saya nak baca ..

SAINS & TEKNOLOGI


ARKIB : 26/02/2009

Sains forensik pastikan penjenayah tidak terlepas


SALAH satu FUNGSI SAINS FORENSIK IALAH MENGENAL PASTI JENIS SENJATA YANG DIGUNAKAN OLEH PEMBUNUH.


Anda mungkin pernah menyaksikan program siri televisyen, Crime Scene Investigation (CSI) yang begitu popular, bukan semata-mata kerana bercorak penyiasatan tetapi kaedah siasatannya yang menarik.

Sebelum ini, banyak program televisyen cenderung kepada kepolisan tetapi pendekatan siasatannya agak konvensional, berbeza dengan CSI yang memberi pendedahan teknik-teknik baru, khususnya kita di Malaysia.

Siasatan polis menggunakan kaedah sains seperti yang dijalankan oleh Detektif Mac Taylor dan Stella Bonasera serta rakan-rakan mereka dalam CSI New York sebagai contoh, merupakan sains forensik.

Forensik bukan sahaja melibatkan kemahiran siasatan di tempat kejadian bahkan juga memaparkan kepakaran saintis mengendalikan analisis ke atas sampel bahan bukti dengan mengaplikasikan bidang sains di makmal yang dilengkapi dengan peralatan moden dan canggih.

Sebenarnya banyak siasatan kini memerlukan pendekatan sains sebagai kaedah terbaik dan mengambil contoh CSI mungkin agak tipikal.

Namun, ia begitu popular dan mudah untuk menerangkan bagaimana forensik dimanfaatkan.

Dengan menggunakan pendekatan sains forensik, penjenayah tidak lagi mudah melepaskan diri begitu sahaja kerana menurut teori mudahnya, mangsa yang telah mati sekalipun boleh 'berkata-kata'.

Malah, siasatan telah pun bermula di tempat kejadian dengan mengumpul semua bahan bukti atau eksibit bagaikan permainan jig saw puzzle untuk mengaitkan penjenayah.

Sains forensik berpegang kepada Prinsip Pertukaran Locard (Locard's Exchange Principle) yang diasaskan oleh Dr. Edmund Locard.

Locard (1877-1966) dianggap sebagai perintis sains forensik yang mengasaskan prinsip asas setiap sentuhan akan meninggalkan kesan.

Prinsip mudahnya ialah apa sahaja yang kita sentuh, akan meninggalkan kesan tanpa kita sedar/perasan atau sebaliknya.

Prinsip ini memudahkan siasatan polis untuk mengesan penjenayah atau mengaitkan mereka dengan kes yang berlaku.

Namun di Malaysia, Jabatan Kimia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) banyak memainkan peranan dalam aplikasi sains forensik yang mana sampel-sampel bahan bukti yang dijumpai ditempat kejadian dianalisis di jabatan tersebut.

"Tugas kami memastikan bahan bukti fizikal yang berada di tempat kejadian dapat dianalisis dan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dalam membantu menegakkan keadilan di mahkamah.

"Ia bukan bagaimana atau bila bahan bukti tersebut berada di situ,'' kata Ketua Unit DNA forensik Jabatan Kimia, Padillah Yahya.

Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Malaysia terbahagi kepada lima seksyen iaitu Seksyen Narkotik, Serologi/ DNA, Kriminalistik, Toksikologi dan juga Pemeriksaan Dokumen.

Seksyen Serologi/DNA, bertanggungjawab dalam menjalankan analisis pemprofilan DNA atau asid deoksribonukleik bagi menyelesaikan kes-kes jenayah seperti bunuh, rogol, gangguan seksual dan pengenalpastian mayat.

Kes-kes lain termasuk buang bayi, pergaduhan, kecurian, rompakan, dan pengedaran dadah selain ujian paterniti atau mengesahkan hubungan bapa dan anak.

Seksyen tersebut mengendalikan bahan bukti biologi yang bersesuaian seperti darah dan kesan darah, air mani dan kesan air mani, rambut dan folikelnya, tisu badan, tulang dan organ, puntung rokok serta bahan sampel mulut selain selain air kencing dan air liur.

bahan bukti

Padillah berkata, kebiasaannya kualiti sampel bahan bukti berkaitan kes-kes jenayah adalah rendah dan kuantitinya juga tidak mencukupi, maka teknik tindak balas rantaian polimerase (Polymerase Chain Reaction -PCR) digunakan untuk menggandakan DNA sampel berkenaan.

Profil DNA yang dihasilkan dipaparkan dalam bentuk electropherogram (graf) dan sebanyak 16 kedudukan (lokus) pada kromosom (rantaian DNA) dianalisis dalam proses pemprofilan ini.

