saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 15/12/2008

Membongkar karya hebat Al-Ghazali

SIAPA yang tidak pernah mendengar nama Al-Ghazali, tokoh terkenal bukan sahaja di negara-negara Islam, malah melangkaui zaman dan sempadan. Ilmu-ilmu yang beliau tinggalkan begitu banyak manfaatnya kepada tamadun manusia. Sehinggakan beliau disifatkan oleh para sarjana sebagai the greatest theologian of the age.

Al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450H bersamaan 1058 M di Tabaran, iaitu sebuah kota di daerah Tus, yang terletak di negeri Khurasan. Ayahnya seorang penenun bulu binatang untuk dibuat pakaian. Al-Ghazali suka mengembara, yang telah membawa beliau hampir ke pelosok negeri-negeri Islam untuk mencari ilmu. Pencariannya itu menemukan beliau dengan beberapa orang guru yang kemudiannya berperanan besar membentuk sifat keilmuan beliau.

Riwayat hidup Al-Ghazali telah ditulis sendiri menerusi catatan semi-biografi, yang ditulisnya di dalam Al-Munqidh min al-Dalal (Penyelamat Daripada Kesesatan).

Mungkin ramai di antara kita mengenali Al-Ghazali dengan karya besarnya, Ihya' Ulum al-Din (Penghidupan Ilmu Agama), namun sebenarnya lebih dari itu, terdapat beberapa lagi karya beliau yang perlu dikaji dan dibaca.

Ketokohan Al-Ghazali dalam Bidang Logik, karya Dr. Mohd. Fauzi Hamat (terbitan Penerbit Universiti Malaya) membicarakan karya-karya Al-Ghazali ini, terutamanya di dalam membicarakan ilmu logik. Al-Ghazali terkenal sebagai seorang tokoh ilmuwan yang terlibat secara langsung dengan pemikiran Islam seperti falsafah, logik, Ilm al-Kalam, Usul al-Fiqh dan al-Tasawwuf.

Menerusi buku ini, disenaraikan beberapa buah karya Al-Ghazali. Karya pertama al-Ghazali ialah Al-Mankhul min cIlm al-Usul (Tapisan Ilmu Perundangan Islam). Menurut Mohd. Fauzi, kitab ini ditulis Al-Ghazali ketika gurunya masih hidup, al-Juwayni yang banyak mencorak pemikiran al-Ghazali.

Semasa Al-Ghazali berkhidmat di Madrasah al-Nizamiyyah, beliau menghasilkan kitab-kitab Maqasid al-Falasifah, Tahafut al-Falasifah, Al-Munqidh min al-Dalal dan Micyar al-cIlm.

Kitab-kitab Micyar al-cIlm fi al-Mantiq, Mihak al-Nazar dan Al-Qistas al-Mustaqim pula ditulis Al-Ghazali untuk menjelaskan ilmu logik, yang menurut Mohd. Fauzi sebagai suatu disiplin ilmu yang berupa alat piawai bagi pemikiran manusia.

Di dalam membicarakan Logik sebagai suatu disiplin ilmu, Al-Ghazali memulakan kembara ilmunya dengan menulis tentang ilmu Falsafah, yang diperolehinya daripada tinggalan tamadun Greek, dengan menjadikan Aristotle sebagai modelnya. Kitab Maqasid al-Falasifah merupakan kitab pertama beliau membicarakan mengenai falsafah. Yang menariknya mengenai kitab ini, Al-Ghazali tidak mengkritik falsafah, sebaliknya cuba merungkai ilmu-ilmu yang terdapat di dalam falsafah seperti Logik, Metafizik dan Fizik.

Seterusnya, selesai menulis Maqasid, Al-Ghazali menulis Tahafut al-Falasifah, iaitu 'sebuah kitab yang menjelaskan asas-asas pemikiran falsafah yang ditafsirkannya sebagai bercanggah dengan ajaran Islam' (Mohd. Fauzi). Menerusi Tahafut, menurut Mohd. Fauzi lagi, terlihat kecenderungan Al-Ghazali secara serius memperbaiki pemikiran ahli-ahli falsafah yang kebanyakannya menurut Al-Ghazali menundukkan persoalan luar tabii yang di luar kemampuan akal manusia untuk memikirkannya.

Buku Ketokohan Al-Ghazali dalam Bidang Logik ini biarpun agak nipis (160 muka surat) berbanding dengan kehebatan karya-karya Al-Ghazali, namun ia cukup berperanan mendidik masyarakat membaca untuk lebih teruja mencari karya-karya Al-Ghazali yang sehingga kini masih lagi relevan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.