saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 03/02/2009

Bantah secara sederhana – Raja Zarith

SERANGAN dan tindakan ganas rejim Zionis terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza telah menimbulkan bantahan di seluruh dunia.

Di Malaysia, bantahan tidak terkecuali sebagai memberi gambaran bahawa serangan itu sememangnya ‘tidak direstu’ rakyat negara ini. Justeru, ramai pihak mengadakan demonstrasi meminta supaya kekejaman itu dihentikan segera.

Namun, adakah beberapa saranan termasuk memboikot barangan keluaran Israel dan sekutunya Amerika Syarikat akan memberi kesan langsung dan sesuai dilakukan?

Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Masyarakat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah ada pandangan tersendiri.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, LUQMAN HAZIQ dan jurugambar, RAJA JAAFAR ALI dengan isteri Tunku Mahkota Johor ini di The Zone, Johor Bahru mengenai konflik Israel-Palestin yang mula menarik perhatian beliau sejak tahun 70-an lagi.

UTUSAN: Bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis di Gaza masih berterusan. Bagaimana Tunku melihat perkembangan ini?

RAJA ZARITH: Seluruh dunia sedang protes dan kita kena tahu apa yang kita nak protes dan kenapa kita protes. Macam di Barat, apa yang berlaku di Gaza, bagi mereka adalah krisis kemanusiaan. Sama seperti di Sudan dan negara lain di Afrika.

Maknanya, jangan tumpu hanya kepada Gaza. Kita juga perlu tumpu kepada negara lain termasuk rakyat Malaysia sendiri yang perlukan bantuan.

Satu lagi, jangan terlalu emosional. Jangan tuduh semua orang Yahudi jahat. Kita juga banyak contoh orang Islam jadi ‘pengganas’.

Israel juga macam kita di Malaysia. Bukannya terdiri daripada satu kaum dan beragama Islam sahaja. Di Palestin ada orang Arab Islam, orang Yahudi dan Kristian. Begitu juga di Israel.

Jangan kita hanya nak tolong satu kaum yang menderita sahaja. Kita kena tolong tanpa kira bangsa dan agama. Di Israel, ramai juga yang bantah seperti yang disiarkan oleh Al-Jazeera. Rakyat Israel juga menentang, tidak suka dengan apa yang berlaku. Maknanya, perkara ini sangat kompleks.

Tetapi bantahan yang ditunjukkan seakan-akan difokuskan kepada isu agama. Pandangan Tunku?

Memang. Bantahan orang kita macam fokus kepada agama dan fokus kepada apa yang berlaku di luar negara. Sedangkan negara kita masih perlukan bantuan.

Memang betul rakyat Gaza perlu bantuan. Keganasan rejim Zionis itu tidak boleh diterima. Kita jangan terlalu menyokong, tengok dan baca surat khabar serta buat kajian. Mana kawasan untuk orang Arab, Yahudi dan Kristian.

Saya ada baca sebuah buku A History of Palestine oleh Profesor Gudran Kramer. Beliau pensyarah di Universiti Haifa di Israel dan beragama Yahudi.

Tapi tulisan dia tak berat sebelah. Dia bertanya kepada pelajar Yahudi dan Palestin di dalam kelasnya. Mereka mempunyai pendapat berlainan mengenai apa yang berlaku di Palestin.

Mungkin buku ini boleh dibaca untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai keadaan di sana.

Tunku sendiri mungkin ada pengalaman mengikuti persidangan mengenai konflik antara Israel-Palestin ini?

Saya pernah tulis artikel tentang pengakuan seorang rabai. Dia tinggal di Palestin. Dia kata, dia tak pernah berbual-bual dengan orang Arab walaupun jiran-jirannya semua orang Arab.

Satu hari itu, dia naik teksi. Dalam perjalanan, dia minta pemandu teksi berhenti sebab dia hendak sembahyang.

Dia bersihkan diri sebelum sembahyang dan pada masa sama, pemandu yang beragama Islam itu berwuduk. Apabila sembahyang, dia menghala ke Baitulmaqdis manakala pemandu itu ke arah Mekah. Sejak itu dia sedar, sebenarnya tak ada banyak beza antara dia dan pemandu itu.

Dia rasa bersalah kerana tidak pernah berminat untuk memahami orang Arab sebelum ini. Kita kena faham, mereka melalui terlampau banyak keganasan. Di Palestin pun banyak pengganas, macam Hamas yang bersikap seperti militan.

Kita kena faham, dari kecil sehingga besar, jika kanak-kanak dengar ibu bapa dia kata orang Israel jahat, ganas, bila besar dia akan terus berfikiran begitu. Begitu juga dengan orang Israel.

Kaum muda Palestin dan kaum muda Israel dibesarkan dengan perasaan benci. Memang betul kerana mereka melihat keganasan itu tidak pernah habis.

Bila Israel kata nak berdamai, ada pula pengebom berani mati di Israel. Mangsa ialah orang awam yang tak bersalah, jadi mereka marah.

Jadi apa yang boleh dilakukan?

Misalnya, satu persembahan orkestra di Albert Hall London dianggotai remaja Palestin dan Israel. Ini satu cara untuk berdamai, melalui muzik orkestra.

Dalam orkestra, kalau tiada kerjasama, persembahan akan sumbang. Ini satu cara untuk satukan mereka.

Tetapi bila perkara baik itu dilakukan, media tak dedahkan. Bila benda tak elok, mereka dedahkan. Kenapa kita tak tonjolkan perkara sebegini. Memang betul peranan media itu mustahak. Ia bertanggungjawab terhadap apa yang dilaporkan. Kita perlu media untuk dapatkan maklumat.