Profil DNA yang diperolehi daripada bahan bukti yang dijumpai ditempat kejadian akan dibandingkan dengan sampel rujukan.

Biasanya spesimen darah itu dapat menentukan sama ada suspek berkemungkinan terlibat dalam jenayah tersebut atau sebaliknya.

Mengenai kemungkinan penjenayah memusnahkan bahan bukti fizikal termasuk membakar mangsa, beliau berkata, analisis tulang masih boleh dijalankan.

"Sekiranya bahan bukti tersebut terlalu teruk, kita boleh menggunakan analisis mitokondria DNA yang mana ia mempunyai banyak salinan berbanding nuklear DNA yang hanya ada satu salinan sahaja, walau bagaimanapun ia tidak unik,'' ujarnya.

Justeru, dengan mengesan adanya sampel penjenayah di kawasan kejadian seperti air mani perogol, maka dia sukar mencari alibi untuk tidak berada di tempat kejadian ketika kes berlaku.

"Bagaimanapun kami tidak dapat mengetahui bila sampel berada di situ dan bagaimana sampel boleh berada di situ (tempat kejadian)," katanya.

Pemprofilan DNA boleh dijalankan ke atas sampel dalam kuantiti yang sangat kecil meskipun kuantitinya hanya sebesar saiz duit lima sen, tetapi ia mestilah dalam keadaan yang baik.

Sekiranya sampel itu ialah puntung rokok, pihaknya akan mengambil sampel pada puntung sepanjang lebih kurang satu sentimeter (sm) daripada hujung rokok yang tidak terbakar.

Bagi analisis narkotik, antara sampel yang biasa diterima dari polis kastam dan tentera termasuk Methamphetamine, morfin, heroin, MDMA, ketum, kanabis, kodein dan syabu.

Biasanya, bahan tersebut akan ditimbang untuk mengetahui berat kasarnya.

Selepas itu, ujian penskrinan dilakukan untuk mencari ketulenan kandungan dadah dengan mencampurkannya dengan reagen tertentu.

Bagi tujuan analisis kualitatif pula iaitu mengesan kandungan sebenar bahan, peralatan seperti Fourier Transform Infrared Spectrometer, Gas Chromatoghraphy/ Mass Spectrometer dan Scanning Electron Microscope digunakan.

Analisis ini penting bagi menentukan adakah bahan tersebut benar-benar mengandungi dadah yang diharamkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga berapa jumlahnya yang sebenar dalam sampel yang diuji.

Ia boleh menentukan sama ada penjenayah boleh disabitkan dengan akta tersebut atau sebaliknya.

Ketika ini, keghairahan pengguna terhadap makanan tambahan dan ubat perangsang seks seakan-akan sukar dibendung dan mereka lupa mengambil kira kandungannya yang sebenar.

Jabatan Kimia memainkan peranan penting menentukan kesahihan kandungan ubat tersebut dalam ujian toksikologi.

Kandungan tersebut dianalisis di bawah Akta Racun 1952 bagi menguji sama ada mangsa disahkan memakan racun atau mengesahkan jenis-jenis racun.

Menurut ketua unit tersebut, Dr. Mohd. Sukri Hassan banyak ubat kampung atau tradisional yang mengandungi steroid dan ini boleh disahkan dengan ujian toksisiti.

Di Seksyen Kriminalistik antara ujian yang dilakukan ialah mengesan peluru yang ditembak sama ada datang dari senjata api yang disyaki digunakan dalam jenayah tersebut atau sebaliknya dengan menggunakan mikroskop khas.

Ujian ini mengaplikasikan dan memanfaatkan jenis laras senjata api berdasarkan kepada lorekan atau garisan pada peluru yang ditemui di tempat kejadian atau pada mangsa sama ada berpadanan atau sebaliknya.

Selain itu, jabatan tersebut juga mempunyai kemampuan mengesan cakera padat (CD) cetak rompak dengan mengesan nombor pengenalan acuan pada mesin cetak CD berkenaan.

Jabatan Kimia tersebut hanya perlu membandingkan nombor CD yang dihasilkan dan nombor acuan dari kilang yang disimpan oleh jabatan tersebut.

Kes kecurian kenderaan yang membimbangkan orang ramai juga mendapat perhatian Jabatan Kimia Malaysia iaitu dengan mengesan nombor casis kenderaan tersebut meskipun ada usaha untuk menghapuskannya.

Dengan hanya menggunakan reagen tertentu, nombor casis asal dapat dikesan dan dilihat menggunakan kanta.

Pendek kata, analisis forensik sebenarnya satu pendekatan saintifik yang membolehkan bukti berkata-kata.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:10
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.