saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 06/03/2009

Komitmen bersama atasi gengsterisme

PERKEMBANGAN mutakhir memperlihatkan gejala disiplin pelajar yang semakin membimbangkan. Ramai yang menyuarakan pendapat untuk mengatasi masalah ini.

Pelbagai persoalan timbul. Adakah masalah disiplin itu berpunca daripada pihak sekolah? Namun bagaimana pula peranan ibu bapa dan keluarga sendiri? Sejauh manakah keprihatinan pemimpin dalam soal ini dan bagaimana pula reaksi institusi agama untuk menanganinya?

Keruntuhan akhlak, masalah disiplin dan kewujudan kumpulan samseng di sekolah cukup menyedihkan. Lebih memilukan kerana ia membabitkan pelajar beragama Islam.

Laporan media menunjukkan terdapat tiga kes buli pada bulan lalu, termasuk satu yang membawa kematian. Mohd. Hadzrin Mohamad meninggal dunia setelah koma lapan hari akibat dipukul oleh sekumpulan 24 remaja di Cheras.

Kumpulan pelajar samseng ini seolah-olah hilang pertimbangan diri dan kewarasan fikiran. Mereka bertindak sesuka hati dan perbuatan mereka terkeluar dari jangkaan kita yang waras.

Sekolah seolah-olah bukan lagi tempat yang selamat untuk pelajar. Kalau dulu sekolah dapat berperanan memberi perlindungan kepada pelajar namun kini persekitaran di sekolah mendedahkan mereka kepada keganasan. Mereka juga terdedah untuk menjadi ganas.

Menurut kajian mengenai gengsterisme ke atas 1,560 sekolah menengah harian oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada 2005, sejumlah 459 daripadanya terdedah kepada budaya dan pengaruh gengsterisme. Hasil kajian ini sangat membimbangkan.

Kita juga sangat bersimpati dengan para guru di sekolah terbabit. Imej sekolah yang dianggap mulia, tempat mencurahkan ilmu bagi mendidik anggota masyarakat, menjadi mangsa segelintir pelajar yang berperangai seperti orang yang tidak bertamadun.

Mungkin punca masalah dan penyelesaian akan diperoleh jika kita sanggup bermuhasabah. Kita perlu kaji serta menilai pengertian sebenar konsep pendidikan. Tujuan dan peranannya terhadap pembangunan insan.

Tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak, kita semua harus insaf dengan kemerosotan akhlak dan moral pelajar serta generasi muda. Ia menandakan ada kesilapan pada sistem pendidikan kita.

Bagaimanapun kita juga perlu sedar dan insaf bahawa pendidikan bukanlah tugas pihak tertentu sahaja. Ia adalah amanah dan tanggungjawab semua - meliputi individu, ibu bapa dan keluarga selain pemimpin.

Setiap insan bertanggungjawab, bahkan wajib mendidik dirinya sendiri. Kita wajib mencari pelbagai cabang ilmu dan maklumat bagi membentuk cara berfikir dan bertindak yang sehaluan dengan agama, budaya dan nilai-nilai kemanusiaan serta kemasyarakatan.

Dari sudut takrifan, pendidikan adalah "suatu proses penyemaian ilmu secara berterusan kepada insan''. Prof. Syed Mohd. Naquib al-Attas mendefinisikan pendidikan sebagai "satu usaha atau proses menitiskan sesuatu ke dalam diri manusia". Imam Al-Ghazali mengatakan, pendidikan itu ialah mengeluarkan perangai yang buruk yang ada pada manusia dan menyemaikan perangai dan sifat yang baik.

Secara umumnya, daripada pandangan di atas kita boleh mengatakan bahawa pendidikan itu bersifat dalaman dengan bermatlamatkan melahirkan insan yang sempurna dan berakhlak mulia serta ia adalah proses yang mengambil masa yang panjang.

Walau takrifan yang diberikan, dalam memahami pengertian pendidikan, tiga perkara perlu diberi perhatian iaitu proses pendidikan, jenis ilmu dan konsep insan. Kebiasaannya, proses pendidikan dilaksanakan dengan perantaraan pelbagai sistem atau peralatan canggih.

Bagi golongan pendidik, terutamanya para guru mereka perlulah memiliki minat yang mendalam, kewibawaan menyampaikan ilmu dan keperibadian yang luhur untuk memastikan kejayaan proses pendidikan.

Para pelajar sukar menerima ilmu dan mencontohi guru yang tidak komited. Apatah lagi yang boleh dipertikaikan peribadi dan akhlaknya walaupun untuk perkara remeh seperti cara bercakap dan berpakaian. Rasa hormat kepada guru adalah antara syarat asas bagi memastikan kejayaan penyaluran ilmu dan nilai-nilai yang baik.

Dalam penyaluran ilmu yang tidak formal, ibu bapa perlu sentiasa menyingkirkan sifat buruk daripada menjadi amalan keluarga. Bayangkan konflik jiwa anak-anak jika mereka dihantar ke kelas fardu ain setiap hari tetapi ibu bapa tidak pernah solat atau cuma ke masjid seminggu sekali.

Sementara dalam bidang kepimpinan pula, pemimpin perlu mengawasi diri daripada bersikap "cakap tak serupa bikin" untuk memastikan keberkesanan kepimpinannya. Ini sebenarnya juga suatu bentuk pendidikan.

Mereka yang dipimpin akan sentiasa melihat dan menilai apakah yang dilakukan oleh pemimpin dan bagaimanakah bentuk akhlak pemimpin mereka.

Pendeknya, untuk melahirkan golongan pelajar yang berakhlak mulia, ia memerlukan perhatian serius semua pihak. Tanpa kerjasama usaha mendisiplinkan pelajar akan terbantut. Kita tersangat bimbang masa depan para pelajar kini lebih-lebih lagi di era globalisasi yang tiada lagi batas sempadan komunikasi yang menjanjikan sesuatu yang kita sendiri tidak pasti.

PENULIS ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi IKIM

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.