saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 23/03/2009

Persembahkan semula UMNO kepada rakyat

SELEPAS beberapa kali membuat penafian mengenai kedudukan Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Pulau Pinang, akhirnya Mohamad Fairus Khairuddin tampil dengan kenyataan bahawa beliau meletak jawatan mulai 8 April ini.

Beliau tidak dipecat. Fairus juga meletak jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) tetapi kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti.

Sebenarnya 'pengunduran' Fairus bukanlah cerita yang menggemparkan kerana sebelum ini sudah ada tanda-tanda bahawa anak muda yang sekampung dengan penulis tetapi dibesarkan di Kuala Lumpur itu tidak serasi dengan jawatannya. Portfolionya pernah bertukar.

Malahan semasa berlangsung Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, sudah terdengar khabar bahawa beliau akan meletak jawatan.

Sebagai anak muda yang baru dalam politik, tiba-tiba menang dan diberi tanggungjawab besar, sudah pasti, beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Maka tidak hairanlah, beliau juga pernah ditegur oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung prestasi kerjanya.

Mungkin meletak jawatan merupakan jalan terbaik bagi Fairus meninggalkan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan DAP-PKR itu.

Namun di peringkat negeri, beban Fairus mungkin sudah berakhir tetapi di peringkat Dewan Undangan Negeri, pengundi-pengundi masih memerlukannya.

Banyak masalah yang memerlukan perhatian dan tindakan beliau misalnya banjir kilat di kampung penulis di Guar Perahu, Bukit Mertajam yang tak pernah selesai sejak Anwar Ibrahim menjadi wakil rakyat BN kemudian isterinya Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR) dan kini sekali lagi Anwar atas tiket PKR.

Sudah letih jiran-jiran penulis di kampung menimba air yang masuk ke dalam rumah setiap kali hujan. Kalau sambil menimba dapat ikan keli atau haruan okey lah juga! Janganlah diabaikan kebajikan penduduk kerana label parti BN, PKR, Pas atau DAP.

Pastinya kerajaan negeri pimpinan DAP-PKR tidak mengamalkan sikap pilih kasih.

Justeru diharapkan dengan peletakan jawatan ini, Fairus lebih dekat dengan pengundi-pengundinya.

Fairus tentunya meletak jawatan secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak terutama dari parti komponen Barisan Nasional (BN). Tidak seperti kekalutan atau kesibukan di kalangan pemimpin pembangkang di Melaka - PKR dan Pas yang tumpang semangkuk mendesak Mohd. Ali Rustam meletak jawatan sebagai Ketua Menteri.

Orang UMNO tak kalut dan tak kecoh tetapi orang PKR pula riuh rendah. Itulah gaya politik pembangkang yang suka mengambil kesempatan menangguk di air keruh. Bak kata orang lebih sudu dari kuah.

Nasib baik Fairus dalam pakatan pembangkang, jika tidak, macam-macam cerita dan persepsi dibuat mengenai peletakan jawatannya.

Selepas ini entah apa pula yang diinginkan pembangkang setelah Perhimpunan Agung UMNO selesai memilih barisan kepimpinan parti yang dimulai dengan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri pada hari Rabu dan diikuti Majlis Tertinggi (MT) termasuk jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden pada Khamis.

Justeru pemilihan kali ini mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan ahli-ahli UMNO dan parti-parti komponen BN tetapi juga mereka yang berada di luar - pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan atau mereka yang di atas pagar.

Oleh itu, para perwakilan yang diamanahkan memilih perlu membuat keputusan yang tepat pada kali ini. Ketepikan kepentingan peribadi atau agenda politik orang tertentu.

Utamakan kepentingan agama, bangsa dan negara. Ingatlah pesan Yang Dipertua UMNO yang pertama, Onn Jaafar bahawa "Melayu hanya boleh selamat apabila kuat dan kuat apabila bersatu padu'' Dan satu lagi ingatan yang dilontarkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Dr. Ismail Abdul Rahman: ''UMNO boleh hancur oleh pergolakan dalamannya sendiri''.

Maknanya UMNO tidak boleh ditumbangkan dari luar sebaliknya yang boleh menghancurkan UMNO ialah percakaran sesama sendiri.

Para perwakilan harus ingat pesan ini dan bertanya pada diri mereka sama ada pada hari ini orang Melayu benar-benar kuat dan bersatu padu dan sama ada UMNO kini tenang tanpa pergolakan?

Janganlah ketika orang lain sedang ghairah mempertikaikan wibawa bangsa Melayu sebagai pribumi, ahli-ahli UMNO ghairah merebut jawatan.

Tidak salah bertanding tetapi biarlah jangan sampai 'menang sorak kampung tergadai' - menang jawatan dalam parti tetapi gagal mempertahankan negeri dan negara pada pilihan raya umum akan datang.

Seperti ingatan Muhyiddin Yassin kepada orang Melayu sebelum ini bahawa keputusan pilihan raya umum lalu meletakkan bangsa dalam 'zon amat bahaya'.

Maka, para perwakilan perlu memikirkan situasi hari ini bagi meremajakan UMNO, menyuntik semangat baru, membariskan kepimpinan bertenaga yang berwibawa yang dapat memberi kekuatan baru kepada parti - pemimpin yang boleh bekerja dan bertanggungjawab, amanah, tidak korup dan sedia berkorban masa dan tenaga.

Jangan menganggap jawatan itu sebagai batu loncatan mengejar kepentingan diri. Jangan melihat UMNO sebagai lombong emas yang boleh memberi kekayaan.

Bersama-samalah mereka membentuk semula sahsiah politik yang sihat dan baik yang bakal membuatkan orang terpegun dan terpesona dengan UMNO yang elok bahasanya, tidak angkuh sehingga mampu menarik orang berpusu-pusu menyertai UMNO.

Bukannya membuatkan orang meluat dan lari meninggalkan UMNO.

Akhirnya kepada 2,509 perwakilan, beranikan diri membuat perubahan untuk kebaikan. Anda semualah yang layak mempersembahkan semula kepada orang Melayu sebuah parti yang bukan sekadar dijenamakan semula tetapi mempunyai jiwa, semangat dan cara bekerja yang lebih bersungguh-sungguh demi kelangsungan bangsa Melayu.

Dan selepas ini, seluruh ahli UMNO perlu bersatu, lupakan sengketa dan jangan biarkan yang menang ambil semuanya. Meminjam pantun Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Zulhasnan Rafique pada majlis ramah mesra dan pertemuan calon-calon MT pada 13 Mac lalu: Dari Kangar ke Kota Kinabalu; Singgah sebentar di Putrajaya; Wahai perwakilan , pintaku satu; Rapatkan barisan, UMNO berjaya. Selamat bersidang!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:59
Zohor 1:21
Asar 4:23
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.