saya nak baca ..

UTARA


ARKIB : 26/01/2009

Khidmat penghantaran segera


Nazri Man (kiri) bersama pekerjanya bersiap sedia untuk menghantar pesanan pelanggan.


KANGAR 25 Jan. - Khidmat penghantaran makanan ke pejabat atau rumah kebiasaannya melibatkan syarikat francais besar yang menyediakan makanan segera seperti ayam goreng, burger mahupun piza.

Kaedah penghantaran sebegini mendapat sambutan orang ramai kerana dapat membeli secara terus daripada restoran melalui panggilan telefon sahaja.

Sebuah gerai makanan di sini turut menggunakan kaedah khidmat penghantaran seperti yang dilakukan restoran makanan segera.

Bagaimanapun, makanan yang dihantar bukan makanan segera sebaliknya pelbagai makanan seperti cendol, laksa, nasi ayam, bihun sup dan pelbagai jenis minuman.

Mungkin agak pelik apabila cendol pulut, laksa dan bihun sup dihantar menggunakan penghantaran cepat menggunakan motosikal.

Tetapi ia berjaya menarik ramai pelanggan dan membuktikan perniagaan makanan tempatan juga berpotensi untuk diusahakan secara khidmat penghantaran terus ke rumah itu.

Pemilik gerai Fatin Corner, Nazri Man, 30, yang mengusahakan bersama isterinya, Mashitah Ahmad berkata, penghantaran cepat yang diusahakan mereka mendapat permintaan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Katanya, idea mengadakan penghantaran cepat kepada pelanggan bermula dua tahun lalu apabila rakan-rakan memintanya menghantar makanan berupa cendol pulut, laksa, nasi ayam dan minuman.

''Pada mulanya kawan-kawan saya di sekitar Kangar hanya memesan makanan apabila mereka tidak sempat keluar ketika bekerja atau malas keluar rumah.

''Tanpa mahu menghampakan hati pelanggan dan rakan-rakan, penghantaran tetap dilakukan kepada mereka walaupun pekerja sibuk menguruskan gerai," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Nazri, lama-kelamaan permintaan yang diterima rakan-rakannya bertambah sehingga dua buah motosikal digunakan untuk menghantar pesanan di sekitar Kangar.

''Pada awalnya setiap hari kira-kira 20 pesanan diterima dan saya mula memikirkan untuk membuat penghantaran cepat ini secara serius.

''Kemudian saya membuat hebahan melalui risalah dan jumlah tempahannya mula meningkat setiap hari," jelasnya.

Gerai Fatin Coner yang terletak di Persiaran Jubli Emas ini juga mendapat perhatian ramai apabila makanan yang dihasilkan terutama laksa, cendol pulut, cendol laici dan bihun sup sememangnya diakui sedap.

Tidak hairan gerai ini dipilih sebagai gerai pilihan dalam senarai Kedai Pilihan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) 2007-2008.

Menariknya penghantaran ini juga dibuat tanpa sebarang caj tambahan.

''Di sekitar Kangar penghantaran dibuat tanpa caj tetapi bagi jarak jauh seperti sekitar Arau, sebaiknya pelanggan yang ingin membuat pesanan perlu membeli makanan yang harganya bernilai RM30 ke atas.

''Kita melakukan sebegini kerana perlu memikirkan jaraknya tetapi jika di sekitar Kangar walaupun pelanggan memesan sebungkus cendol kita tetap akan menghantarnya," jelasnya.

Nazri memberitahu, kini dia menambah dua buah motosikal menjadikannya kepada empat buah untuk membuat penghantaran cepat.

''Kita memberikan masa kepada pelanggan di sekitar Kangar kira-kira 15 minit untuk sampai ke lokasinya tetapi ia bergantung kepada jumlah penghantaran yang diterima memandangkan kadang-kala tempahan yang diterima terlalu banyak.

''Ada pekerja khas juga yang membuat penghantaran cepat ini yang mahir jalan-jalan sekitar Kangar tetapi apabila hari hujan kereta akan digunakan ," jelasnya.

Selain melakukan penghantaran ke rumah atau pejabat, Fatin Coner juga sering mendapat tempahan daripada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dan pekerja-pekerja kilang di situ.

''Kami juga membuat tempahan untuk pelbagai majlis dan kebiasaannya cendol mendapat tempahan paling banyak terutama ketika musim kenduri. Dengan sambutan hangat yang diberikan pelanggan, kini saya mempunyai 25 pekerja yang membantu menjalankan perniagaan," katanya.

Tambahnya, dia juga bercadang membuka cawangan Fatin Corner di Kedah apabila ramai pelanggannya memberi respons yang positif agar mempunyai cawangan di sana.

''Apabila membuka cawangan di sana kaedah penghantaran cepat ini juga akan dikembangkan untuk memberikan khidmat dan kesenangan kepada pelanggan,'' jelasnya.

Katanya, bagi pelanggan di sekitar Kangar, Arau dan Kuala Perlis yang mahu menggunakan khidmat penghantaran cepat ini boleh menghubungi talian telefon 012- 4650634 atau 017-5537918 untuk membuat pesanan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.