saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 14/12/2008

Hilangnya kegemilangan Greece

Apabila membicarakan tentang Greece, kebanyakan kita sedia maklum tentang sejarah dan zaman keagungan negara ini satu ketika dulu.

Ramai cendiakawan dan ahli falsafah terkemuka dilahirkan di negara ini. Antaranya tokoh seperti Plato dan Aristotle yang kebanyakan karya dan pandangan mereka masih menjadi perdebatan utama di kalangan intelektual di seluruh dunia.

Karya-karya sastera, fakta sains dan matematik, ilmu sains politik serta pelbagai bahan ilmiah lain yang dikaji para ilmuan dan ahli falsafah negara ini dikatakan antara yang terawal dan masih lagi diguna pakai sehingga kini.

Bagi rakyat Greece, dua perkara ini masih lagi menjadi kebanggaan utama mereka. Ini kerana Greece menjadi tempat lahirnya sukan terulung dunia iaitu sukan Olimpik dan fahaman demokrasi yang kini menjadi tunjang kepada sistem politik di kebanyakan negara di dunia.

Namun kisah kebanggaan dan zaman keagungan itu kini hanya tinggal kenangan. Greece dulu dan kini umpama langit dan bumi. Greece kini menjadi tumpuan dunia bukan kerana kehebatan karya dan kajian para ilmuan dan ahli falsafah sebaliknya kerana peristiwa rusuhan. Ia membabitkan rakyat negara ini dan mengakibatkan negara itu kini di dalam huru hara yang teruk.

Semua ini bermula dengan peristiwa pembunuhan seorang remaja berusia 15 tahun, Alexandros Grigolopoulos. Dia ditembak mati oleh polis di daerah Exarchia, Athens pada Sabtu minggu lepas. Kekacauan itu adalah yang terburuk di negara Mediterranean ini sejak lebih 20 tahun lalu.

Rusuhan bermula di Athens sejurus selepas remaja itu ditembak. Kemudian segerombolan pemuda membaling bom petrol ke arah polis, membakar puluhan kereta dan memecahkan tingkap kedai. Keganasan segera merebak ke bandar kedua terbesar, Thessaloniki, pulau percutian Crete dan Corfu serta wilayah-wilayah lain.

Berikutan kejadian ini, Menteri Dalam Negeri, Prokopis Pavlopoulos menawarkan peletakan jawatan tetapi ditolak oleh Perdana Menteri, Costas Karamanlis.

Dua anggota polis ditangkap dan disoal siasat berhubung kejadian itu dan telah dihadapkan ke mahkamah pada Rabu lalu namun ketegangan ini masih belum reda sehingga kini.

Menurut anggota polis itu, peristiwa ini berlaku setelah kereta peronda mereka diserang oleh 30 pemuda yang melontar batu dan objek lain.

Apabila mereka cuba menangkap belia itu, mereka diserang dan salah seorang daripada mereka melepaskan tiga tembakan, menyebabkan remaja itu maut.

Sehingga kini masih belum terdapat sebarang petanda huru-hara ini akan sampai ke penghujung malah keadaan dilaporkan semakin parah apabila golongan pekerja turut melancarkan tunjuk perasaan.

Tindakan mereka ini telah mengakibatkan Greece kini semakin lumpuh dengan penerbangan terpaksa dibatalkan malah bank dan sekolah terpaksa ditutup.

kemelut

Jika kita melihat dari segi luaran mungkin kita hanya beranggapan segala kemelut ini berlaku dari kekejaman polis menembak seorang remaja bawah umur.

Namun hakikatnya perasaan tidak puas hati oleh penduduk Greece ini telah bermula tidak lama selepas tamatnya sukan Olimpik Athens pada 2004.

Ketika berlangsungnya temasya itu, rakyat begitu berharap Greece akan bangkit sebagai sebuah negara maju dengan kekuatan ekonomi dan politik yang kukuh untuk meletakkan kembali kedudukan mereka di mata dunia.

