saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 05/12/2008

Semarakkan sambutan Aidiladha

Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh umat Islam yang mana mempunyai nilai-nilai tersendiri pada hari tersebut. Hari Raya Aidlilfitri yang berlalu merupakan hari kemenangan umat Islam setelah berperang dengan hawa nafsu selama sebulan melalui jalan ibadah puasa di bulan Ramadan AlMubarak.

Maka pada 10 Zulhijah hingga 13 Zulhijah pula Allah memberi suatu ruang kepada umat Islam untuk menyambut hari kebesaran Islam iaitu Aidiladha. Takbir yang bersahutan memeriahkan lagi Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha justeru nilai syiar Islam lebih dihayati.

Setelah Rasulullah SAW berhijrah dari bumi Mekah ke Madinah, Baginda melihat bahawa penduduk Madinah mempunyai dua hari kebesaran yang dirayakan secara besar-besaran iaitu hari Nairuz dan Mahrajan. Rasulullah bertanya kepada penduduk Madinah tentang perayaan tersebut lantas dijawab bahawa perayaan tersebut adalah perayaan yang disambut sejak dari zaman jahiliyah.

Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menukarkan kepada kamu dua hari tersebut kepada hari yang lebih baik untuk dirayakan iaitu Aildiladha dan Aidilfitri." Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, Al-Nasa'ei dan Ahmad.

Umat Islam kini harus sedar tentang kebesaran kedua-dua perayaan tersebut agar tidak tersasar jauh dari landasan Islam yang sebenar seperti pembaziran dan lupa diri dalam segala hal sehinggakan hiburan hedonisme lebih ditonjolkan daripada takbir yang diperlu dilaungkan.

Aidiladha merupakan hari untuk memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s dalam melaksanakan hukum Allah SWT yang mana Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail.

Nabi Ismail menyuruh ayahandanya menuruti perintah tersebut. Allah telah sekali lagi memerintahkan bahawa korban anak Nabi Ismail digantikan dengan kibas dan jelas bagi umat Islam kepatuhan kepada Allah merupakan nilai Islam yang tertinggi.

Bila disebut Aidiladha ia tidak dapat lari daripada ibadah haji yang dilaksanakan bagi umat Islam yang berkemampuan dalam hal rukun Islam yang kelima ini. Pada hari tersebut juga manusia yang menunaikan ibadah haji mengetepikan soal keduniaan dengan memakai pakaian seragam ihram yang disyariatkan Islam.

Ini jelas membuktikan bahawa umat Islam di akhirat nanti mempunyai darjat yang sama dan Allah mengangkat manusia yang benar- benar bertakwa. Allah telah menjelaskan bahawa semua manusia adalah sama dan yang paling mulia adalah yang bertakwa kepada- Nya.

Kehidupan

Dalam ibadat ihram juga tidak kira golongan kaya dan miskin sama-sama mengalami nasib yang serupa iaitu berpanas terik dengan pakaian yang serupa dan ia seakan- akan perhimpunan di Padang Mahsyar.

Bagi melaksanakan dalam kehidupan seharian, kita harus sedar bahawa kejadian manusia adalah sama dan harus saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Jika kita menilai hal kehidupan kini khususnya di Malaysia, masyarakat seakan-akan tidak mempunyai nilai kemanusiaan apabila yang miskin terus miskin dan yang kaya terus kaya. Bukan sekadar itu sahaja tetapi yang kaya dan kuat ini terus menindas yang miskin dan lemah dan perkara ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Seharusnya saling tolong-menolong dan saling bantu-membantu merupakan amalan asas kehidupan kita yang mana dengan cara ini sahajalah Islam akan terus dipandang tinggi.

