelbagai spesies fauna dan flora. Kalau bernasib baik, kita akan bertemu dengan rafflesia. Ini pun bergantung kepada musim bunga itu berkembang.

Suatu lagi perkara menarik, untuk ke Lata Manik, seseorang perlu menyeberangi empat kali Sungai Salan. Ini bertujuan untuk mengelakkan laluan-laluan sukar.

Air pada paras lutut di Sungai Salan turut memberi cabaran memandangkan arusnya sedikit deras. Namun, seseorang itu masih mampu menyeberangi sungai berkenaan sama ada menggunakan tali atau tidak.

Untuk sampai ke Lata Manik, pelancong terlebih dahulu melalui Lata Selesa, sebuah jeram untuk beristirehat sebelum meneruskan perjalanan. Air di sini jernih, mengikut musim dan sesuai untuk berkelah.

Perjalanan dari kawasan perkhemahan ke Lata Manik tidaklah sesukar yang difikirkan. Malah, beberapa laluan mudah telah dibuat oleh ahli-ahli Middle Earth.

Sebelum tiba ke Lata Manik, seseorang itu perlu meniti kayu-kayu balak yang merintangi Sungai Salan. Namun, dengan penjagaan rapi dan tunjuk ajar ahli-ahli Middle Earth, pelancong dapat sampai ke lata tersebut dengan mudah.

Lata Manik agak misteri berbanding lain-lain lata yang terdapat di negara ini.

Dinamakan Lata Manik kerana air yang mencurah-curah turun dan ditambah pula pancaran cahaya matahari, seolah-olah menghasilkan manik-manik halus dan menarik.

Agak misteri, apabila air dari lata berkenaan tidak diketahui mengalir ke mana. Tiada anak sungai di situ yang menunjukkan air tersebut menghilang dari kolam takungan.

Pelancong juga akan terpegun apabila air di lata itu didapati bersih dan tidak mengandung keladak. Ia sesuai dan selamat untuk diminum tanpa dimasak terlebih dahulu.

Dari Lata Manik, pelancong hanya perlu berjalan kira-kira 10 minit untuk sampai ke Lata Lebah.

Mengikut cerita-cerita lama penduduk sekitar Jerantut, ia dinamakan Lata Lebah kerana pernah seorang lelaki Orang Asli cuba mengambil madu lebah di kawasan lata itu.

Namun, nasibnya kurang baik apabila hilang setelah terjatuh di kawasan air tersebut. Bagaimanapun tidak diketahui sejauh mana kebenaran cerita itu.

Lata Lebah begitu menarik kerana ia mengandungi tiga tingkat air terjun. Dianggarkan ketinggian lata tersebut setinggi bangunan lima hingga lapan tingkat. Sesiapa yang melihat Lata Lebah pasti terpegun disebabkan air yang mengalir ke Sungai Salan mencurah-curah dan seolah-olah tidak akan habis walaupun pada musim kemarau.

Satu lagi yang menarik di Hulu Salan ialah Lata Telur. Dinamakan sedemikian berdasarkan bentuk lata berkenaan menyerupai bentuk telur.

Lata Telur hanya memerlukan 10 minit perjalanan dari kawasan perkhemahan. Di sini terdapat sebuah gua yang digenangi air dan setakat ini sukar untuk disahkan sama ada gua tersebut sudah diterokai sepenuhnya.

Bentuk lata tersebut dengan air yang cetek dan mengalir di atas kawasan batu rata menyebabkan sebahagian lata itu digelar `Taman Jepun’.

Nama Taman Jepun itu berdasarkan terdapat sebuah empangan batu dipercayai dibina oleh tentera Jepun ketika zaman penjajahan dahulu.

Selain keunikan tersembunyi di Ulu Salan, Sungai Salan sendiri sesuai untuk aktiviti sukan lasak atau ekstrem.

Dengan beberapa jeram yang terdapat sepanjang sungai berkenaan, ia diyakini sesuai untuk aktiviti mendayung bot pelampung atau ‘tiub’.

Malah, pengunjung akan terkejut apabila mengetahui Sungai Salan didiami beberapa spesies ikan seperti Sebarau dan Baung.

Apa yang pasti, kawasan Ulu Salan masih dianggap tidak tercemar sama ada hutan mahupun air sungainya.

Ia sesuai untuk destinasi pelancongan bagi semua peringkat umur.

Dalam hal ini, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Pahang (MTPNP), kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan dan pihak-pihak berkaitan seharusnya mengambil peluang untuk memajukan lagi kawasan Ulu Salan ini.

Khazanah yang dimiliki di sini hendaklah dijaga supaya generasi akan datang dapat menikmatinya.

Bagi mereka yang mahu mencari keunikan dan mengenali kawasan-kawasan pelancongan baru, bolehlah berkunjung ke Ulu Salan, Jerantut.

Mereka yang berminat dan ingin mencuba aktiviti di Ulu Salan melibatkan kenderaan pacuan empat roda, treking, meneroka khazanah misteri, bolehlah menghubungi Middle Earth di talian 012-9819145, 03-61889990 atau faks 03-61889950.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.