saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 28/12/2008

remy & Lisa serasi sehati




Dek kerana permintaan anda, pembaca kami yang budiman, maka Pancaindera minggu ini menemukan dua pelakon yang semakin meningkat popularitinya.

Peminat drama bersiri Obsesi terbitan Zeel Production ini tentunya berpuas hati apabila dapat menatap wajah bintang utamanya sepuas hati. Remy Ishak, 26, dan Lisa Surihani Mohamed, 22, antara bakat baru yang menjadi sebutan dek kerana lakonan mereka yang semakin menyerlah dalam drama tersebut.

Walaupun Obsesi arahan Murali Abdullah yang disiarkan di TV3 itu akan berakhir pada Rabu ini tetapi ramai yang menunggu di hadapan televisyen untuk melihat apakah kesudahannya. Penonton tentunya tertanya-tanya adakah Tengku Izuddin (lakonan Remy) yang membunuh Sirley sehingga menyebabkan rumahtangganya dengan Suriani (Lisa Surihani) menjadi kucar-kacir?

Populariti drama tersebut nampaknya berjaya mengangkat nama tonggak utamanya itu sehingga mereka dikaitkan mempunyai perasaan cinta.

Dan gandingan mereka berdua dilihat menjadi. Memang benar, Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak dan Lisa mempunyai keserasian. Tatkala diminta beraksi manja di hadapan kamera, mereka dapat memberikan satu pose yang menarik.

Mengimbas sejarah kedua-duanya, Remy mula mencipta namanya apabila ditawarkan oleh pengarah Osman Ali membintangi filem Anak Halal.

Selepas itu namanya berjaya diukir sehinggalah ramai pengarah drama yang berebut untuk mengambilnya berlakon di bawah produksi mereka.

Lisa, bakal peguam ini pula tentunya boleh berbangga kerana anugerah Pelakon Wanita Harapan, Festival Filem Malaysia (FFM) ke 21 yang diperolehnya terus memberi ruang untuknya berkarya.

Walaupun ada yang berkata Lisa perlu mengasah lagi bakatnya itu tetapi bintang muda ini sedikit sebanyak membuktikan selepas diberi peranan muncul dalam filem I’m Not Single, dia juga turut diintai oleh pengarah-pengarah lain.

“Ada perasaan pada Lisa” – Remy

Ketika Lisa dan Remy digandingkan menerusi drama tersebut, ada yang mengatakan kedua mereka sebenarnya bercinta. Ketika diajukan soalan itu, Remy cuba menepisnya tetapi tidak menafikan ketika di lokasi penggambaran tersebut, perasaan sayangnya terhadap wanita itu sememangnya wujud.

Malah kata Remy dia dibenarkan untuk memupuk perasaan tersebut bagi memastikan wujud keserasian agar watak yang dibawa itu benar-benar menjadi.

“Memang saya mengaku ketika berlakon itu perasaan saya terhadap Lisa memang ada tapi saya tak bawakan ia di luar lokasi.

“Habis penggambaran, habislah perasaan itu. Kalau dibawa sampai ke luar, mungkin nanti akan menyebabkan timbullah perasaan lain,” ujarnya.

Tidak mahu bercerita soal kekasih dan perkara peribadi, kata Remy, dia mengimpikan kecemerlangan dalam bidang lakonan dan berharap dalam tempoh lima tahun ini, dia dapat menjadi pelakon yang berjaya.

* Pernah jual ikan

Saat dipuji dia merupakan bakal pelapis kepada pelakon-pelakon lain selepas ini, Remy ternyata bersyukur kerana hari ini orang sudah nampak kebolehannya.

Tetapi ujarnya bukan mudah untuk dia menempa nama pada hari ini kerana banyak ranjau dan duri terpaksa dilalui sebelum nama Remy Ishak itu dapat diukir di pentas hiburan.

Minat yang mendalam terhadap lakonan akhirnya membawa kejayaan kepada beliau selepas melalui pelbagai ranjau dan duri untuk bergiat aktif sebagai seorang pelakon.

“Saya pernah kena tipu dengan agensi model, proposal lakonan saya dibuang dan macam-macam lagi. Bukan mudah untuk saya menjadi pelakon macam hari ini,” katanya.

Remy berkata, kehidupannya sebelum ini susah. Dia pernah bekerja menjual ikan di pasar dan pernah juga menjadi buruh kontrak.

Tetapi Remy tidak pernah malu dengan pekerjaan lamanya itu kerana menganggap dengan usahalah Tuhan memakbulkan minatnya selama ini.

Kerana minat itu, maka anak kedua daripada empat beradik ini terpaksa mengambil keputusan meninggalkan kampung halamannya di Masjid Tanah, Melaka untuk ke Kuala Lumpur bagi mencuba nasib.

Dan hari ini, bukan sahaja Remy tetapi keluarganya juga boleh berbangga dengan pencapaiannya.

“Mak, ayah dan adik beradik saya yang lain memang tidak sangka saya boleh mengejar cita-cita saya itu sehingga dikenali sampai hari ini. Merekalah orang yang paling gembira,” katanya.

Seorang yang agak serius, Remy turut menepis dia sebenarnya sudah berubah sikap selepas menjadi pelakon.

Kata beliau, sesuatu yang cuba dielakkan ialah lupa diri dan seboleh-bolehnya tidak mahu dikaitkan dengan kontroversi murahan.

