saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 17/12/2008

AIM16 bawa perubahan


SANDY Monteiro (kiri) bersama Freddie Fernandez pada sidang media khas AIM16 yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SABAN tahun, ada sahaja kontroversi dan polemik yang timbul dalam penganjuran Anugerah Industri Muzik (AIM) yang disifatkan sebagai salah sebuah anugerah muzik paling berprestij di negara ini.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1994, AIM dilihat bukan sahaja menerima kritikan daripada kalangan karyawan muzik, malah ia turut dikritik hebat oleh para peminat seni hiburan tempatan.

Entah di mana silapnya, kebanyakan penganjuran anugerah tersebut bagaikan mengundang konflik biarpun 'celanya' cuba diperbaiki tahun demi tahun.

Melangkah ke edisi ke-16, AIM yang sebelum ini lebih fokus kepada kualiti yang ditampilkan oleh seseorang artis dalam penghasilan album, dianjak kepada beberapa perubahan besar.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Sandy Monteiro dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran AIM16, Freddie Fernandez mengumumkan beberapa perubahan dalam anugerah itu pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara perubahan yang dilakukan termasuklah kelonggaran syarat pencalonan bagi sesebuah album serta penyertaan lagu-lagu single dan digital.

Jika sebelum ini syarat yang ditetapkan untuk pencalonan sesebuah album mengehadkan kepada lapan buah lagu, AIM16 memberi kelonggaran kepada lima lagu sahaja dalam sesebuah album.

Biarpun tidak mempunyai album, seseorang artis masih boleh mencalonkan lima single terbaik nyanyian mereka sebagai sebuah album.

Menurut Freddie, artis-artis yang ingin mencalonkan penyertaan lima lagu single mereka kepada sebuah album boleh berbuat demikian dengan mencalonkan sebagai satu ikatan album.

Pelbagai perubahan yang melibatkan lagu-lagu digital kata Sandy, bukanlah sesuatu yang negatif kerana penerimaan di kalangan peminat seni hiburan begitu ketara sejak kebelakangan ini.

"Kita telah lihat bagaimana lagu-lagu artis tempatan begitu cepat diterima disebabkan digital biarpun ketika itu album mereka masih belum siap.

"Malah, ada juga lagu-lagu yang dijual dalam bentuk digital mencecah ke angka ratusan ribu salinan seperti kumpulan Hujan dan Aizat," katanya.

Selain perubahan membabitkan album dan pencalonan lagu-lagu digital, beberapa perubahan daripada segi kategori pencalonan juga diperkenalkan.

Turut berubah ialah anugerah yang dahulunya mengiktiraf album Indonesia, anugerah Album Indonesia Terbaik diubah kepada Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara, yang membolehkan penglibatan artis-artis pelbagai negara yang menyanyikan lagu Melayu untuk turut serta.

Beberapa anugerah baru turut diperkenalkan iaitu Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik dan Lagu India Tempatan Terbaik.

Penambahan tersebut menyaksikan perubahan pencalonan kategori daripada 22 kepada 27 kategori yang dipertandingkan.

Tidak ketinggalan ialah kategori Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu yang dahulunya hanya fokus kepada lagu Melayu kini turut membuka peluang pencalonan kepada lagu-lagu bahasa lain termasuk lagu-lagu Cina dan juga India.

Jelas Sandy, pelbagai perubahan yang berlaku mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuklah hakim-hakim yang dipertanggungjawabkan mengadili anugerah tersebut pada tahun lalu.

"Dua hingga tiga tahun kebelakangan ini adalah masa yang paling ketara berlakunya perubahan daripada segi jualan kaset dan cakera padat (CD).

"Perubahan dalam AIM16 merupakan langkah tambahan untuk mengemas kini industri muzik tempatan. Pada tahun-tahun akan datang kita akan buat lagi perubahan supaya semua yang terlibat dalam industri ada peluang untuk ambil bahagian dalam AIM.

"Jangan kerana peraturan dan undang-undang yang diperkenalkan sebelum ini, ada lagu-lagu yang berkualiti tidak mempunyai peluang untuk dipertandingkan," kata Sandy.

Daripada segi penghakiman, kata Freddie, AIM16 memperkenalkan sistem pemilihan melalui Internet (online voting) bagi menggantikan pemilihan melalui pos (postal voting) yang telah dihentikan sejak AIM14 lagi.

"Ini bagi meneruskan sistem penghakiman dua peringkat yang mula diperkenalkan tahun lalu (AIM15) di mana penghakiman peringkat pertama dibuat secara online.

"Peringkat kedua, pemilihan lakukan seperti biasa yang akan ditentukan oleh hakim. Kita akan tentukan hakim serta memperbaharui senarai nama mereka tidak lama lagi," kata Freddie.

Tambah Freddie, kepada artis yang berminat mencalonkan lagu-lagu mereka, penyertaan kini dibuka sehingga selewat-lewatnya akhir Disember ini dengan kadar bayaran RM50 bagi setiap lagu yang dicalonkan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.