saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 30/11/2008

Saya bukan kejam – Erema

Sesetengah pihak barangkali menganggap tindakan penyanyi Dayang Zaira Erema Awang Moshdad atau Erema, 25, menuntut cerai daripada suaminya penulis lirik Seri Bayu dianggap kejam. Sebabnya ketika ini Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaluddin Sulik, 43, menderita penyakit saraf yang memerlukan bantuan untuk bergerak.

Maka Erema dilihat tidak mengotakan janjinya untuk “sehidup” dengan Seri Bayu seperti yang pernah dilafazkan ketika mula berkahwin dulu.

Kini rumahtangga yang mereka bina sejak dua tahun lalu berada di kemuncak kehancuran apabila Erema secara berterus terang mengatakan dia sudah tidak mempunyai perasaan sayang lagi terhadap suaminya itu.

Sebaliknya perasaan sayang itu bertukar menjadi simpati kerana tidak tergamak melihat Seri Bayu terlantar sakit tanpa penjagaan sepenuhnya.

Erema menolak dakwaan yang pernah dibuat Seri Bayu di dalam akhbar (bukan Kumpulan Utusan) kononnya dia pernah memukul dan menendang suaminya yang tenat itu.

“Cerita itu semua adalah fitnah. Takkan saya tergamak untuk melakukan perbuatan itu ke atas suami saya yang uzur,” ujar Erema yang bertegas mahu menghantar suaminya itu ke rumah kebajikan.

Sementara itu Seri Bayu yang karya liriknya popular seperti lagu Kau Lilin Cintaku nyanyian Francisca Peter dan Cintamu Muzik Di Hatiku (Anita Sarawak) itu pasrah apabila Erema membuat keputusan untuk memohon cerai daripadanya.

Lebih menyedihkan pula apabila Seri Bayu seboleh-bolehnya tidak mahu dihantar ke rumah kebajikan sebaliknya lebih rela untuk berada di rumahnya sendiri.

Bagi mendapatkan gambaran terhadap masalah yang melanda, saya menemui Seri Bayu di rumahnya di Taman Puncak Jalil, baru-baru ini selain meminta Erema tolong jawab beberapa persoalan berkaitan rumah tangganya ketika dia hadir ke pejabat Pancaindera Rabu lalu.

Sudah fikir panjang sebelum membuat keputusan menuntut cerai?

Sudah dua tahun saya memendam rasa. Cuma orang saja yang tak tahu. Saya tak mahu ceritakan apa masalah yang berlaku kerana tak mahu buka pekung di dada. Dan pada Hari Raya lepas ialah kemuncak kepada masalah kami. Jadi saya merasakan adalah lebih baik kami berpisah.

Adakah Erema tergamak meninggalkan suami dalam keadaan tenat sekarang? Bagaimana kalau tindakan ini dianggap kejam?

Kejam? Dalam rumah tangga kami ni adakah saya yang paling kejam? Tak apalah, saya tak nak cakap perkara sebenar. Kalau saya kejam masakan saya dapat jaga dia yang sakit selama ini? Makan, pakai, buang air, semua saya uruskan. Malah sebelum keluar rumah saya pastikan dia makan dulu. Kalau selama ni layanan dia baik ke atas saya, saya sanggup jaga dia sampai mati. Selama ini saya sanggup “perah urat” nak jaga dia. Bayangkan saya pernah gugur masa kandungan saya tiga bulan kerana terlalu banyak buat kerja berat angkat suami. Itu bukan lagi pengorbanan?

Dulu masa baru kahwin Erema kata sayang. Tapi kenapa berubah selepas dua tahun berkahwin?

Masa kenal abang Bayu dulu memang saya sayang dia sepenuh hati. Bila dah berumahtangga, lain pula yang berlaku. Saya anggap ini semua suratan takdir dan kita kena terima. Lagipun saya dah tak ada perasaan sayang pada dia lagi. Banyak masalah yang berlaku dalam rumah tangga. Saya tak tahan lagi dah. Lebih baik saya minta untuk dilepaskan dari menanggung sengsara. Itu cara yang terbaik.

