saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 21/02/2009

Reaksi Myung-Bak sakitkan hati Pyongyang

KOREA Utara pada Isnin lalu menyatakan niat untuk meneruskan pelancaran roket namun menegaskan ia adalah sebahagian daripada program angkasa dan bukan satu provokasi ketenteraan.

Bagaimanapun keesokannya, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hillary Rodham Clinton yang dalam lawatannya ke Korea Selatan memberi amaran kepada Korea Utara agar tidak melaksanakan rancangannya untuk melancarkan peluru berpandu jarak jauh.

Pendirian Presiden Lee Myung-bak yang tegas terhadap hubungan diplomatik antara Korea Selatan dengan Korea Utara pada bulan ini dibimbangi akan mencetuskan krisis dan ketegangan terbaru kedua-dua negara.

Pendirian Myung-bak yang berikrar selepas mengambil alih jawatan presiden pada Februari 2008 yang tidak akan menawarkan bantuan dan berkompromi kepada Korea Utara yang melibatkan kepentingan negara hakikatnya telah menimbulkan ketegangan awal kedua-dua negara.

Tindak balas Pyongyang yang memperketatkan kawalan dan mengehadkan aktiviti di sempadan Korea Utara-Korea Selatan pada 1 Disember 2008 telah mempamerkan pendirian semasa dan protes Pyongyang terhadap jirannya.

Tindakan dan pendirian semasa Korea Utara ini yang mempamerkan reaksi 'tidak senang' dengan Korea Selatan telah menimbulkan persoalan mengenai apakah faktor yang mempengaruhi reaksi negatif Korea Utara? Apakah dasar-dasar Korea Selatan yang tidak disenangi oleh Korea Utara? Apakah kaitannya ketegangan ini dengan Presiden terkini Korea Selatan iaitu Lee Myung-bak?

Presiden Lee Myung-bak telah dilantik sebagai pemimpin ke-14 Korea Selatan pada 25 Februari 2008 menggantikan Roh Moo-hyun dan melaksanakan dasar dan pendekatan yang berbeza berbanding presiden terdahulu dalam isu yang melibatkan Korea Utara.

Pendekatan dan dasar ketika era Dae-jung terhadap Korea Utara adalah dianggap sebagai dasar yang 'lembut' dan berkompromi dengan Pyongyang dalam usaha mencari jalan penyelesaian masalah dan menyatukan kedua-dua Korea. Dae-jung sememangnya menyedari dasar konfrantasi dan dasar yang keras tidak akan berjaya membawa Korea Utara ke meja rundingan, sebaliknya risiko peperangan bakal dihadapi berbanding dasar soft diplomacy.

Walaupun terdapat beberapa isu dan provokasi melanda hubungan diplomatik yang melibatkan kedua-dua negara di sepanjang era pemerintahannya, namun umumnya Dae-jung lebih mengutamakan penyelesaian secara rundingan dan meredakan ketegangan dengan tidak mengeluarkan pendirian yang keras terhadap Korea Utara.

Dae-jung turut menggunakan saluran sekutu Korea Utara iaitu kuasa besar China dan Rusia bagi 'memujuk' Pyongyang dalam menyelesaikan masalah yang timbul. Ia merupakan pendekatan yang bijak kerana ia berjaya menimbulkan keyakinan Korea Utara dan berjaya menjelaskan mengenai usaha dan objektif yang cuba dicapai oleh Korea Selatan.

Dae-jung sememangnya menggunakan Dasar Sinaran Matahari (Sunshine Policy) sebagai teras dalam membincangkan masalah kedua-dua negara. Tindakan Kim Dae-jung buat pertama kalinya melangkah ke Korea Utara pada tahun 2000 dan berjaya memujuk Korea Utara menerima Deklarasi Korea 2000 bagi memulihkan hubungan politik, ekonomi dan sosial kedua-dua negara adalah kejayaan yang mempamerkan keberkesanan dasar dan polisi Korea Selatan terhadap Korea Utara.

'Keselesaan' Korea Utara terhadap pendirian dan pendekatan Dae-jung ini dapat dibuktikan dengan persetujuan Pyongyang untuk bergerak ke meja rundingan yang dikenali sebagai Rundingan Enam Negara.