“Kami profesional” – Lisa Surihani

DIA mempunyai pakej lengkap - cantik, lemah lembut dan berbakat. Lalu tidak hairanlah jika dia diminati dan menjadi pujaan ramai khususnya para pria. Sejak begitu dikenali menerusi filem I’m Not Single, kemunculan Lisa dalam drama juga menjadi tumpuan.

Obsesi tidak sahaja menjadi titik tolak pembabitannya dalam dunia layar kaca malah hubungannya dengan Remy Ishak juga menjadi bualan.

Berlakon sebagai pasangan suami isteri, ternyata ada keserasian antara keduanya lalu menimbulkan tanda tanya hubungan sebenar mereka.

Kerana melihatkan mesra dan manja kedua-duanya kala di foto memungkinkan kita menyaksikan dua hati yang sedang dibuai rasa.

Tegas Lisa, sewaktu mengadakan fotografi ini, mereka sudahpun menjalani penggambaran Obsesi membuatkan rasa kekok tiada lagi menghalang.

”Dia seorang yang sangat berbakat. Saya nampak potensi dalam dirinya untuk menjadi pelakon yang digilai ramai satu hari nanti,” demikian ujar Lisa kala ditanya pendapatnya mengenai Remy.

Namun dia menolak dakwaan kononnya mereka memang mempunyai perasaan antara suka antara satu sama lain di luar lokasi.

“Saya bekerja atas dasar profesional. Bila bekerja bersama, memainkan watak sebagai suami isteri pula, kita selalu berbincang. Tak semestinya sampai jatuh cinta.

“Memang adakalanya sikap itu disalah ertikan mungkin kerana melihat kemesraan yang ditonjolkan. Tetapi itu hanya untuk di dalam skrin sahaja.

“Saya senang bekerja dengan Remy dan dia orang yang sangat terbuka. Sekiranya ada yang melihat keserasian antara kami itu maknanya kami berjaya melakonkan watak,” jelas Lisa.

* Watak pembantu

Ketika dihubungi Selesa lalu, Lisa memberitahu baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Jangan Pandang Belakang, Congkak, arahan Ahmad Idham. Melakonkan watak pembantu, sebagai Mustika, Lisa menegaskan tidak kisah dengan tawaran sebegitu.

Katanya, untuk meluaskan pengalaman dan pengetahuan dalam bidang seni dan lakonan, dia tidak perlu hanya terikat membawakan watak utama.

Sementelah, empat filem yang dilakonkan, hanya I’m Not Single yang memberinya peluang memeran watak utama.

“Ya, saya sudah berlakon empat filem dan tiga daripadanya adalah watak pembantu iaitu filem-filem Goodbye Boy arahan Bernard Chauly dan Cyber X - Ancaman Penggodam arahan Amith Abidin selain Jangan Pandang Belakang, Congkak.

“Saya tak terfikir soal utama atau pembantu kerana bagi saya, sebagai orang baru, saya perlu banyak belajar, ada kepelbagaian dan mengetahui selok belok dalam lakonan.

“Baik watak utama atau pembantu atau sekadar tambahan, semua penting itu dalam menjayakan sesuatu karya,” ujarnya.

Januari depan, Lisa bakal memulakan penggambaran filem Remp-It V3, arahan dan lakonan Farid Kamil.

Juga membawakan watak pembantu, kali ini, Lisa memegang peranan antagonis yang melibatkan aksi lasak dan pertarungan. Perlu membuat persiapan awal, kata Lisa, dia akan ke Kedah minggu depan untuk menjalani sesi latihan kecergasan bersama pelakon Remp-It V3 yang lain.

* Model

Berlakon sejak usia 11 tahun, dua drama pertamanya adalah Gergasi dan Fobia, arahan Khairul Anwar Salleh yang kini Ketua Perniagaan Bahagian Melayu Astro.

Bagaimanapun pada usia remajanya, dia lebih banyak melibatkan diri dalam iklan dan antara yang pernah dijayakan adalah Johnson & Johnson Pure Essential, Maxis, Hotlink, Maggie Secukup Rasa, KFC, McDonald dan Pentene.

Terkini selain Obsesi, Lisa yang kini artis MIG (Metrowealth International Group) turut diminati gara-gara iklan balm bibir, Lip Ice.

Lisa yang mempunyai ijazah dalam bidang perundangan ini juga pernah berlakon teater www.puterigungledang.com.my, arahan Lokman Ghani sewaktu di tingkatan empat.

Pernah berlakon sitkom, Ayah Kami pada 2004, Lisa turut menjayakan drama Inggeris, Jeff’s Place dan Mystery 6 selain melibatkan diri dalam program 3R.

“Sepanjang perjalanan hidup saya, pembabitan dalam lakonan dan iklan adalah kerana minat dan untuk mencari duit poket,” ujarnya.

Berehat seketika dalam bidang iklan dan lakonan kerana melanjutkan pengajian di United Kingdom pada tahun lepas dan pulang Julai lalu, kini Lisa kembali menyerikan dunia seni.

Walaupun kini sedang menyambung pengajian untuk mendapatkan sijil amalan guaman (Certificate of Legal Practise) yang akan selesai Julai tahun depan, Lisa mengakui menyenangi kedua-dua bidang seni dan guaman.

Biarpun tidak pasti untuk pilihan masa depan, secara jujurnya tegas Lisa, dia mahu mempraktikkan apa yang dipelajarinya selama ini.

“Tapi biarlah masa yang menentukan,” kata anak keempat dan satu-satunya anak perempuan tunggal dalam lima adik- beradik ini lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.