saya nak baca ..

KESIHATAN


ARKIB : 22/02/2009

Rawatan belon haba untuk haid berlebihan




RAWATAN belon haba mudah dijalankan, tidak mengambil masa yang lama dan pesakit tidak perlu ditahan di wad.EBIH daripada 20 peratus wanita mengalami masalah pendarahan haid berlebihan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kaedah rawatan berkesan, termasuklah yang tidak memerlukan pembedahan besar.

Haid yang normal biasanya berterusan antara lima hingga tujuh hari. Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan (Pakar Obstetrik dan Ginekologi), Dr. Lee Say Fatt menyatakan seseorang wanita itu mengalami aliran darah haid berlebihan jika perlu menukar tuala wanita setiap dua hingga tiga jam atau terdapat 'kebanjiran' darah (meresap ke seluar dalam, pakaian atau cadar tilam).

"Selain itu, mereka yang mempunyai ketulan darah besar atau aliran darah haid melebihi tujuh hari juga mengalami aliran haid berlebihan," katanya.

Pendarahan haid yang berlebihan akan mengganggu aktiviti harian, termasuk pekerjaan, disusuli kelesuan dan mudah rasa letih.

Mereka yang mempunyai gejala-gejala tersebut dinasihatkan menemui doktor untuk membincangkan pilihan rawatan untuk aliran darah haid berlebihan.

l Punca

"Terdapat banyak punca kepada masalah ini, tetapi hampir 50 peratus dari pendarahan ini adalah disebabkan oleh masalah dysfunctional uterine bleeding (DUB)," kata Dr. Lee.

Menurut beliau, DUB merujuk kepada diagnosis di mana punca sebenar tidak dapat dipastikan dan dipercayai masalah tersebut timbul akibat ketidakseimbangan hormon dalam kitaran haid.

Tambahnya, punca lain adalah termasuk ketumbuhan di otot rahim (fibroid) atau di ruang dalam rahim (polip), hyperplasia lapisan tisu haid (endometrial hyperplasia), kanser rahim, penyakit ovari polisistik, penggunaan kaedah merancang keluarga, penyakit endokrin dan juga pengambilan ubat seperti warfarin.

Sehingga 50 peratus kes aliran haid berlebihan gagal dikesan puncanya. Selama bertahun-tahun lamanya, membuang rahim (histerektomi) menjadi rawatan pilihan untuk wanita yang mengalami aliran haid berlebihan di mana mereka tidak mendapat kelegaan daripada rawatan ubat.

Bagaimanapun, kebanyakan masalah aliran haid berlebihan kini boleh dirawat dengan mudah, tanpa memerlukan pembedahan besar bagi mereka yang tidak menunjukkan punca pendarahan yang jelas.

Kaedah yang dikenali sebagai ablasi endometrium ini melibatkan pembuangan atau memusnahkan lapisan dalam rahim (endometrium).

Terdapat banyak kaedah ablasi endometrium dan Thermachoice™ (terapi belon uterus) merupakan antara yang paling popular.

l Rawatan belon haba

Terapi belon uterus Thermachoice™ merupakan prosedur terbaru untuk merawat pendarahan haid yang berlebihan.

Rawatan ini adalah sebagai alternatif kepada pembedahan pembuangan rahim.

Menurut Dr Lee, kaedah terapi ini sesuai untuk merawat wanita yang mengalami pendarahan haid berlebihan akibat DUB.

"Prosedur ini menggunakan kesan haba untuk memusnahkan lapisan dalam rahim.

"Tetapi, anda perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu bagi memastikan tiada masalah rahim seperti fibroid, terutamanya jenis yang berada di dalam rongga rahim," jelasnya.

Tegas beliau, kaedah Thermachoice™ tidak boleh digunakan untuk mengubati kanser rahim.

Ia juga tidak sesuai untuk wanita yang masih ingin hamil kerana komplikasi semasa mengandung akan meningkat sekiranya pesakit hamil selepas menjalani prosedur ini.

Set Thermachoice™ terdiri dari belon yang lembut lagi mudah lentur dan mesin pengeluar haba.

Belon ini akan di masukkan ke dalam rahim melalui faraj dan pangkal rahim. Ianya disambung ke mesin tersebut melalui tiub.

