saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 06/03/2009

Bukan sekadar konsert biasa

DEFINISI konsert kepada sebilangan besar khalayak barangkali hanya menjurus kepada persembahan hiburan semata-mata.

Namun, pernahkah kita berfikir bahawa konsert juga boleh menjadi ejen perubahan manusia ke arah mencintai perkara-perkara yang mulia?

Itulah hasrat dan aspirasi kumpulan nasyid tersohor negara, Rabbani dalam mengubah dimensi masyarakat terhadap persembahan konsert.

Memilih tarikh 3 Rabiulawal yang lalu, Rabbani yang diketuai oleh Ustaz Asri Ibrahim bersepakat dengan nama-nama besar dalam industri hiburan berhimpun mengadakan konsert yang sangat istimewa.

Dianjurkan buat kali kedua, Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor hujung minggu lalu sangat signifikan sekali dalam kalendar umat Islam.

Ia diadakan sempena meraikan hari keputeraan junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w yang jatuh pada hari Isnin ini bersamaan 12 Rabiulawal.

Seperti yang disuarakan oleh Ustaz Asri, Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul di stadium berkenaan tempoh hari bukan sekadar berzanji, bukan sekadar marhaban dan juga bukan sekadar bernasyid serta berceramah.

Sebaliknya, aspirasi dan iltizam beliau ialah memperkasakan ingatan dan kasih sayang umat Islam terhadap kekasih Allah s.w.t yang satu itu.

Kesudahannya, hasrat murni itu dibalas dengan sokongan yang cukup baik daripada khalayak.

Dengan jumlah kehadiran 6,000 penonton, Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul edisi kedua itu harus sekali disifatkan sebagai penganjuran yang berjaya.

Menampilkan kumpulan Rabbani, Ustaz Akhil Hayy dan Mawi, malam berkenaan turut diserikan dengan kemunculan Dauk Siti Nurhaliza serta Amy Search.

Seperti yang dijelaskan awal-awal tadi, konsert anjuran Rabbani Productions (M) Sdn. Bhd. itu bertujuan untuk menyemai rasa kasih dan sayang terhadap Rasulullah s.a.w yang merupakan contoh umat sepanjang zaman.

Bertitik tolak daripada penganjuran edisi kedua itu juga, Ustaz Asri bersama seluruh team produksi berhasrat untuk menjadikan konsert berkenaan sebagai acara tahunan mereka.

"Kalau tidak dapat anjurkan setahun sekali, kita akan anjurkan dalam dua tahun sekali. Ini adalah cara dakwah kami kepada masyarakat,'' ujar Ustaz Asri sejurus selepas selesai konsert.

Apa yang istimewanya, ketika syarikat-syarikat korporat lain seperti kurang berminat untuk berkolaborasi dalam acara yang mungkin disifatkan 'tidak glamor' dan 'kurang komersial', Rabbani bagaimanapun sangat bersyukur kerana mendapat tajaan daripada Telekom Malaysia Bhd. (TM) dengan TV3 bertindak selaku penyiar rasmi.

Dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, persembahan pada malam itu dimulakan dengan paduan suara Rabbani, Amy Search, Siti Nurhaliza, Akhil Hayy dan Mawi menyanyikan lagu Junjungan Mulia.

Namun, apa yang menarik perhatian, konsert selama dua jam itu menyaksikan detik pertama kali Rabbani dan Siti Nurhaliza berduet menyanyikan lagu Ketika Cinta, sebuah lagu tema untuk filem Perempuan Berkalung Sorban.

Malah, ia juga merupakan persembahan sulung Siti menyanyikan lagu itu di hadapan khalayak ramai.

Manis bertudung litup, Siti tetap memberikan persembahan bertenaga biarpun masih bersedih dengan pemergian bapa yang dikasihi, Tarudin Ismail, tanggal 15 Februari lalu.

Perempuan Berkalung Sorban merupakan filem bertemakan keislaman terbitan sebuah produksi dari Indonesia.

Selain duet bersama Rabbani, Siti turut menyampaikan lagu berjudul Kudus Cintamu manakala Amy Search tampil dengan lagu Tiada Lagi sebelum berkolaborasi dengan Rabbani dengan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur.

Penyanyi popular yang baru melangsungkan pernikahan pada Disember lalu, Mawi pula muncul mendendangkan lagu Al Jannah dan Saksi (duet bersama Rabbani).

Menyambung bicara, Ustaz Asri berkata, Malam Sinar Maulidur Rasul mencapai matlamatnya dengan penonton dilihat menghayati semangat perjuangan Rasulullah s.a.w melalui lagu-lagu yang didendangkan.

Jelasnya, selain persembahan artis, kemunculan Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood yang menceritakan kisah Nabi Muhammad s.a.w sejak zaman kelahiran hingga kewafatan Baginda turut menyumbang rasa cinta di kalangan penonton kepada insan mulia itu.

"Saya lihat ramai yang mengalirkan air mata dan menghayati makna perjuangan Rasulullah s.a.w.

"Saya berterima kasih kepada penaja, TM, TV3 dan semua yang terlibat menjayakan Malam Sinar Maulidur Rasul.

"Terima kasih juga kepada barisan artis yang sanggup mengenepikan hal-hal lain untuk konsert ini. Saya terharu dengan komitmen mereka,'' kata Ustaz Asri lagi.

Ditanya mengenai duet Rabbani bersama Siti Nurhaliza, Ustaz Asri menjelaskan, ia adalah satu detik yang tidak disangka-sangka oleh kumpulan nasyid itu.

"Ini pertama kali Rabbani bergandingan dengan artis wanita.

"Untuk konsert Maulidur Rasul pada masa-masa akan datang, kita akan cuba kekalkan artis yang sama,'' tambahnya.

Sementara itu, pada konsert tersebut, Lembaga Zakat Selangor menyerahkan sumbangan sebanyak RM25,000 kepada Tabung Bersamamu TV3.

Selain Pusat Zakat Selangor, Syarikat Faiza Sdn. Bhd. dan Puncak Niaga Holdings Bhd. masing-masing turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM20,000 dan RM5,000.

Usaha yang dinanti Amy

Dalam pada itu, Amy Search berkata, pembabitannya dalam konsert Malam Sinar Maulidur Rasul merupakan satu penghijrahannya untuk bersama berdakwah.

"Perkara ini memang sudah lama saya impikan dan ia sememangnya meninggalkan satu kenangan indah dalam hidup saya.

"Saya dapat rasakan sesuatu yang berbeza daripada apa yang sama alami sebelum ini,'' jelasnya.

Menurutnya, ketika di atas pentas, meski ia berbentuk hiburan, suasana dan emosi yang menyelubungi dewan konsert cukup berlainan dan sukar digambarkan dengan kata-kata.

"Selain konsert Maulidur Rasul, saya juga akan terlibat dengan persembahan Bulan Dakwah di beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang, Melaka dan Perak,'' kata rocker unggul negara itu lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.