saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 06/03/2009

Martabatkan bahasa Melayu

APABILA bangsa asing menunjukkan minat untuk menguasai bahasa Melayu, ia merupakan satu penghormatan kepada bangsa Melayu.

Secara teorinya, masyarakat antarabangsa tidak akan memberikan perhatian kepada sesebuah bangsa, sekiranya bangsa itu tidak mempunyai sesuatu yang boleh dibanggakan.

Ambil sahaja contoh mudah bagaimana masyarakat dunia berlumba-lumba mempelajari bahasa Jepun disebabkan ilmu sains dan teknologi mereka yang tinggi.

Begitu juga dengan bahasa Arab apabila dunia Arab semakin berkembang sebagai lubuk ekonomi.

Justeru apabila bahasa Melayu turut menjadi perhatian seperti yang ditunjukkan menerusi penyertaan menggalakkan pada pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri (PABM) 2009, ia secara tidak langsung mengiktiraf bahasa dan tamadun Melayu.

Penganjuran kali ketiga PABM tahun ini yang berlangsung sejak 2 Mac dan berakhir hari ini menarik penyertaan seramai 46 orang peserta dari 28 negara di enam benua.

Bertemakan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, PABM dibahagikan kepada dua kategori iaitu Nusantara dengan penyertaan negara yang mengamalkan bahasa Melayu seperti Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Kategori Antarabangsa pula dibuka kepada seluruh negara dan disertai oleh pelajar yang mengambil jurusan bahasa Melayu di universiti negara masing-masing.

Sehingga kini, terdapat 129 buah institusi pengajian tinggi (IPT) di 40 buah negara menawarkan pengajian bahasa Melayu.

Menariknya kali ini, tujuh buah negara baru turut mengambil bahagian iaitu Itali, Jerman, Moldova, Bosnia Herzegovina, Palestin dan Belarus.

Untuk menyimpulkan bahawa bahasa Melayu sudah diterima masyarakat dunia berdasarkan jumlah 129 buah IPT yang menawarkan kursus pengajian itu, barangkali masih terlalu jauh.

Apatah lagi dengan hakikat bahawa terdapat lebih 30,000 buah IPT di seluruh dunia ketika ini.

Bagaimanapun perlu untuk diketahui, daripada 129 buah IPT tersebut, kebanyakannya terletak di negara membangun dan maju.

Untuk bahasa Melayu itu diterima sebagai satu kursus bahasa asing di IPT tersebut pula bukan melalui usaha melobi oleh kerajaan.

Sebaliknya, berdasarkan keputusan senat IPT masing-masing yang dibarisi oleh golongan cerdik pandai dan cendekiawan yang berfikiran terbuka.

Pastinya antara kriteria yang diberikan keutamaan ialah bagaimana bahasa Melayu yang menjadi bahasa ibunda berjaya membina sebuah negara Malaysia seperti hari ini.

Hakikatnya, Malaysia menjadi perhatian dunia sebagai salah sebuah negara Islam yang semakin berkembang maju dan progresif.

Malaysia juga merupakan negara contoh terutamanya di kalangan negara-negara dunia ketiga.

Justeru, bangsa asing melihat bahasa Melayu sebagai bahasa moden iaitu bahasa yang mempunyai nilai-nilai komersial, bukannya bahasa kesusasteraan semata-mata.

Tidak dinafikan PABM yang bakal dijadikan acara tahunan merupakan pentas terbaik dalam mengangkat martabat bahasa Melayu di persada antarabangsa.

Namun, adakah penganjuran seumpama ini meskipun merupakan julung kali diadakan sudah memadai?

Ketua Pengarah, Bahagian Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi berkata, untuk bahasa Melayu dipandang tinggi dalam konteks akademik, negara memerlukan jurnal dan makalah penyelidikan mengenai bahasa dan bangsa yang diiktiraf di peringkat dunia.

Jurnal atau makalah itu pula dimartabatkan dengan dijadikan sebagai wasik atau rujukan di kalangan ahli akademik dan cendekiawan antarabangsa. Menurut beliau, negara sebenarnya mempunyai material yang sangat kaya dan tinggi dengan nilai-nilai kesusasteraan serta sosio budaya Melayu.

Namun cabarannya ialah sejauh mana kita mampu menembusi dan mengekalkan keunggulan bahasa Melayu di pentas antarabangsa.

Dalam erti kata yang lain, bolehkah jurnal atau makalah bahasa Melayu diiktiraf dan diterima di peringkat antarabangsa?

Untuk jurnal atau makalah itu diterima, ia perlu diindekskan dalam sistem atau rangkaian yang diiktiraf seperti Isis atau Scorpus yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) atau United Kingdom.

Malangnya sehingga kini, tiada jurnal atau makalah yang secara khusus mengangkat mengenai sosiobudaya dan kesusasteraan Melayu dalam indeks itu.

Sedangkan kita tidak hanya mempunyai material itu, malah negara luar juga menunjukkan minat yang sangat tinggi kepada bahasa Melayu. Apa yang tinggal ialah kemahuan dan usaha kita untuk memperkembangkan dan mengantarabangsakannya.

Ke mana menghilangnya pejuang-pejuang bahasa Melayu yang boleh memartabatkan bahasa ibunda dalam konteks meletakkan jurnal bahasa Melayu di persada dunia?

"Bagi saya ini juga merupakan fardu kifayah bagi mereka yang pakar dalam bidang bahasa. Jurnal dan makalah bahasa Melayu itu seharusnya datang dari kita, kerana negara kita adalah lubuknya" kata Radin Umar.

Menariknya PABM 2009 kali ini juga berlangsung ketika negara berada dalam kekalutan mengenai perdebatan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pastinya ada yang mengaitkan, jika bangsa asing sangat berminat untuk mendalami bahasa Melayu, mengapa PPSMI pula dilihat menyongsong arus?

Bagi Radin Umar, beliau mempunyai pandangan yang sangat jelas iaitu pada penghujungnya graduan terutamanya bangsa Melayu perlu kembali kepada realiti sebenar dunia hari ini.

Kemahiran menguasai bahasa antarabangsa ujar beliau, adalah perkara universal yang tidak boleh dipandang enteng. Ia adalah satu keperluan pada masa ini.

Jatuh bangun atau maju mundur sesebuah bangsa turut bergantung kepada kemampuan anak bangsanya menguasai kemahiran dalam pelbagai bahasa. Oleh itu katanya, dasar PPSMI perlu bergerak seiring dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Lebih baik, graduan Melayu juga mampu menguasai bahasa ketiga sama ada bahasa Mandarin, Tamil atau bahasa Arab yang merupakan antara bahasa utama ekonomi dunia ketika ini.

Kemahiran itu sangat penting untuk menembusi pasaran kerja terutamanya di peringkat multinasional.

Berpeluang berdialog dengan pihak industri tambah beliau, memberikan gambaran sebenar mengenai kualiti graduan terutamanya di kalangan bangsa Melayu.

Antara yang paling ketara ialah kegagalan menguasai kemahiran berkomunikasi termasuk bahasa Melayu sendiri, apatah lagi bahasa Inggeris dan juga bahasa lain yang boleh menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam dunia pekerjaan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:10
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.