saya nak baca ..

KOTA


ARKIB : 05/12/2008

Keindahan khat di Taman Seni Islam


Zulkifli Ahmad (kiri) bersama keluarganya terpegun menyaksikan karya para pelajar Prof. Fuad Kouchi Honda yang turut dipamerkan di kompleks Taman Seni Islam, Shah Alam.


SHAH ALAM 4 Dis. - Seni khat yang menggunakan tulisan Arab mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan masyarakat Islam dan tamadunnya.

Khat merupakan seni tulisan hiasan dan di dalam Kamus Dewan ia bererti tulisan tangan (dan cara menulisnya), garis (tulisan), kaligrafi.

Di dunia Melayu, seni khat tersebar dengan kedatangan Islam dan batu bersurat Terengganu bukan sahaja menjadi bukti kedatangan agama suci itu tetapi juga menunjukkan bahawa khat telah diterima menjadi sebahagian daripada budaya.

Namun, khat kini bukan sahaja diminati dan dicintai orang Islam sahaja.

Pameran seni khat yang sedang berlangsung di Kompleks Taman Seni Islam Selangor di sini membuktikan bahawa seni itu turut menarik perhatian penganut agama lain, malah telah menjadi antara medium untuk mengembangkan agama Islam.

Pameran selama tiga bulan bermula 22 November lalu itu akan tamat 31 Mac tahun depan dianjurkan oleh Yayasan Restu, sebuah badan bukan berdasarkan keuntungan.

Pameran itu mempamerkan hasil karya dua karyawan khat terkenal iaitu Presiden Persatuan Kaligrafi Jepun, Prof. Fuad Kouchi Honda, Mahmud Buchari dari Indonesia, Syed Reza Hashemi Nik dari Iran dan karya yang dihasilkan oleh pihak Yayasan Restu sendiri.

Pertunjukan bertajuk Divine Word in the Eyes of Calligrapher itu mendapat kerjasama Institut Asia-Eropah (Universiti Malaya) serta universiti dari Jepun iaitu Universiti Waseda, Universiti Tokyo, Universiti Kyoto, Toyo Bunko selain Institut Kemanusiaan Kebangsaan (Nihu).

Pembukaannya diadakan bersempena satu seminar bertajuk Islamic Area Studies anjuran Universiti Waseda dan Universiti Malaya manakala Yayasan Restu selaku rakan penganjur.

Minat masyarakat bukan Islam terhadap seni itu, kata Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latif Mirasa, jelas apabila kira-kira 100 wakil dari Jepun menghadiri seminar berkenaan dan juga pameran itu manakala 150 wakil lagi dari negara lain termasuk Malaysia.

"Prof. Honda turut membawa 18 pelajarnya ke seminar itu dan karya mereka turut dipamerkan bersama hasil karya beliau, Mahmud Buchari dan karya-karya anak tempatan.

"Seni khat juga yang telah membawa Prof. Honda memahami Islam dan seterusnya membuat beliau memeluk Islam," ujar beliau ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sebanyak 18 karya Fuad Kouchi, yang memperoleh ijazah daripada ahli kaligrafi Turki, Hassan Cheleby pada 2000, dipamerkan di Yayasan Restu yang kebanyakannya bertemakan padang pasir dan cakerawala.

Bagaimanapun, sebahagian daripadanya adalah salinan karya asal beliau manakala sebahagian lagi karya tulen.

"Salinan itu merupakan karya-karya beliau yang telah dijual kepada muzium di seluruh dunia," ujar Abdul Latif.

Melawat ke ruang pameran, kita akan berasa takjub betapa seni tulisan itu, termasuk karya anak-anak tempatan, boleh menjadi sesuatu yang sungguh indah.

"Pameran ini menunjukkan kehebatan para pengkarya ini menggunakan handam. Handam ialah sejenis tumbuhan paku-pakis yang dikeringkan untuk dijadikan pena khat," jelas Abdul Latif.

Bagi karya anak-anak tempatan pula, karya mereka menggunakan motif bercita rasa Melayu dan persekitaran yang diadun bersama sehingga menghasilkan sesuatu yang begitu indah.

"Awan larat ini dipanggil zukruf dan anak tempatan menggunakan alam semulajadi di negara ini sebagai motifnya.

"Hal ini juga kita lakukan dalam penghasilan al-Quran mushaf Malaysia yang telah mendapat sambutan baik di luar negara," jelas.

Katanya, beliau berharap apa yang telah dan akan dilakukan oleh Yayasan Restu akan mempopularkan semula bukan sahaja seni khat tetapi juga tulisan Jawi kepada rakyat negara ini terutama orang Melayu.

"Kami sedang mencari jalan bagaimana orang kita tidak melupakan Jawi.

"Kami berharap seluruh rakyat terutamanya orang Melayu sekurang-kurangnya tahu mengeja dan menulis nama sendiri menggunakan tulisan Jawi," tambah beliau.

Sementara itu, seorang pelawat, Zulkifli Ahmad, 25, dari Temerloh, Pahang mengakui berasa kagum dengan hasil karya yang dipamerkan.

"Saya tidak sangka ada orang dari luar dunia Melayu dan Arab boleh menghasilkan seni khat yang sebegini rupa... malah mereka bukan Islam," katanya, yang berada di Shah Alam untuk melancong bersama keluarga.

"Orang sekarang pun tak semua yang tahu menulis Jawi, apatah lagi seni khat.

"Kita pun belum tentu boleh menghasilkan tulisan yang sebegini indah," katanya, yang juga minat melukis.

Yayasan Restu mempunyai tiga galeri utama, mempamerkan karya lain seperti cap mohor, seni ukiran kayu, jubin dan sebagainya.

Ia turut mempunyai dua buah studio dan kedai cenderamata yang menjual antara lain al-Quran dan cap mohor.

"Kami sedang berusaha untuk mendapatkan kebenaran kerajaan agar cap mohor ini diiktiraf oleh undang-undang.

"Jika diluluskan, bermakna surat-surat masyarakat kita akan mempunyai cap mohor eksklusif peribadi atau syarikat dan diterima pakai," kata Abdul Latif.

"Setiap cap mohor yang dijual akan disertakan dengan sijil bagi membolehkan ia dibuat semula jika cap berkenaan hilang atau rosak," katanya.

Menurut beliau, setiap satu cap itu berharga RM80 hingga RM700 iaitu yang diperbuat daripada perak.

Selain itu, Yayasan Restu mengadakan kelas pendidikan seni khat untuk kanak-kanak yang menurut Abdul Latif mendapat sambutan menggalakkan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:00
Asar 4:19
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.