saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 08/03/2009

Bantah PPSMI: Lapan ditahan


PASUKAN Polis Simpanan Persekutuan (FRU) berusaha menyekat sebahagian daripada 5,000 penunjuk perasaan berhampiran Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam, yang berkeras mahu berarak ke Istana Negara, bagi menyerahkan memorandum menghapuskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris kepada Yang di-Pertuan Agong. Gambar kanan, dua penunjuk perasaan cuba menghalang tugas polis. – UTUSAN / DJOHAN SHAHRIN


KUALA LUMPUR 7 Mac – Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menghalang perarakan kira-kira 5,000 penyokong perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) daripada menghampiri Istana Negara, hari ini.

Perhimpunan anjuran Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) itu bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Namun, ia bertukar menjadi kecoh apabila penyokong terbabit berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara walaupun tidak mendapat permit polis untuk berbuat demikian.

Penyokong perhimpunan itu yang mula berkumpul sejak pukul 1 petang di Masjid Negara, kompleks beli belah Sogo dan Pasar Seni menjadi sukar dikawal apabila mereka berarak ke Istana Negara kira-kira sejam kemudian.

Bermula dari pekarangan Masjid Negara, kekecohan tercetus apabila ribuan penyokong yang berkumpul bertindak agresif merempuh halangan polis. Mereka berarak sejauh satu kilometer menuju ke Istana menerusi Jalan Syed Putra.

Kira-kira 25 minit kemudian, pergerakan itu menghampiri Istana Negara, menyebabkan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

Terdapat segelintir peserta perarakan itu yang dilihat memakai pakaian dan membawa logo beberapa parti pembangkang.

Ketika itu, terdengar seorang di antara penyokong memaki hamun pasukan FRU itu dengan perkataan ‘anjing’.

Insiden petang ini turut menyebabkan beberapa jalan utama di ibu negara terutamanya Jalan Mahameru sesak teruk di kedua-dua arah sepanjang kekecohan ketika perarakan itu berlaku.

Kira-kira pukul 2.50 petang, Pengerusi GMP Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menyerahkan memorandum itu di hadapan pintu masuk bangunan Istana Negara.

Memorandum itu diterima oleh wakil Istana Negara, Penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithanini.

Sementara itu, menurut laporan Bernama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, lapan orang ditahan di sekitar Masjid Negara dan berhampiran Istana Negara kerana menyertai perhimpunan yang tidak mendapat permit polis itu.

Menurut beliau, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan Dang Wangi untuk disiasat mengikut mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967.

“Polis terpaksa mengambil tindakan tegas dengan melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan ‘meriam air’ untuk menyuraikan mereka.

“Polis juga memeriksa 119 orang lagi kerana ingkar arahan bersurai,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, Polis Kuala Lumpur tidak mengeluarkan permit untuk perhimpunan dan perarakan tersebut.

“Bagaimanapun, terdapat segelintir penyokong yang menimbulkan kekecohan sehingga keadaan menjadi tidak tenteram,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.