saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 15/03/2009

Tiga anak cemerlang Said Hussain

Pada 19 Februari lalu negara kehilangan pelukis terkenal, Datuk Ibrahim Hussein. Ketokohan beliau dalam bidang seni lukis diakui di peringkat dunia. Ibrahim pernah mengadakan pameran solo di Forum Ekonomi Dunia (WEF), Davos, Switzerland pada 1994. Ibrahim mengabadikan penghargaannya kepada tanah tumpah darahnya dengan mengusahakan Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein (IHMCF) di Langkawi, Kedah. Muzium ini termasuk di dalam kawasan geopark yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Semasa dianugerahkan Tokoh Melayu Terbilang 2007 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke-61 Ibrahim menukilkan sebuah pantun yang dalam maknanya:

Tepak sirih bertekat gangsa,

Buat pinangan si anak dara,

Hidup seni warisan bangsa,

Hidup Melayu UMNO dipelihara.

Nama Ibrahim Hussein akan tetap dikenang bersama trio serangkai bersaudara Abdullah Hussain dan Ismail Hussein. Ketiga-tiga mereka telah mencipta nama bukan sahaja di peringkat nasional bahkan diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Sebagai seorang sasterawan, Abdullah Hussain banyak merakamkan perjalanan suka duka kehidupannya dalam memoirnya yang bersambung-sambung berjudul Sebuah Perjalanan, Perjalanan Mencari Hikmah, Perjalanan Mencari Diri dan Perjalanan Mencari Bahasa. Dalam karya-karyanya ini tersisip pelbagai kisah mereka bertiga.

Keluarga sebelah ibunya berasal dari selatan Burma dan sering berkunjung ke Kedah manakala di sebelah jalur keluarga sebelah ayahnya berasal dari Acheh. Datuk lelaki mereka sebelah ibu bernama Putih tetapi kerana dia kuat dan segak, maka ditambah dengan panggilan Jamal maka jadilah Tuk Teh Jamai mengikut bunyi sebutan orang Kedah. Beliau berasal dari Merbok.

Ayah mereka, Said Hussain berasal dari Meunasah Blang Mee, Kampung Aree, di Kewedanan Sigli daerah Pidie, Aceh. Beliau anak sulung daripada lima orang saudara dan satu-satunya yang merantau meninggalkan kampung. Adik-adiknya Ibrahim, Laksamana, Ubit dan adik bungsu perempuan bernama Mulu.

Daerah Aceh Pidie terkenal sebagai daerah pertanian dan dianggap panas oleh penjajah Belanda. Pegawai Belanda yang tahan lasak mesti sanggup berkhidmat di sini selama sekurang-kurangnya tiga tahun sebagai ambtenaar muda. Jika beliau selamat dalam tempoh itu, maka jadilah dia seorang pentadbir Belanda yang garang di mana-mana daerah di Indonesia. Ujian untuk menjadi pegawai Belanda yang garang mesti diasah di Pidie. Di sini, tentangan orang Aceh terhadap Belanda amat kuat. Ada saja pegawai Belanda yang mati ditikam dengan rencong terutamanya pada bulan puasa. Kepada orang Aceh, inilah waktu terbaik untuk mati syahid.

Ibu Said Hussain bernama Tjoet Poetro (Cut Puteri), satu-satunya ketua kampung wanita di Aceh yang masih tinggal. Pangkat itu diwarisinya daripada suaminya, Geutjik Asjik. ‘Geutjik’ atau ‘keutjik’ dalam bahasa Acheh ialah gelaran kepada ketua kampung. Menurut Abdullah Hussain, beliau tidak pernah bertemu dengan datuknya ini kerana Geutjik Asjik seorang yang suka merantau. Tabiat ini diikuti pula oleh Said Hussain yang apabila muda remaja sudah memperlihatkan sikapnya yang suka merantau. Bahkan inilah amalan pemuda-pemuda di Kampung Aree yang suka merantau mencari pekerjaan sehingga ada yang menyeberang Selat Melaka.

Said Hussain pada awalnya merantau ke Aceh Barat sampai ke Meulaboh dan kemudian ke Aceh Timur sampai ke Langsa. Perniagaan berasnya di Langsa menghantarnya pula hingga ke Pulau Kampai dan dari situlah dia menyeberang ke Kedah lalu sampai ke Sungai Limau yang terdapat ramai orang Aceh membuka kedai jahit dan bersawah padi. Di Sungai Limau Said Husain bertemu dengan beberapa orang kampungnya yang telah menetap di situ termasuklah Tukang Seman, seorang pandai emas dan beberapa orang lagi bernama Nyak Menu, Nyak Ganti dan Nyak Mat. Nyak Hanafi telah berkahwin dengan Tuk Cik Yam, adik bongsu nenek tiga beradik ini dan kemudian dipanggil Tuk Su Hanafi.