Namun setelah empat tahun berlalu, ternyata harapan hanya tinggal harapan dan ditambah dengan polisi yang gagal oleh kerajaan dalam pembangunan ekonomi, skandal kewangan membabitkan pegawai kerajaan serta rasuah yang semakin berleluasa mengakibatkan penduduk bangkit menyatakan kemarahan mereka.

Insiden polis menembak remaja berusia 15 tahun itu telah menyemarakkan lagi kemarahan orang ramai sebelum ia merebak kini hampir ke seluruh negara.

Rakyat negara ini sememangnya dahagakan perubahan ekonomi yang ketara dengan kemasukan mereka ke dalam Kesatuan Eropah pada 2001 dan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pada 2004.

Namun Parti New Demokrasi yang dipilih rakyat pada pilihan raya 2004 gagal menjalankan tanggung jawab membangunkan negara ini dan meningkatkan taraf hidup penduduk.

Walaupun pada awal pemerintahan kerajaan dilihat berjaya dalam pelan ekonomi mereka seperti melaksanakan langkah penswastaan serta berjaya mengurangkan defisit namun akibat dari sikap tamak pemimpin melakukan rasuah dan kerenah birokrasi yang melampau menyebabkan pembangunan dilihat semakin statik.

Ditambah pula dengan keadaan ekonomi dunia kini yang semakin meleset memburukkan lagi keadaan dalam negara.

Kerajaan juga telah tersilap langkah dalam melaksanakan beberapa polisi ekonomi yang menaikkan lagi kemarahan rakyat seperti menaikkan cukai bagi memperoleh pendapatan segera serta pengumuman pelan menyelamat beberapa bank tanpa sebarang pelan pemulihan ekonomi yang mampu membantu penduduk yang semakin tertekan.

Beberapa skandal penyalahgunaan kuasa dan rasuah turut menghimpit Perdana Menteri apabila beberapa Menteri kanan dipaksa meletakkan jawatan kerana beberapa pembelian hartanah pada harga yang meragukan tetapi mengakibatkan berjuta-juta wang rakyat kerugian.

Pengumuman terbaru kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan skim pencen yang merugikan rakyat. Pembaharuan pendidikan dan penswastaan pula dilihat hanya menguntungkan beberapa pihak mengakibatkan rakyat tiada pilihan selain melakukan protes jalanan bagi menyatakan bantahan mereka.

rusuhan

Apatah lagi kebanyakan mereka yang terlibat dalam rusuhan ini merupakan golongan remaja yang sememangnya dipinggirkan kerajaan sebelum ini terutama dalam peluang pekerjaan.

Didorong dengan sifat semula jadi remaja yang cepat memberontak, tidak menghairankan golongan berhaluan kiri dilihat berjaya dalam peranan mereka dengan memainkan sentimen kegagalan kerajaan sebagai faktor untuk mereka melakukan rusuhan sehingga hari ini.

Malah terdapat kemungkinan peristiwa ini akan merebak ke beberapa negara di Eropah seperti di Sepanyol dan Perancis.

Ini berikutan peranan yang dimainkan oleh pihak berhaluan kiri yang menggunakan golongan belia dan remaja sebagai alat politik mereka.

Sesungguhnya apa yang berlaku di Greece ini membuktikan bahawa sejarah lampau dan kehebatan sesebuah negara sebelum ini tidak boleh menjadi bukti kejayaan mereka hari ini.

Apatah lagi apabila kerajaan sendiri gagal mengawal dan mendidik golongan muda mereka dengan pengetahuan dan ilmu yang secukupnya, ia akan hanya memusnahkan negara dan masa depan mereka sendiri.

Sesungguhnya golongan belia dan remaja di negara ini perlu melihat kejadian di Greece ini sebagai contoh kegagalan dalam demokrasi jika kerajaan negara ini tidak prihatin akan pandangan dan masa depan mereka.

Jika tidak mereka akan hanya diperkotak-katikkan oleh mereka yang bertujuan jahat atas nama politik sekali gus memporak perandakan negara ini walaupun ia mungkin pada awalnya dilihat atas nama demokrasi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.