Korea Utara turut selesa dengan dasar dan pendekatan yang diguna pakai oleh Presiden Roh Moo-hyun. Moo-hyun dilihat telah meneruskan dasar yang telah dirintis oleh Dae-jung dengan mementingkan perlaksanaan dasar berlembut dan diplomasi terhadap Korea Utara.

Walaupun ketika era beliau Korea Utara pernah mempamerkan ujian nuklearnya dengan melancarkan peluru berpandu balistik jarak jauhnya Taepodong II yang mampu mencecah ke beberapa kawasan di Eropah dan AS pada 9 Oktober 2006, namun tindakan Korea Utara ini dilihat banyak dipengaruhi oleh faktor luaran iaitu faktor diluar dari Semenanjung Korea.

Bagaimana pun dasar dan pendekatan lembut Roh Moo-hyun telah berjaya "memujuk" Korea Utara kembali ke meja rundingan. Kejayaan terbesar Moo-hyun dalam isu di Semenanjung Korea ini ialah berjaya mendesak Korea Utara menghentikan program nuklearnya pada 4 Oktober 2007.

Selain itu, Presiden Moo-hyun juga berjaya memujuk Korea Utara untuk menerima Deklarasi Korea 2007 pada 4 Oktober 2007 untuk mengisytiharkan tamatnya Perang Korea yang selama ini hanya bersifat gencatan senjata semenjak tahun 1953.

Malah kedua-dua negara turut bersetuju untuk meningkatkan kerjasama perdagangan, pembangunan ekonomi bersama dan pengukuhan hubungan diplomatik. Umumnya, dasar Moo-hyun terhadap Korea Utara sememangnya telah dapat diterima oleh Pyongyang dan kuasa besar AS juga turut dilihat selesa dengan pendirian dan pendekatan yang diambil oleh Moo-hyun.

Terkini, Korea Utara telah memperlihatkan 'ketidakselesaannya' terhadap hubungan semasa dengan Korea Selatan. Malah isu ini dibimbangi akan menggugat 'kerjasama' Pyongyang yang ditintis oleh Kim Dae-jung dan Roh Moo-hyun selama ini.

Dasar dan pendirian Myung-bak terhadap isu Korea Korea dilihat 'kabur' dan ia sememangnya telah menimbulkan ketidakpuasan hati Pyongyang. Malah AS sendiri dilihat kabur dengan pendekatan yang telah diambil oleh Korea Selatan sehinggakan AS terpaksa "menawarkan" sesuatu perkara yang sukar dilaksanakan selama ini kepada Korea Utara iaitu dengan menggugurkan Korea Utara daripada senarai negara penaja keganasan pada 12 Oktober 2008.

Tindakan AS ini sekiranya dilihat dalam konteks yang lebih luas adalah dasar yang cuba 'membantu' Korea Selatan berdepan dengan Korea Utara dan turut cuba meyakinkan Pyongyang terhadap Seoul.

Selepas memenangi pilihan raya pada Februari 2008, Myung-bak telah menyentuh mengenai penindasan hak asasi manusia oleh Korea Utara ke atas rakyat dan turut mengkritik corak pemerintahan diktator rejim komunis Korea Utara.

Tindakan Korea Selatan yang mengadakan latihan tentera dengan AS pada 18 Ogos 2008 dan keterlibatan secara langsung Myun-bak yang sebagai pengerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara dalam latihan ini tidak disenangi oleh Pyongyang. Malah Pyongyang turut mengecam tindakan Myung-bak dan Korea Selatan sebagai 'perbuatan jenayah' dalam hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Menyedari tindakan beliau mencetuskan kontroversi, Myung-bak telah mengendurkan ketegangan dengan menyatakan bahawa Korea Selatan sedang bergerak ke arah penyatuan.

Pendekatan yang berbeza oleh Myung-bak ini telah membawa arus hubungan diplomatik Korea Utara-Korea Selatan semakin meruncing. Keadaan ini dibimbangi akan menjejaskan usaha yang rintis oleh Dae-jung dan Moo-hyun yang secara langsung akan memburukkan lagi hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Tindakan Korea Utara yang menempatkan peluru berpandu jarak dekat di perairan barat Korea Utara dan menjalankan ujian peluru berpandu di Laut Kuning pada Oktober 2008 adalah sesuatu tindakan yang belum pernah dilakukan oleh Pyongyang selama ini adalah satu isyarat yang perlu diberi perhatian oleh Korea Selatan.

PENULIS ialah Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.