Dr Lee menjelaskan belon tersebut akan dikembangkan dengan cecair agar ia dapat memenuhi seluruh ruang dalam rahim.

"Cecair di dalam belon ini akan dipanaskan sehingga 87°C dan dibiarkan sebegitu selama lapan minit agar permukaan dalam rahim dapat dimusnahkan dengan haba.

"Apabila tempoh rawatan telah berakhir, maka cecair dan belon akan dikeluarkan dari dalam rahim," ujarnya.

Jelas beliau, lapisan dalam rahim yang dimusnahkan oleh kesan haba tersebut akan mula gugur seperti pendarahan haid selama dua atau tiga minggu.

Tambahnya, lapisan dalam rahim akan menjadi sangat nipis ataupun sudah tiada lagi selepas prosedur tersebut dijalankan, menyebabkan pengurangan aliran darah haid.

Ada juga sebilangan wanita yang tidak akan mengalami haid langsung sekiranya kesemua lapisan dalam rahim dapat dimusnahkan semasa rawatan.

l Semasa dan selepas

Pesakit yang menjalani kaedah rawatan Thermachoice™ akan diberikan bius am di dewan bedah dan tidak akan berasa sakit.

Dr Lee memaklumkan pesakit mungkin mengalami ketegangan rahim seperti senggugut untuk satu atau dua hari selepas prosedur dijalankan.

"Setelah berehat selama satu hingga tiga jam di bilik pemulihan, pesakit akan dibenarkan pulang tetapi harus diiringi oleh seorang dewasa yang dapat memandu mereka ke rumah dengan selamat dan selesa.

"Doktor juga akan memberikan ubat tahan sakit supaya pesakit berasa lebih selesa semasa berehat di rumah," katanya.

Menurut beliau, sehingga 95 peratus pesakit wanita yang memilih kaedah ini berpuas hati dengan hasilnya, dengan pengurangan aliran haid atau tiada lagi aliran darah haid. Sebilangan besar dari mereka juga berasa lega dari masalah senggugut.

Tambahnya, pesakit juga boleh kembali bertugas atau bekerja selepas satu atau dua hari berehat.

Kebanyakan pesakit akan mendapati cecair berlendir berwarna merah jambu keluar melalui faraj selama dua hingga tiga minggu berikutnya.

Perlu dijelaskan bahawa beberapa aliran haid selepas prosedur dijalankan mungkin masih berlebihan tetapi ia akan berkurangan secara beransur-ansur.

Hubungan kelamin antara pasangan pula boleh diteruskan selepas dua minggu, sekiranya tiada lagi cecair atau darah yang keluar.

l Risiko

Setiap prosedur perubatan atau pembedahan mempunyai risikonya tersendiri. Begitu juga dengan prosedur Thermachoice™.

Dr Lee menjelaskan risiko prosedur ini adalah rendah dan jarang sekali berlaku.

"Ini termasuk pendarahan yang terlalu banyak, kebakaran haba kepada organ dalaman, kerosakan kepada rahim ataupun kebocoran cecair panas dari belon ke pangkal rahim atau faraj.

"Adakalanya, jangkitan kuman boleh berlaku dan ini boleh diatasi dengan pengambilan ubat antibiotik," ujarnya.

Beliau bagaimanapun menegaskan risiko atau komplikasi yang terpaksa dihadapi melalui pembedahan pembuangan rahim adalah lebih tinggi jika berbanding dengan prosedur Thermachoice™.

Secara kesimpulannya, Thermachoice™ merupakan cara baru yang kurang invasif untuk merawat masalah pendarahan haid yang berlebihan.

Kaedah ini menawarkan alternatif sekiranya wanita tidak ingin pembedahan pembuangan rahim atau pembedahan lain dijalankan.

Pada kesimpulannya, rawatan ini mempunyai banyak kelebihan termasuk:

n Rawatan yang berkesan dan selamat.

n Dijalankan sebagai prosedur harian (sebagai pesakit luar).

n Pemulihan yang cepat, di mana kebanyakan pesakit dapat kembali menjalani kegiatan harian atau tugas dalam beberapa hari sahaja.

n Risiko yang rendah berbanding dengan pembedahan pembuangan rahim atau pembedahan lain.

n Tidak meninggalkan sebarang parut di badan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:06
Zuhur 1:27
Asar 4:49
Maghrib 7:24
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.