saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 21/01/2009

Tradisi lisan dalam perkahwinan Minang-Mandailing

Minang-Mandailing bertemu Melayu
Berijab kabul di Tanah Deli
Ucapan selamat pengantin baru
Kepada Ikhwan dan juga Fifi
PANTUN di atas saya lafazkan sewaktu diundang untuk memberi nasihat pada majlis Mangalehan Mangan di sebuah rumah kawasan elit di Medan, Sumatera Utara, Sabtu lalu.

Mangalehan Mangan adalah amalan dalam adat perkahwinan suku Mandailing (Tapanuli Selatan) di mana sanak saudara dan sahabat handai pengantin memberi hadiah dan nasihat dalam suasana sangat akrab dan penuh rasa kekeluargaan.

Dalam bahasa Melayu ungkapan Mangalehan Mangan itu bererti "memberikan makanan". Makanan itu terdiri daripada nasi yang ditutupi lauk-pauk dan dihidangkan dalam sebuah dulang besar di depan pengantin yang duduk berdampingan, bersila dan bersimpuh dikelilingi kaum keluarga.

Menjelang bermulanya acara, nasi dan lauk-pauk di atas dulang besar itu ditutup dengan daun pisang dan di atas daun itu pula dihamparkan kain bersulam hampir menyerupai permaidani nipis.

Bila acara bermula, daun pisang dan kain digulung dengan teliti. Maka terdedahlah sejenis rendang kepala kambing, kepak dan dada ayam serta udang besar dan beberapa jenis ikan. Semuanya diletakkan di atas nasi sebagai satu lapisan.

Selama hampir dua jam, makanan itu terdedah menjadi tontonan sebelum dimakan oleh pengantin yang saling suap-menyuap dan diikuti oleh tetamu lain.

Namun bukan sekadar makanan. Paling banyak diberikan kepada pengantin dalam majlis Mangalehan Mangan itu ialah kata-kata nasihat.

Pertama, nasihat diberi oleh anggota keluarga pengantin yang dianggap penting dan utama hubungan kekeluargaannya atau lebih kanan kedudukannya dalam sistem adat.

Bagi yang mahir tentang adat dan sastera tradisi, nasihat diberi berasaskan tafsiran simbolik dengan merujuk kepada aspek positif daripada sifat atau kehidupan kambing, ayam, ikan dan udang yang pada saat itu sudah menjadi lauk dan terhidang di atas dulang di depan pengantin.

Udang dianggap sebagai makhluk yang sensitif terhadap persekitaran dengan sesungutnya yang berfungsi sebagai 'radar' dan mempunyai pemikiran yang strategik untuk menyelamatkan diri. Ia mahir bergerak mundur dan maju atau ke kiri dan ke kanan berkat bentuk badannya.

Ikan dianggap sebagai makhluk yang mempunyai semangat penyatuan tinggi kerana biasanya akan bergerak dalam kumpulan di dalam air.

Tafsiran yang diberikan terhadap sifat kambing ialah sebagai haiwan setia yang betapa jauh pun merayau pada waktu siang, ia akan tetap kembali ke kandang apabila menjelang senja.

Pasangan pengantin dinasihatkan supaya memerhati dan mengambil iktibar daripada sifat positif haiwan-haiwan tersebut demi mempastikan kerukunan hidup berumahtangga.

Sebelum acara Mengalehan Mangan, diadakan majlis merenjis pengantin mengikut adat Melayu Sumatera Timur kerana kebetulan pengantin lelaki daripada keturunan keluarga kesultanan Deli.

Berbeza sedikit dengan amalan Melayu di Malaysia, acara merenjis mengikut adat Deli yang saya perhatikan di Medan itu diikuti dengan pantun nasihat yang dilafazkan oleh janang (juru acara) setiap kali ahli keluarga merenjis.

Kedua-dua acara itu diadakan menjelang Zohor sementara sebelah pagi diadakan akad nikah yang didahului bacaan al-Quran.

Malam sebelumnya, berlangsung acara Malam Barinai (berinai) mengikut amalan adat perkahwinan Minangkabau.

Setiap satu daripada 10 jari tangan pengantin perempuan diinai dan janang akan berpantun dan berseloka memberi pelbagai nasihat.

Nasihat juga diberikan oleh tukang dendang yang bernyanyi dengan loghat Minang dengan iringan tiupan serunai yang sayu dan mengharukan.

Namun nasihat paling mengharukan ialah yang dilafazkan oleh ayahanda pengantin sendiri yang "gembira mendapat menantu" tetapi sedih dan terharu kerana akan "kehilangan anak kandungnya".

Dengan yang suara yang sebak dan penuh rasa terharu, Ir. Haji Mohd. Hoesni Samad berkata kepada puterinya: "Ada rasa kehilangan, kerana Fifi tidak akan sepenuhnya menjadi milik papa dan adik-adik lagi tetapi papa bersyukur kerana telah dapat menghantar anakanda ke tahap kehidupan berikutnya, kehidupan berumah tangga."

Ucapan nasihat itu menjadi lebih mengharukan kerana dia mengimbas kenangan terhadap Allahyarham isterinya.

Acara perkahwinan gadis keturunan Minang-Mandahiling dan jejaka keturunan keluarga kesultanan Deli itu berlangsung selama tiga hari tiga malam, penuh meriah dengan sulaman adat istiadat dari tiga daerah di Sumatera dan diserikan dengan unsur keagamaan.

Acara malam terakhir, resepsi untuk lebih 1,500 tetamu diadakan di sebuah dewan yang berlatar belakangkan pelamin senibina Minangkabau yang gilang gemilang.

Antara kesan yang saya peroleh daripada semuanya itu ialah, tradisi lisan masih subur di kalangan pengamal adat Minangkabau, Mandailing dan Melayu.

Kemeriahan acara perkahwinan tiga hari tiga malam itu tidak dapat dipisahkan daripada pidato dan ucapan nasihat yang melanjutkan tradisi lisan umat Melayu nusantara.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.