Said Hussain mula bekerja menjahit di kedai Tuk Su Hanafi sebelum membuka kedai jahitnya sendiri. Beliau pernah mencuba-cuba nasib berkongsi dengan dua tiga orang kawan membawa masuk bangsawan dengan cara memajak dan bermain di salah sebuah kedai kosong di Sungai Limau. Ada masa mereka untung ada ketikanya rugi. Selepas berkahwin, Said Hussain tinggal sementara waktu bersama mentuanya. Tiga anaknya Abdullah, Abdul Rahman dan Kalthum lahir di situ. Anak sulungnya Abdullah dan adiknya, Abdul Rahman diserahkan untuk jagaan datuk dan nenek mereka.

Abdullah amat manja dengan datuknya yang suka mendodoikannya dan bercerita kepada cucunya ini. Orang lain tidak boleh mendodoikannya. Nenek dan ibunya sering mengusik dengan berkata: “Ah, sedap sangatlah suara tukmu itu, sampai orang lain tak boleh ganti!” Bagi Abdullah memang suara datuknya itu tidaklah semerdu mana tapi orang tua yang sudah tidak bergigi lagi itu banyak keistimewaannya. Dapatlah dikatakan, kebolehan orang tua itu bercerita kemudian diturunkan kepada Abdullah sehingga berjaya menjadi Sasterawan Negara.

Semasa Kecil Abdullah bercita-cita ingin menjadi drebar steam-roller atau menjadi pekedai menjual alat tulis. Menurut Abdullah setiap petang Khamis beliau berbasikal pulang ke Kampung Sungai Limau sejauh 23 km dari Alor Setar. Cita-cita mahu menjadi pekedai kecil timbul kerana Abdullah gemarkan bahan bacaan dan tulisan termasuk buku, pensel dan pen.

Abdullah adalah anak sulung Said Hussain. Menurut cerita ibunya, Abdullah dilahirkan ketika buat pertama kalinya kapal terbang melintas di angkasa kampung mereka. Kisah ini digambarkan oleh Abdullah dalam bukunya Aku Tidak Minta. Orang kampung melihat dengan takjubnya kapal besar diperbuat daripada besi melintas di atas kepala mereka.

Dalam surat beranaknya tertulis tarikh kelahirannya pada 4 Rejab 1338. Kerani paspot Inggeris di Pulau Pinang menulis 25 Mac sebagai tarikh yang sama dengan tarikh Hijrah itu.

Menurut Abdullah, bapanya seorang yang buta huruf. Daripada cerita yang didengarnya ayahnya itu lari dari sekolah setelah memukul gurunya. Entah apa sebabnya tidaklah diketahuinya. Cuma apa yang dia tahu, ayah mereka sangat garang. Semua anak-anaknya amat takut berdepan muka dengannya. “Dia naik ke rumah dari pintu depan, kami turun dari pintu belakang. Abdullah pernah dipukul dan diikat ke pokok cermai hanya kerana mengikut kawan-kawan mandi di sungai. Pantang kalau ayah mereka dapati bahagian tepi kain pelekat berlipat sedikit sahaja, segera diarahnya supaya dicuci kain pelekat itu.

Sungguh pun Said Hussain tidak tahu membaca, tetapi dia mempunyai satu bentuk tulisan dan ejaan jawinya sendiri yang sebagai catatan apabila dia belajar agama. Abdullah sendiri tidak dapat membaca apakah yang ditulis oleh ayahnya dalam buku catatannya. Hanya ayah sendiri yang boleh membaca tulisannya sendiri. Tapi ingatannya cukup kuat dan pendengarannya juga baik sehingga sewaktu dia terbaring sakit ketika di hujung hayatnya.

Said Hussain ingin sangat anaknya dimasukkan ke sekolah Inggeris bersama- sama Abdul Rahman Hashim yang kemudiannya menjadi Ketua Polis Negara yang meninggal dunia akibat tembakan curi. Selepas tamat Darjah 5 di Sekolah Melayu Sungai Limau, Abdullah ke St. Michael Alor Setar antara 1932-33. Kemudian beliau ke Anglo Chinese School di Alor Setar hingga lulus darjah VII pada 1935.

Walaupun Said Hussain garang orangnya, ada ketikanya dia amat mesra dan suka juga bercerita. Kepada Abdullah dia bercerita kisah Malim Dagang, barangkali versi lain Hikayat Malim Deman. Bakat bercerita ayah dan datuknya inilah yang mengalir dalam darah Abdullah sehingga menjadikannya seorang sasterawan.

Bagi Abdullah, Said Hussain termasuk dalam golongan orang yang susah hidupnya. Walaupun dia pandai menjahit tetapi tidak pernah beruntung untuk dapat membuka kedai jahit sendiri. Memang dia pernah ada kedai jahit dan kedai runcit tetapi semuanya terbengkalai di tengah jalan. Lalu, dia melakukan berbagai-bagai pekerjaan termasuklah bersawah dengan memajak tanah orang, menjual daging, makan gaji di kedai jahit kawannya. Semua itu sekadar dapat memberikannya pekerjaan. Sebab itulah Abdullah melihat ibunya membuat kuih untuk dijual di kedai kopi di kampungnya. Ibunya pandai memasak dan membuat sulaman. Oleh itu dia selalu mengajar orang memasak dan bersulam selain mengajar kanak-kanak perempuan mengaji al-Quran.

