saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 17/03/2009

Ubah UMNO jadi Pekembar


"PERKEMBANGAN dalam UMNO pada masa sekarang 'mencemaskan' dengan pelbagai masalah dalaman." - Khalid Abdullah


PILIHAN Raya Umum Ke-12 (PRU 12) bukan sahaja mengejutkan apabila tiga negeri selain Kelantan jatuh ke tangan pembangkang yang mencetuskan episod baru dalam sejarah politik tanah air.

Kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah dan kejayaan Pas mengekalkan kepimpinan di Kelantan telah menimbulkan persoalan. Apakah negara kini menuju kepada perubahan kepimpinan menerusi 'protes' yang ditunjukkan oleh rakyat?

Bukan sahaja PRU 12 menjadi pengukur kekuatan sebenar BN, malah kekalahan parti pemerintah dalam pilihan raya kecil termasuk di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu mencabar keupayaan sebenar komponen BN khususnya UMNO, MCA, Gerakan dan MIC.

Namun sebagai tunjang, UMNO paling ketara menerima pelbagai persepsi, apatah lagi masalah dalamannya kini menjadi "duri dalam daging" ketika ia bersiap sedia untuk menghadapi pemilihan parti pada 25 dan 26 Mac ini dan dua pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pada 7 April selepas itu.

Selain isu nasional, antaranya kenaikan harga minyak sebelum PRU 12 dikatakan menjadi punca kemarahan rakyat sehingga mereka memilih pembangkang. Perpecahan dalam UMNO turut menjadi punca kekalahan BN. Begitu juga dengan pemilihan UMNO yang bakal dihadapi.

Penyakit dalaman UMNO kini dilihat oleh pemerhati politik semakin serius sehingga memerlukan perubahan secara besar-besaran untuk memastikan ia benar-benar bersih daripada sebarang bentuk kepentingan individu yang boleh menghancurkan parti berkenaan.

Ia turut diakui oleh veteran UMNO yang pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi (MT) suatu ketika dahulu, Tan Sri Khalid Abdulllah, 87. Beliau mempunyai pengalaman luas dan sememangnya masak dengan 'sepak terajang' politik dalam parti berkenaan.

Menurut Khalid, perkembangan dalam UMNO pada masa sekarang 'mencemaskan' dengan pelbagai masalah dalaman. Bukan sahaja di peringkat tertinggi tetapi sudah bermula dari cawangan terutama ketika kempen merebut jawatan.

Ahli-ahli UMNO sanggup 'mencantas' rakan dalam parti semata-mata untuk menjadi pemimpin di peringkat cawangan, bermain politik wang demi agenda diri sendiri walaupun menyedari bahawa pencabarnya lebih berwibawa.

"Dalam UMNO, kadang-kadang tidak boleh lihat orang lain bagus, walaupun diri kita sendiri tidak sehebat mana, kerana mahu jawatan disebabkan mahu kaya, ada yang sanggup berbuat apa sahaja," kata Khalid yang juga bekas Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd. ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, UMNO perlu kekal sebagai wadah perjuangan orang Melayu yang masih relevan sehingga ke hari ini walaupun memerlukan beberapa perubahan drastik bagi menjaga kepentingannya.

Antaranya, nama UMNO itu sendiri perlu diubah agar ia selari dengan kewujudannya sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.

Menurut Khalid, kenapa kita perlu memanggil pertubuhan yang menjaga kepentingan Melayu dengan nama Inggeris iaitu UMNO (United Malay National Organisation).

"Kenapa tidak kita balik kepada nama asal UMNO pada era penubuhannya iaitu Pekembar? Ia ibarat orang Melayu bernama Johan, tetapi kita kini memanggilnya sebagai John? Di mana semangat Melayu?

"Jadi, bagaimana kalau terasnya sudah tidak menampakkan Melayu, kemudian kita mahu perjuangkan tentang hak dan keistimewaan orang Melayu?

"Kalau semangat nasionalisme sudah tiada, timbullah semangat materialisme sebagaimana yang terdapat dalam UMNO sekarang," tegas Khalid.

Selain itu katanya, apabila jadi Pekembar, orang-orang daripada persatuan ulama pun boleh duduk sama-sama dalam parti tersebut untuk membincangkan kedudukan orang Melayu. Jadi, ia sudah tentu relevan kepada semua orang, malah boleh menghidupkan semula UMNO yang kini dalam keadaan nazak sehingga kehilangan banyak kerusi pada pilihan raya yang lalu.

Namun biar seteruk mana sekalipun UMNO, asasnya kukuh kerana tidak ada parti lain yang mampu mengambil alih atau memperjuangkan kepentingan orang Melayu seperti UMNO.

"Cuma UMNO itu perlu dimelayukan semula namanya dan kembali kepada Pekembar," jelas beliau.

Usul Khalid lagi, bagi mengukuhkan landasan perjuangan dan semangat jati diri dalam UMNO, setiap ahli jawatankuasa cawangan dan bahagian dimestikan mengambil kursus ketatanegaraan dengan syarat yang cukup tegas.

"Mereka (ahli-ahli UMNO) di peringkat cawangan dan bahagian perlu hadir kursus ketatanegaraan. Sesiapa sahaja yang tidak hadir sebanyak tiga kali, pecat sahaja daripada UMNO.

"Itu perlu dilakukan biar ahli-ahli di peringkat berkenaan tidak menyertai UMNO hanya kerana sebab lain atau menumpukan perhatian untuk mendapatkan projek sahaja," tambahnya.

Di samping itu, kata Khalid, UMNO dan Pas boleh bergabung sekiranya Pas tidak lagi bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) demi melaksanakan misi kedua-dua parti tersebut.

"Pas mahu mencapai matlamat negara Islam, dan sudah tentu ia akan menjadi lebih mudah bersama dengan UMNO," kata Khalid.

PENULIS ialah Ketua Biro Utusan Malaysia Kedah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:02
Asar 4:25
Maghrib 6:59
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.