saya nak baca ..

IMPAK ALAM


ARKIB : 31/01/2009

Nemo atau penyu?
Kerajaan negeri perlu fikir kembali

TATKALA ramai orang sekarang bercakap mengenai bola sepak negara yang semakin merudum, Bidai ingin juga menyelit mengenai perkara ini, namun tak la semua.

Biarlah yang lebih penting dan mendalam tu 'diselesaikan' oleh rakan-rakan Bidai di Meja Sukan.

Apa yang ingin Bidai nyatakan di sini ialah mengenai Terengganu. Bukan sebab bola sepak dia dah merudum dan bukan juga sebab Ken Worden yang pernah Bidai minat semasa melatih Selangor kini melatih skuad negeri Pantai Timur itu.

Apa yang ingin Bidai nyatakan di sini ialah mengenai maskot Terengganu yang telah ditukar ke ikan clownfish atau lebih mudah dipanggil Nemo pada tahun 2006 supaya digantikan kembali ke penyu.

Bukan apa, sehingga kini Bidai tidak pernah dengar pasukan bola sepak negeri itu dikenali sebagai Skuad Nemo - pelik jugak bunyinya - dan hanya dikenali sebagai Skuad Penyu.

Malah orang ramai masih mengatakan Terengganu adalah negeri penyu dan juga bukan negeri Nemo.

Lebih menarik, sehingga kini selepas 3 tahun Nemo diangkat menjadi maskot negeri itu, spesies itu gagal untuk dikenali dengan nama Melayu dan hanya dikenali sebagai Nemo, karakter filem hasil animasi Pixar Studio.

Namun, bagi penduduk di Pulau Redang, Nemo dikenali sebagai ikan kain buruk ekoran liuk lintuk spesies marin itu di celah-celah batu karang lembut anemone.

Bidai pun agak harian kenapalah bekas Menteri Besar Terengganu dulu, Datuk Seri Idris Jusoh menukar maskot negeri itu.

Melihat kembali berita-berita yang lama, Tok Deris ada mengatakan penyu terlalu perlahan dan ikan itu lebih menarik sebagai ia lebih dinamik dan lincah.

Malah, Tok Deris juga mengatakan warna-warna terang Nemo mampu menonjolkan aspek pelancongan negeri tersebut yang mempunyai banyak pulau-pulau menarik.

Bidai agak terkejut ketika membaca kenyataan Tok Deris kerana menidakkan kemampuan penyu yang dilihat mereka lemah dan bergerak perlahan.

Di sini Bidai ingin memaparkan beberapa fakta untuk membolehkan Nemo digantikan kembali dengan penyu.

Pertama, Terengganu memang banyak penyu tidak kiralah ketika 1950-an atau sekarang, Terengganu merupakan pusat pendaratan penyu utama negara selain Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Johor selain Sabah di Malaysia Timur.

Kedua, usaha yang dijalankan oleh agensi kerajaan khususnya Jabatan Perikanan untuk membiakkan Penyu Belimbing sejak tahun 1970-an kini bakal menunjukkan hasil ekoran penyu-penyu berkenaan yang dilepaskan ketika itu sudah mencapai tahap matang dan hanya memerlukan nisbah jantan dan betina yang seimbang untuk mengawan.

Ketiga, penyu bukanlah tidak lincah dan memang bergerak perlahan. Namun ia merupakan haiwan marin pengembara dan pernah data diperoleh menunjukkan seekor penyu belimbing berenang dari Irian Jaya ke pantai di Oregon, Amerika Syarikat dengan rekod perjalanan 20,438 kilometer selama 647 hari. Data itu terhenti di situ sahaja sebab kehabisan kuasa bateri pemancar satelitnya.

Kalau tidak pasti pengkaji akan tahu dan menemui semula penyu berkenaan di pantai Irian Jaya disebabkan kali terakhir penyu itu dikesan di sekitar perairan Hawaii.

Jadi ia merupakan spesies yang berusaha keras untuk mencari sesuatu mungkin pasangan dan makanan dan tidak hanya menunggu seperti ikan kain buruk yang hanya menyorok di celah-celah batu karang anemone sambil menunggu lebihan makanan.

Keempat, dengan penyu terus menjadi maskot Terengganu, nasib haiwan marin prasejarah itu lebih terbela dengan pelbagai undang-undang dan akta yang akan digubal bagi membolehkan negeri itu menjadi model keberkesanan pemuliharaan spesies penyu terutama spesies penyu belimbing.

Bukan apa, bagi Bidai, penyu mempunyai kualiti tersendiri berbanding Nemo yang hanya berada di kawasan ruang lingkup anemone sahaja dan akan menggelabah jika di asingkan dari 'sarangnya' itu.

Ini juga merupakan fakta, di mana ikan itu jika diasingkan daripada anemone, ia akan 'hilang akal' dan mudah dimakan oleh pemangsa yang lain.

Sebabnya mudah, anemone merupakan spesies batu karang yang beracun di mana spesies marin lain takut untuk mendekatinya dan hanya Nemo sahaja yang berupaya untuk berada di situ ekoran perhubungan simbiotik antara mereka.

Selain itu mungkin ikan ini sedap.

Jadi sudah terang-terang walaupun Nemo itu cantik dan lincah, namun ia hanya lincah di 'rumahnya' dan bukan diluar.

Tidak seperti penyu yang mampu mengembara beribu-ribu kilometer dan sudah berusaha untuk berdikari sejak kecil sebab sebaik sahaja menetas, spesies ini akan terus ke laut terbuka tanpa gerun.

Selain itu, laporan pendaratan penyu belimbing di Rantau Abang pada Jun tahun lalu juga dilihat dapat mengembalikan zaman kegemilangan pantai berkenaan namun Bidai amat berharap, kerajaan negeri kali ini dan juga agensi berkaitan tidak lagi melakukan kesilapan.

Malah dengan teknologi yang ada sekarang, Bidai percaya, kita masih mampu untuk membiakkan spesies terancam penyu belimbing selain terus memulihara habitat dan kawasan pendaratan penyu-penyu tersebut.

Di sini juga Bidai ingin mengucapkan tahniah kepada Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) Jabatan Perikanan yang telah membangunkan laman web mereka sendiri yang penuh dengan informasi mengenai penyu.

Cuma sedikit teguran, Bidai ada membuka laman web Tumec di www.turtlemalaysia.gov.my, namun hanya diberikan alamat untuk dihubungi tanpa memberikan nombor telefon atau e-mel untuk membolehkan orang ramai membuat aduan dan pertanyaan.

Dengan kerapnya penyu, paus dan dugong terdampar di laut kita sekarang, Bidai rasa Tumec perlu lebih sensitif dan memberi peluang kepada orang ramai menghubungi mereka.

Jadi Bidai harap, kerajaan negeri tukar semula maskot negeri ini ke Penyu dan Tumec, janganlah lakukan sesuatu seolah-olah melepaskan batuk di tangga.

Fikirkanlah...

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.