Abdullah pernah cuba mengubati penyakit ibunya di Pulau Pinang tapi orang tua itu tidak betah meninggalkan rumahnya lama-lama. Abdullah tahu kaedah perubatan cara kampung telah menyebabkan ibunya semakin parah dan tenat. Ibunya kurang yakin dengan perubatan moden. Itu merisaukan Abdullah. Sebab itulah ketika adiknya Ismail menulis surat bertanyakan apakah jurusan yang baik diambilnya di Universiti Malaya, Abdullah mencadangkan supaya Ismail masuk bidang perubatan. Ini kerana Ismail mendapat kepujian dalam mata pelajaran sains, maka dapatlah nanti Ismail berkhidmat kepada orang-orang kampung yang sakit seperti ibunya.

Ismail bersekolah St Michael, Alor Setar, Kedah sebelum berpindah ke Kolej Sultan Abdul Hamid. Semasa di Kolej Sultan Abdul Hamid, Ismail mendapat biasiswa kerajaan negeri dan tinggal di asrama. Ismail sejak kecil terkenal dengan sikapnya yang pendiam dan tidak banyak cakap. Akan tetapi, apabila dia masuk ke sekolah dia tampil sebagai pelajar yang rajin dan pintar.

Beliau masuk Universiti Malaya pada 1955 untuk mengikuti jurusan Pengajian Melayu dan mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama pada tahun 1959 dan Ijazah Sarjana pada tahun 1961. Sejurus tamat pengajian beliau melanjutkan pengajian di Universiti Leiden hingga tahun 1964.

Beliau menjadi pensyarah di Universiti Malaya sejak 1960 dan telah dilantik sebagai Profesor Kesusasteraan Melayu pada tahun 1971. Ismail juga pernah dilantik sebagai Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan kemudiannya sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu dari tahun 1978 hingga 1984. Pada tahun 1987 beliau telah menjadi Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan berkhidmat di sana hingga 1993. Kerana ketokohannya Ismail dilantik menjadi Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) sejak ditubuhkan lagi pada 23 Oktober 1970 dan memegang jawatan itu hingga kini.

Setelah ibu mereka meninggal, Ibrahim, adik lelakinya yang kecil datang tinggal bersama-sama Abdullah di Pulau Pinang. Abdullah memasukkan adiknya ke Anglo-Chinese Continuation School di Jalan Burmah. Ibrahim berulang-alik ke sekolah itu dengan menumpang trolley bus yang lalu tidak jauh dari rumah mereka di Church Street.

Suatu pagi Ibrahim yang mereka semua panggil Im pulang dengan wajah berseri- seri.

“Ada Apa Im?” Tanya Abdullah.

“Lukisan Im dimuat dalam majalah sekolah,” jawabnya sambil menghulurkan majalah sekolahnya kepada Abdullah.

Abdullah melihat lukisan trolley bus dan di bawah gambar itu ada kapsyen nama pelukisnya, Ibrahim Hussein.

“Bagus Im, bagus!” kata Abdullah. “Satu hari nanti Im akan menjadi seorang pelukis terkenal.” Ibrahim pun suka bukan kepalang lagi. Lukisan itu ditunjukkan kepada semua orang di rumah.

Apabila Abdullah ke Sumatera, Ibrahim terpaksa pulang ke Sungai Limau. Keinginannya amat kuat untuk terus bersekolah. Tanpa pengetahuan Said Hussain, Ibrahim telah pergi sendiri berjumpa dengan Pengarah Pelajaran yang ketika itu seorang Pegawai Inggeris. Siapalah yang akan membenarkan budak mentah itu bertemu dengan Pegawai Inggeris berpangkat besar. Ibrahim keras hati. Dia tunggu di pintu pejabat itu sampai orang putih itu keluar untuk pulang ke rumahnya.

Akhirnya Ibrahim diterima masuk ke Sekolah Sultan Badlishah di Kulim.

Selepas meninggalkan alam Ibrahim persekolahan mendapat pendidikan di Akademi Seni Nanyang Singapura pada 1956, Byam Shaw School of Drawing and Painting, London (1959-1963), Royal Academy School London (1963-65) dan American Workshop Venice pada 1970.

Demikianlah sepotong daripada kisah panjang zaman remaja kanak-kanak dan remaja tiga bersaudara Abdullah, Ismail dan Ibrahim Hussein. Mereka kemudian meninggalkan kampung Sungai Limau dan mendewasakan diri sehingga menjadi terkenal. Abdullah selepas menamatkan alam persekolahan memulakan alam pekerjaan sebagai penolong penjaga stor pada sebuah syarikat lombong bijih di Pahang pada 1939. Kemudian beliau berhijrah ke Pulau Pinang membantu penerbitan surat khabar Sahabat. Maka bermulalah perjalanannya sebagai seorang penulis sehingga diangkat menjadi Sasterawan Negara pada 1996.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.