Hari Raya Aidiladha suram jika hendak dibandingkan dengan Hari Raya Aidilfitri sedangkan Aidilfitri dipanggil hari raya Asghar (kecil) manakala Aidiladha adalah hari raya Akhbar (besar). Di Malaysia begitu keadaannya jika dibandingkan dengan di negara-negara Islam yang lain.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menyatakan bahawa di Tanah Arab sekurang-kurangnya tujuh hari umat Islam di sana bercuti bagi merayakan Aidiladha. Perayaan di Tanah Arab amat meriah dan suasana ini hanya dapat dilihat di Kelantan yang mampu melaksanakan kemeriahan raya Akhbar itu.

Jika di Malaysia cuti hanya diberikan sehari dan keesokan harinya masyarakat perlu bekerja kembali dan kemeriahan Aidiladha seakan-akan suram, sedangkan Allah membuka ruang sehingga empat hari untuk umat Islam merayakan dengan korban dari 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah.

Mufti Perak mencadangkan bahawa umat Islam diberi cuti selama empat hari bagi membolehkan Aidiladha disambut dengan gembira dan meriah dengan landasan Islam yang sebenar.

Cadangan ini haruslah dikaji oleh pihak yang berwajib dengan teliti agar kemaslahatan umat Islam dijaga dan bertepatan dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi negara ini.

Daripada peristiwa korban ini, selaku masyarakat yang dinaungi oleh institusi keluarga harus melihat nilai-nilai kekeluargaan daripada kisah Nabi Ibrahim a.s, Nabi Ismail a.s dan Siti Hajar. Siti Hajar ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim dengan perintah Allah di padang pasir yang kering kontang dan diterima oleh Siti Hajar dengan reda.

Menerapkan

Jika dilihat dari kisah ini jelas kesetiaan seorang isteri kepada suami tidak berbelah bahagi dan haruslah setiap isteri di dunia ini menerapkan nilai kisah ini dalam kehidupan seharian.

Selain itu pendidikan yang diberikan oleh Nabi Ibrahim kepada atas Nabi Ismail dengan kerja keras mendirikan Kaabah yang tersergam indah harus diikuti oleh bapa dan anak. Pada masa kini si bapa menghidangkan hamburan material kepada anak-anak sehinggakan mereka tidak menghargai jasa bapa yang mencari nafkah.

Kisah korban ini tidak terhenti sekadar itu sahaja tetapi nilai pengorbanan haruslah dihayati agar kehidupan selaku khalifah Allah lebih berharga. Kita juga harus menghayati khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir Baginda pada Hajjah Al-Wida' (Haji Terakhir).

Rasulullah telah menyuruh umat Islam berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah agar tidak tersesat jauh dari landasan yang benar. Dalam Kitab Al-Raheeq Al- Makhtum karangan Ahaikh Sofiy Al-Rahman Al-Mubarakfuri ada menjelaskan tentang Hajjah Al-Wida' Rasulullah.

Justeru kita harus mengembalikan kegemilangan Islam dengan cara yang betul dan diredai oleh Allah SWT pada Hari Raya Aidiladha. Pembaziran yang berlebihan dan hedonisme hiburan melampau harus dijauhi dan digantikan dengan nilai-nilai ketakwaan seperti bersederhana dan berpada-pada dalam kehidupan.

Oleh itu umat Islam pada Hari Raya Aidiladha ini perlu kembali menghayati nilai-nilai pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s.

Datuk Al-Syeikh Abdul Halim menyatakan bahawa walaupun kedua-dua perayaan Aidilfitri dan Aidiladha adalah sama, tetapi dari segi rohnya ibadah korban lebih besar nilainya. Selaku umat Islam perlulah kita kembali berada pada landasan yang ditunjuk oleh Baginda Rasulullah melalui Quran dan Sunnah. Akhirnya hayatilah maksud Surah al-Hajj ayat 34 yang bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, Maka Tuhanmu ialah Tuhan yang Maha Esa, kerana itu berserah dirilah kamu kepada-Nya dan berilah khabar gembira kepada orang- orang yang tunduk patuh kepada Allah."

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.