saya nak baca ..

LAPORAN KHAS


ARKIB : 24/02/2009

Awas, lembu melintas lebuh raya

NAHAS berpunca daripada terlanggar lembu atau binatang lain di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) semakin meningkat. Tahun lalu saja, dua kes kematian berlaku di LPT akibat kenderaan merempuh lembu yang melintas.


SEKUMPULAN lembu bagaikan menunggu peluang untuk memasuki Lebuhraya Pantai Timur ketika tinjauan dibuat baru-baru ini.


Kini LPT menjadi lebuh raya yang ‘digeruni’ oleh sesetengah pengguna terutama mereka yang pernah terlanggar atau nyaris merempuh lembu di lebuh raya itu.

Dari 2006 hingga 2008, sebanyak 44 kes kemalangan terlanggar lembu atau haiwan lain dicatatkan di sepanjang LPT. Jumlah paling banyak ialah 22 kes pada 2008, termasuk dua daripadanya kemalangan maut.

Pada 11 Disember 2008, satu nahas berpunca daripada kenderaan terlanggar lembu di Kilometer 92 LPT dekat Lanchang, meragut nyawa Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Abdullah Rahmat.

Seorang pembaca, Mohd. Izwan Amri Abdul Ghani pula tampil ke pejabat Utusan Malaysia di Kuala Lumpur semata-mata menceritakan pengalaman ngeri terlibat kemalangan berpunca daripada lembu melintas di LPT.

Bagi mengetahui sejauh mana bahayanya LPT akibat ancaman lembu dan binatang liar melintas, wartawan Utusan Malaysia, ASSIM HASSAN, ZAMZURINA AHMAD dan NORMALA SALLEH serta jurugambar, ASWAD YAHYA, ROY AZIS ABD. AZIZ dan MOHD. ZAHIR ALAUDDIN membuat tinjauan di lebuh raya berkenaan baru-baru ini.

Laporan khas ini mendedahkan mengenai penyiasatan mereka itu.

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Apa perasaan anda ketika memandu di lebuh raya tiba-tiba seekor haiwan melintas betul-betul di depan kenderaan anda?

Anda jadi terkejut? Itu biasa, tetapi mungkin lebih ramai yang panik. Tidak mustahil pula yang hilang kawalan sehingga membiarkan kenderaan merempuh haiwan itu.

Kalau terselamat atau nyaris terlanggar haiwan itu tentu reaksi spontan pemandu ialah marah, timbul tanda tanya bagaimana sebuah lebuh raya yang dijamin selamat tiba-tiba ada lembu atau haiwan lain melintas.

Itulah pengalaman mungkin dilalui ramai pengguna Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), laluan yang menghubungkan Kuala Lumpur-Pahang-Terengganu dan mungkin ke Kelantan tidak lama lagi.

Sejak akhir-akhir ini, masyarakat dikejutkan dengan beberapa laporan kemalangan berpunca daripada terlanggar haiwan ternakan yang memasuki LPT.

Dari rekod rasmi polis, 44 kes kemalangan dicatatkan dalam tempoh 2006-2008. Paling banyak ialah tahun lalu dengan 22 kes, dua daripadanya kemalangan maut.

Insiden meragut nyawa Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Abdullah Rahmat, 51, di Kilometer 92 LPT dekat Lanchang merupakan kemalangan maut terbaru disebabkan haiwan ternakan.

Allahyarham dipercayai merempuh seekor lembu ketika tiba di tempat kejadian. Lembu itu dikatakan melintas dari arah kiri ke kanan laluan Allahyarham.

Rempuhan itu menyebabkan kereta mangsa hilang kawalan lalu melanggar pembahagi lebuh raya. Ia kemudian mengakibatkan kereta pacuan empat roda milik rakan mangsa itu terbalik.

Kenderaan itu kemudian memasuki laluan bertentangan dengan keempat-empat roda ke atas.

Itu baru satu daripada berpuluh-puluh kes kemalangan berpunca terlanggar lembu atau haiwan yang dicatat oleh polis di LPT.

Difahamkan, banyak lagi kes kemalangan kecil terlanggar haiwan di LPT yang tidak dilaporkan oleh pengguna kepada polis.