Bayu kata Erema ada lelaki lain. Dia nampak ada orang ambil dan hantar Erema. Tapi bukan di depan rumah. Di simpang jalan. Siapa orang itu?

Dia syak saya ada lelaki lain sebab setiap malam ada orang ambil dan hantar saya nak pergi menyanyi dan balik menyanyi di kelab. Itu semua kawan. Ada juga suami isteri yang hantar saya. Memang saya tunggu di simpang sebab tak mahu dia syak macam-macam. Nanti lagi susah. Dia tak boleh buat tuduhan.

Apa reaksi Seri Bayu apabila dia dapat tahu Erema nak tuntut cerai?

Dia pasrah tapi dia pernah kata dia nak lepaskan juga saya. Tapi ikut mood dia juga. Hari ni dia kata okey, esok tak okey pula. Tak apalah, saya serahkan kepada mahkamah untuk buat keputusan. Saya dah tak tahan lagi dah. Dah tak larat. Saya dah tak kisah dah apa orang nak kata pun.

Erema sanggup tengok suami masuk rumah kebajikan?

Dah tak ada cara lain. 1 Disember ni selepas ke mahkamah, saya dah nak pindah rumah lain. Saya akan uruskan dia dengan bantuan Karyawan (Persatuan Karyawan Malaysia) untuk hantar dia ke sana. Nak buat macam mana? Saya dah tak boleh jaga dia lagi. Di sana ada orang akan uruskan. Keluarga dia pun tak mahu jaga dia, terpaksalah saya uruskan dengan pihak kebajikan.

Erema pernah tinggalkan dia kadang- kala 12 jam dan biarkan dia duduk di kerusi roda dalam tempoh itu. Betul?

Tipulah tu. Paling lama saya tinggalkan dia enam jam. Itupun saya minta juga jiran-jiran tolong tengok. Yalah... saya kena kerja. Kalau tak tinggalkan dia macam mana nak kerja? Nak cari duit, nak bayar sewa rumah dan barang-barang dapur lagi. Lepas balik menyanyi di kelab, saya “tapau” (bungkus) makanan untuk dia. Sebelum ni ada adik saya dari Kuching yang tolong jaga. Sekarang dia dah balik.

Bagaimana dengan pendapatan menyanyi di kelab? Dengar cerita kereta BMW pun dah kena tarik?

Menyanyi kelab di Shah Alam tu ikut kontrak. Dapatlah dalam RM4,000 sebulan. Cukup nak sara keluarga. Kereta kena tarik kerana sebelum ni saya tak kerja. Sekarang ni pun saya sewa kereta Kancil daripada kawan. Senang nak bergerak. Yang saya sedihnya hari pertama kerja, dia sumpah haramkan saya kerja. Kalau saya tak kerja, nak cari duit macam mana?

Ada orang kata Erema kahwin dengan Bayu dulu sebab nak jadikan dia batu loncatan. Jalan mudah nak jadi artis. Betul begitu?

Bukan soal dia Seri Bayu ataupun nak ambil kesempatan daripada dia. Ini soal hati. Masa mula-mula kenal dulu memang saya sayang sangat pada dia. Tapi bila dah lama kenal, hati ini semakin tertutup. Jadi saya tak dapat nak teruskan lagi.

Erema akan berhadapan dengan kesusahan hidup selepas ini. Boleh terima?

Saya datangnya dari keluarga susah. Masa di kampung saya pernah buat kerja sambilan sebab nak beli buku sekolah. Saya dah hadapi benda tu sejak kecil. Saya yakin saya boleh terima kesusahan ini. Sekarang saya akan mulakan dari bawah balik. Selama ni saya terlalu bergantung kepada suami.

Apa kata keluarga?

Mereka terkejut. Selama ni depan dia orang saya berlakon tak ada apa-apa masalah berlaku. Saja tak nak tunjuk masalah kami. Tapi bila dah keluar cerita kami di surat khabar, saya tak boleh nak sembunyikan masalah kami sebaliknya berterus terang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.