Baru-baru ini saya tengok Al-Jazeera, mereka temu bual tiga orang. Seorang bekas Ahli Parlimen Israel, seorang Ahli Parlimen di Palestin dan seorang Profesor di Israel. Bekas Ahli Parlimen Israel itu beritahu, ramai rakyat Israel mengadakan protes ke atas serangan Gaza.

Tetapi media Barat tidak siarkan protes itu. Dia kata lebih 10,000 orang terlibat. Sepanduk yang mereka bawa tertulis Arab-Israel in Peace.

Begitu juga Ahli Parlimen Arab dan profesor itu, mereka juga membantah tindakan Zionis. Macam di Parlimen kita.

Ada dari UMNO, Pas, DAP dan sebagainya. Siapa yang kuat dan dapat undi terbanyak, mereka menang. Perkara yang sama berlaku di Parlimen Israel.

Pada pandangan Tunku apa iktibar yang boleh kita ambil?

Anak muda sekarang, ramai yang bertindak secara ekstrem. Contohnya, kita orang Melayu, kita sudah berpecah mengikut politik. Kita hanya nampak buruk orang lain. Kita pun tak bersatu.

Di Palestin pun sama, mereka tak bersatu kerana politik kepartian. Israel pun sama, mereka ada beberapa parti politik. Saya minta orang muda buat kajian sebelum membantah keterlaluan.

Sekarang senang kerana kita ada Internet. Misalnya nak tahu apa makna Zionis, taip sahaja. Jangan kita gunakan perkataan Zionis, tapi kita tak tahu apa makna dan sejarahnya.

Internet adalah satu perpustakaan besar. Ada yang kata Internet tak bagus, pasal seksual.

Tetapi kita kena bijak cari yang baik. Jangan terus kata Internet tak bagus. Bagi saya, dengan Internet, informasi memang di hujung jari.

Jadi, bantahan kita harus kena pada tempatnya?

Kita tak boleh keterlaluan dan mengikut emosi. Saya risau, banyak protes sekarang. Saya risau, perasaan benci keterlaluan terhadap bangsa Yahudi. Sebenarnya, rejim Zionis yang serang Gaza, bukan rakyatnya.

Pandangan Tunku tentang saranan supaya boikot barangan Israel, Amerika?

Kalau kita nak boikot Yahudi, kita tak bolehlah hendak guna Microsoft sebab Bill Gates, Yahudi. Banyak barang perubatan seperti mesin dialisis dicipta oleh orang Yahudi. Kalau kita nak kata orang Yahudi semua jahat, maka jangan guna mesin dialisis.

Apa yang saya nak kata, orang Yahudi yang cipta dan hasilkan semua ini, bermakna mereka hendak memberi sumbangan kepada dunia.

Dia nak tolong orang sakit. Ini sumbangan besar kepada dunia perubatan. Rejim Zionis yang ganas. Rejim itu yang buat keputusan ganas, bukan rakyatnya.

Apa peranan pemimpin dalam hal ini?

Kalau boleh kita seimbang. Apa yang berlaku adalah politik. Kita bukan orang politik. Yang punya kuasa adalah ahli politik, pemimpin kita, bukan kita. Kita rakyat biasa dan tidak boleh buat keputusan. Contohnya, kerajaan Malaysia buat keputusan naik harga minyak.

Bukan semua rakyat bersetuju. Itu keputusan kerajaan. Yang saya nak tekankan supaya kita jangan terlalu ekstrem, jangan bias. Pemimpin kita kena jelaskan perkara sebenar mengenai isu ini.

Untuk kita beragama Islam, kita mahu orang yang bukan Islam memahami Islam. Sekarang keganasan dikaitkan dengan Islam.

Rasulullah berjuang sebab ada orang ancam agama.

Jadi Rasulullah berjuang untuk mempertahankan agama suci kita. Kita kena buktikan Islam bukan agresif dan ganas.

Macam Rasulullah, orang kutuk dan benci, tetapi baginda tidak lawan balik. Islam adalah agama yang galakkan keamanan.

Ada pandangan mengatakan orang ramai khususnya golongan muda yang terlibat dengan bantahan sebenarnya tidak tahu isu sebenar dan hanya terikut-ikut. Pandangan Tunku?

Macam dalam surat khabar, pelajar yang ambil bahagian, adakah mereka faham atau tidak apa yang mereka lakukan? Saya melihat, mereka terlalu terikut-ikut. Jangan terikut-ikut tapi kena faham apa yang dilakukan.

Sekarang ini, kita umat Islam memang terasa dengan apa yang berlaku kepada saudara kita di Gaza. Dulu pun di Sudan, mereka pun orang Islam, tapi kenapa kita tak buat protes dan hantar bantuan ke Darfur? S

aya rasa di Darfur, apa yang berlaku orang Arab yang tak terima orang Afrika dan nak bunuh semua sekali.

Seperkara lagi iaitu mengenai pengebom berani mati. Kalau bunuh orang yang tidak bersalah, itu bunuh diri sendiri, bukannya mati syahid. Itu tindakan yang melampau. Memanglah kalau semua ahli keluarga atau kawan-kawan kita dibunuh, pasti kita berdendam.

Di sini (Malaysia) jangan pula kita terikut-ikut. Macam kejadian di Bali, bukannya tentera yang jadi mangsa, tetapi pelancong yang mati.

Kalau mangsa itu bekerja sebagai tentera pun, mereka bukan bersenjata. Tindakan itu berdosa kerana mangsa tidak bersenjata dan tidak berdosa.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:09
Zuhur 1:29
Asar 4:45
Maghrib 7:29
Isyak 8:39



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.