Lebih ramai lagi jumlah pengguna yang nyaris terlanggar lembu atau haiwan di LPT. Mereka ini sekadar mendengus 'marah-marah' tetapi kemudian meneruskan perjalanan.

Sampai bilakah pihak pengurusan atau pemegang konsesi LPT membiarkan pengguna fobia atau ketakutan memandu di lebuh raya itu yang menyambungkan Pantai Timur dan Pantai Barat di Semenanjung.

Lebuh raya sepanjang 338 kilometer itu merupakan sambungan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak iaitu bermula dari Karak sehingga ke Kuala Terengganu.

Tinjauan Utusan Malaysia di sepanjang LPT sehingga ke susur keluar bandar Kuantan mendapati memang lebuh raya itu sering dicerobohi lembu-lembu atau haiwan lain.

Sepanjang tinjauan beberapa hari itu, memang wartawan dan jurugambar tidak dapat menyaksikan lembu-lembu di laluan lebuh raya itu.

Namun, tinjauan demi tinjauan dan penyiasatan yang dilakukan di kawasan tertentu memang menemui tanda-tanda lembu sering memasuki lebuh raya.

Apatah lagi menerusi interviu dengan beberapa pengguna telah mengesahkan perkara itu. Rata-rata pengguna pernah jadi mangsa sama ada terlanggar atau nyaris merempuh lembu di LPT.

Dalam tinjauan itu, Utusan Malaysia berkesempatan menyaksikan beberapa kumpulan lembu sedang 'bersiap-sedia' di luar pagar LPT.

Haiwan ternakan milik penduduk kampung berhampiran lebuh raya tersebut ketika itu terhalang daripada memasuki LPT. Ini kerana pagar yang ada di situ masih tegap menghalang kumpulan-kumpulan lembu itu.

Penulis percaya, jika lembu-lembu itu beramai-ramai merempuh pagar LPT tersebut, 'gerombolan' haiwan itu pasti terlepas bebas juga akhirnya.

Jika haiwan-haiwan itu sudah berada di LPT, akibatnya dua sahaja iaitu sama ada lembu-lembu itu selamat melintas atau mereka dilanggar oleh pengguna lebuh raya tersebut.

Punca masalah lembu atau haiwan memasuki LPT ini banyak disebabkan oleh faktor penyelenggaraan dan pemantauan yang tidak sistematik.

Ini termasuklah pagar yang rosak dan belum diperbaiki serta terdapat kesan-kesan lembu menceroboh lebuh raya melalui pagar tersebut.

Terdapat pagar yang berlubang, dipercayai dilakukan oleh pencuri besi atau pihak tidak bertanggungjawab. Ia hanya ditutup dengan kayu.

Kes-kes kemalangan di LPT akibat pencerobohan haiwan ke lebuh raya sering dipaparkan di dada-dada akhbar.

Namun sepanjang tinjauan itu, Utusan Malaysia tidak menemui satu pun papan tanda amaran mengenainya dipasang di sepanjang lebuh raya berkenaan.

Difahamkan, ketiadaan papan-papan tanda mengenai kawasan ternakan disebabkan pemegang konsesi LPT iaitu Kumpulan MTD terpaksa mengikut garis panduan ditetapkan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).

Para pemilik konsesi lebuh raya tertutup seperti LPT, Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Lingkaran Tengah (Elite) tidak dibenarkan meletakkan papan tanda haiwan melintas atau berkeliaran.

Masyarakat mungkin memahami masalah MTD untuk menjaga pagar-pagar di sepanjang lebuh raya lebih 30 kilometer itu. Selain kepada MTD, memanglah kesalahan patut juga diletakkan di bahu pemilik haiwan ternakan itu.

Namun, sebagai pengguna yang membayar tol, orang ramai tidak mahu mengetahui bagaimana MTD mengatasi masalah itu dengan pemilik haiwan. Mereka hanya mahu jaminan keselamatan tanpa ancaman lembu di lebuh raya itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:39
Zohor 1:13
Asar 4:38
Maghrib 7:22
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.