saya nak baca ..

UTARA


ARKIB : 14/03/2009

Lulus 100 peratus SPM


NUR Qaisha Nabila Aswandi (kiri) meraikan kejayaan bersama ibunya Nor Hashimah Mohd. Dali di Taman Desa Seraya, Tandop, Alor Setar, kelmarin. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN


TASEK GELUGOR 13 Mac - Sekolah aliran agama, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Irshad muncul sebagai sekolah terbaik keseluruhan di Pulau Pinang apabila semua 127 pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 lulus dengan cemerlang.

Dua pelajar perempuan dari sekolah tersebut turut muncul sebagai pelajar terbaik keseluruhan Pulau Pinang apabila Siti Hafizah Roslie dan rakannya, Ainatul Mardhiah Mohd. Don, 18, memperoleh 13 A1.

Menurut Penolong Kanan Pentadbiran sekolah, Abdul Halim Abdul Hamid, resipi kejayaan yang dicatat oleh para pelajar SMKA Al-Irshad adalah gabungan usaha di antara pelajar dan guru-guru di sekolah tersebut.

"Pelajar di sekolah ini diberikan fokus secara individu oleh guru-guru dalam memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kerana konsistensi pembelajaran penting sebagai persiapan calon menghadapi peperiksaan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata, strategi sekolah yang lahir dengan program terancang untuk para pelajar turut menjadi salah satu daripada elemen membantu kejayaan pelajar mencatat keputusan terbaik dalam SPM.

Katanya, apabila calon-calon bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan, mereka diberikan latihan berbentuk soalan peperiksaan tahun-tahun lalu.

Jelasnya, latih-tubi itu amat membantu pelajar dalam melengkapkan persiapan diri apabila menghadapi peperiksaan.

Beliau menambah, pihak sekolah akan terus berusaha membantu melahirkan golongan pelajar cemerlang dalam akademik selain cuba menurunkan lagi gred purata sekolah (GPS).

"Tahun lepas GPS yang dicatatkan menurun sebanyak 2.56 peratus berbanding tahun 2007, 2.79 peratus.

"Matlamat pihak sekolah adalah untuk terus menurunkan peratusan GPS di samping meningkatkan kejayaan peratus pelajar yang mendapat A1 dan A2," katanya.

Sementara itu, dua sahabat yang tidak pernah berpisah kelas dari sekolah rendah sehingga menengah berkongsi kejayaan yang sama apabila mendapat keputusan cemerlang 11 1A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kolej Sultan Abdul Hamid di sini semalam.

Berikutan keputusan cemerlang itu, Megat Mohammad Fakhri Kamaruzaman dan Mohamed Nazrin Abdul Mutaliff bertekad untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran.

Kedua-dua sahabat itu bagaimanapun mempunyai kaedah mengulang kaji pelajaran yang berbeza tetapi banyak membantu mereka mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Bagi Mohamed Nazrin, selain menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas, dia menggunakan teknik peta minda untuk membantunya mengingati fakta penting dalam sesuatu mata pelajaran.

''Saya lebih selesa menggunakan peta minda ketika mengulang kaji pelajaran.

''Oleh kerana menyimpan impian untuk jadi doktor, saya belajar bersungguh-sungguh untuk memenuhi impian itu," katanya.

Rakannya, Megat Mohammad pula mengunakan kaedah belajar mengikut jadual ketika berada di rumah selain selalu memotivasikan diri untuk berjaya.

'''Saya akan belajar mengikut jadual. Tetapi apabila tiba waktu bersenam dan menonton televisyen saya juga beriadah seperti biasa,'' ujarnya.

Dalam pada itu cabaran belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina tidak menghalang Nur Qaisha Nabila Aswandi, 18, untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Nur Qaisha yang belajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa di sini muncul sebagai pelajar tunggal Melayu yang memperoleh 9 1A dalam peperiksaan SPM di sekolah tersebut.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, meskipun aktif dalam sukan sehingga memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Jaring sekolahnya, namun dia tetap mengutamakan pelajaran.

Menurutnya yang merupakan anak seorang peguam, dia melakukan usaha tambahan iaitu belajar dan membaca secara sendirian serta sering bertukar pandangan dengan pelajar Cina di sekolahnya.

"Walaupun belajar dengan pelajar dari bangsa Cina namun mereka tidak pernah meminggirkan saya sebaliknya saling bertukar pendapat," katanya.

Nur Qaisha berkata, kejayaan yang diperolehi itu merupakan hadiah yang setimpal kepada ibunya, Nor Hashimah Mohd. Dali, 35, yang sanggup meletakkan jawatan sebagai Pengurus Kewangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak tiga tahun lalu untuk memastikan dia berjaya.

"Selepas ini saya memilih untuk mengambil jurusan perubatan bagi memenuhi impian saya dan keluarga yang tidak pernah jemu memberi semangat dan mendorong saya ke arah kejayaan," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.