saya nak baca ..

JOHOR


ARKIB : 04/03/2009

Gemilangkan seni khat


ZAINAL Abidin Osman (kiri) melihat kehalusan hasil seni khat di Galeri Seni Johor, Johor Bahru, baru-baru ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI


JOHOR BAHRU 3 Mac - Seni itu sememangnya indah dan kadangkala sukar untuk ditafsir oleh mata kasar kerana ia mengandungi makna yang tersirat di sebalik apa yang tersurat pada permukaannya.

Umum mengetahui sesebuah karya seni pada dasarnya adalah sebuah medium untuk sesetengah individu meluahkan perasaan serta penghayatan mereka terhadap sesuatu yang terjadi dalam kehidupan.

Kebiasaannya karya seni itu dibahagikan kepada dua iaitu seni tradisional yang sering dikaitkan dengan pautan kebudayaan serta nilai estetika yang tinggi dan seni kontemporari yang lebih bersahaja serta lebih menjurus kepada persepsi seseorang individu.

Dapat disaksikan hari ini, seni berkonsepkan kontemporari adalah lebih mudah untuk diterima dan diketengahkan kerana ia lebih ringan untuk diterima.

Tetapi ada juga yang masih mengekalkan konsep asal kesenian itu dan memberikan sedikit 'nafas baru' kepada bentuk penghasilannya supaya ia menjadi lebih 'segar' berbanding sebelum ini.

Sebagai contoh, Pameran Seni Khat Islam 2009 anjuran Yayasan Warisan Johor (YWJ) di Galeri Seni Johor.

Pameran yang berlangsung sejak 15 Februari lalu hingga 30 Mac ini adalah untuk mengetengahkan hasil seni khat kontemporari hasil karya para penggiat seni khat tanah air.

Hasil seni yang dipamerkan berteraskan konsep tulisan khat asal dan disampaikan melalui cara yang lebih menarik berbanding coretan dakwat hitam di atas sehelai kertas putih.

Seni khat Islam merupakan satu reka bentuk tulisan cantik atau indah yang berteraskan kepada kitab suci al-Quran dan citra keindahan tulisan Arab yang dipaparkan pada hari ini adalah kesinambungan warisan tradisi kesenian karyawan Islam.

Secara umumnya pameran itu untuk mencerminkan perkembangan seni khat yang semakin terpinggir dan terhakis kesan daripada arus kemodenan negara.

Karya-karya yang dipamerkan tidak mengambil kira mutu persembahan atau pengolahan karya yang sempurna, sebaliknya adalah sebahagian daripada usaha YWJ untuk melahirkan lebih ramai penggiat seni khat pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Johor, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, keindahan seni khat bukan sahaja dapat dihayati menerusi kehebatan tulisan, malah melalui tafsiran dan makna yang ingin disampaikan pengkarya selain menjelmakan suasana khusyuk dan tawaduk.

"Hal ini adalah selaras dengan tanggapan Yaqut Al Mustashimi yang bermaksud kaligrafi adalah seni rohani yang dilahirkan melalui alat jasmani.

"Selain dapat memperkembangkan ciri kesenian, seni khat juga merupakan satu terapi jiwa yang secara tidak langsung dapat mendekatkan diri kepada keesaan Allah," katanya semasa merasmikan pameran berkenaan baru-baru ini.

Beliau berkata, pameran seni khat itu merupakan salah satu usaha gigih untuk memantapkan lagi perkembangan askara cantik dalam masyarakat yang dilihat semakin dilupakan masyarakat.

Katanya, ia juga bertujuan mengasah bakat baru untuk terus berkarya dan membuka ruang serta peluang kepada golongan muda membina kerjaya mereka dalam bidang seni khat.

"Pulangan daripada perniagaan seni khat di Malaysia juga menunjukkan perkembangan yang semakin positif sejak akhir-akhir ini dan anak bangsa kita seharusnya memperjuangkan kesenian indah ini secara berterusan supaya dapat meraih keuntungan sewajarnya.

"Namun, apa yang kita kesali semua urusan jual beli seni khat ini hanya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak asing dari negara Asia Barat seperti Iran dan Turki," jelasnya.

Zainal Abidin turut menyatakan sokongan terhadap usaha memartabatkan seni khat di negara ini dan berharap ia akan diperluaskan ke peringkat akar umbi serta tidak terhad kepada sesetengah kumpulan atau individu.

Beliau turut mencadangkan agar program tersebut diteruskan pada masa akan datang agar perkembangan seni khat tidak mati di situ sahaja.

"Saya percaya, melalui usaha gigih dan komited seperti ini, Johor akan muncul sebagai benteng memartabatkan kesenian khat di rantau ini," ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:00
Asar 4:19
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.