saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 29/03/2009

Laksana kehendak rakyat


NAJIB bersemangat menyampaikan ucapan penerimaan jawatan Presiden UMNO.


ALHAMDULILLAH, dengan izin Allah jua maka persidangan yang diadakan kali ini yang amat bersejarah telah sampai ke penghujungnya.

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua sidang perwakilan yang telah menjalankan tugas dan kewajipan masing-masing, yang telah menyempurnakan persidangan yang amat bersejarah ini dan lebih-lebih lagi yang telah memilih kepimpinan UMNO yang baru untuk meneruskan perjuangan.

Pertamanya, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memenangi jawatan Timbalan Presiden. Saya amat menghargai ucapan beliau tadi, beliau telah memberi pengakuan bahawa akan bersama-sama sebagai rakan setia membantu saya untuk memperkasakan lagi UMNO.

Tan Sri Muhyiddin bukanlah seorang yang asing bagi saya, kami sudah lama dalam Pemuda, boleh bertegur sapa, kalau saya kata Muhyiddin, “You kena senyum lebih sikit, ” dia tidak terasa hati dan saya amat percaya bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai kebolehan dan kemampuan untuk menjadi seorang Timbalan Presiden yang baik.

Saya juga ucap tahniah kepada Naib-Naib Presiden yang baru, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden yang juga tidak asing pada saya, pernah menjadi Setiausaha Politik kepada saya. Saya juga ucap tahniah kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang saya kenali sejak kecil lagi.

Saya juga ucap tahniah kepada Datuk Shafie Apdal yang pertama dari Sabah menang sebagai Naib Presiden dari keturunan Bajau Laut, saya tak kata lanun, saya kata Bajau Laut.

Saya juga ucap tahniah kepada Majlis Tertinggi, sebelum itu tahniah kepada Ketua Wanita baru, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, tahniah kepada Saudara Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda, kepada Datuk Rosnah dan tahniah kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) yang baru terpilih sama ada yang ada di atas (pentas) mahupun ada di bawah. Ada juga yang di bawah dan ada juga di atas.

Saya juga terharu melihat sikap pemimpin-pemimpin UMNO walaupun nasib tidak menyebelahi mereka, sama ada tidak boleh bertanding atau pun tewas di gelanggang tetapi tetap setia pada perjuangan.

Saya memuji sikap Datuk Ali. Saya memuji sikap Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan rakan-rakan lain yang telah bertanding sama ada dalam MT mahupun dalam Wanita, Pemuda dan Puteri.

Kalau kalah atau tak menang bukan bererti perjuangan sudah pun tamat, selagi parti kuat selama itu kita boleh berjuang.

Saudara saudari sekalian, persidangan pada kali ini amat penting kerana persidangan ini merupakan persidangan yang pertama selepas Pilihan Raya Ke-12 yang lalu. Kita perlu mengambil iktibar daripada isyarat yang telah diberikan oleh rakyat, sebab itulah sayalah antara pemimpin yang pertama yang telah mengungkapkan ‘berubah sebelum diubah’ dan ‘berubah sebelum kita rebah’.

Saya tetap yakin bahawa UMNO adalah sebuah parti yang merupakan pilihan utama orang-orang Melayu.

Mereka tidak menolak UMNO sebenarnya mereka mahu UMNO berubah. Dan sebab itulah saya mengucap terima kasih kepada sidang perwakilan yang telah memberikan kepada saya saf kepimpinan yang mampu, mampu bukan membawa perubahan tetapi membuat perubahan yang besar kepada parti dan kerajaan.

Saya telah menggariskan dalam ucapan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri bahawasanya bagilah, safkanlah, barisankanlah kepada saya kepimpinan yang ampuh dan padu.

Saya telah merayu pada sidang perwakilan untuk memberi dan menekankan empat nilai atau ciri yang amat penting dalam kepimpinan dan ini ada banyak persamaan dengan Rukun Perjuangan yang telah dihuraikan oleh YAB Pak Lah kita sebentar tadi.

Saya telah menegaskan empat cirinya iaitu bersetia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi. Insya-Allah empat ciri ini boleh dijadikan panduan bukan sahaja kepada pemimpin-pemimpin yang berada di atas tetapi peringkat akar umbi dalam struktur kepimpinan dalam parti yang kita kasihi ini.

Saudara dan saudari sekalian, dalam soal perubahan, saya telah memberi pengakuan bahawasanya persidangan akan datang merupakan persidangan khas untuk meminda Perlembagaan UMNO. Di antara perkara yang kita akan pinda ialah untuk menjadikan proses pemilihan dalam UMNO ini lebih terbuka, telus dan demokratik.

Pada masa ini kepimpinan tertinggi UMNO ditentukan oleh hanya lebih kurang 2,600 ahli UMNO sahaja. Ahli-ahli UMNO yang bersidang mewakili tiga juta ahli UMNO. Banyak yang berpendapat bilangan itu tidak mungkin mencerminkan kehendak dan aspirasi tiga juta ahli UMNO.

Ada juga yang khuatir jumlah yang kecil ini boleh bukan sahaja nama sahaja mereka kita hafal, muka kita ingat dan nombor telefon pun kita tahu. Salam pun ada. Ada yang kata, salam SK (salam kosong) dan ada yang kata salam SI (salam isi). Oleh kerana kita perlu sedar bahawa imej UMNO yang bersih itu.

Proses pemilihan UMNO yang berintegriti adalah jalinan kelangsungan kuasa kita sebagai parti yang berdaulat. Selagi proses ini tercemar, selama itulah orang akan hilang kepercayaan kepada UMNO.

Oleh itu, bukan sahaja untuk menjamin perkara ini tetapi untuk menjaga pemimpin-pemimpin kita juga. Bukan kita salahkan pemimpin, kadang-kadang kita rasa, tak beri kalah, beri salah. Pemimpin dalam keadaan sedemikian. Jadi kita mesti jaga juga. Jangan kita korbankan pemimpin.

Oleh itu, pada masa akan datang pemilihan UMNO akan dibuat serentak di 191 bahagian UMNO. Dalam zaman teknologi moden ini kita boleh bina prasarananya. Biarlah 60,000 ahli UMNO memilih pemimpin-pemimpin UMNO masa depan.

Biarlah kita benar-benar merupakan pemimpin akar umbi. Pemimpin menjadi pemimpin atas nama suara rakyat dan suara ahli. Oleh itu, dengan persetujuan sidang perwakilan, kita kena pinda Perlembagaan UMNO. Perwakilan setuju?

Kali ini juga, seperti yang disebutkan oleh Pak Lah dalam ucapan persidangan perasmiannya, kami berdua ada pemikiran yang sama iaitu sudah sampai masanya perubahan ini dilakukan.

Apa lagi yang harus kita ubah? Kuota untuk jawatan perlu diubah. Saya mulakan dengan jawatan presiden parti. Saya tidak mahu berselindung di belakang kuota untuk menjadi Presiden UMNO. Pada masa sekarang ini untuk menjadi presiden perlu pencalonan daripada 58 bahagian. Tak mungkin boleh dapat 58 bahagian, tak mungkin!

Untuk jadi calon Naib Presiden perlu ada 20 pencalonan. Kalaulah kebetulan, dapat 19 sahaja, melilau nak cari lagi satu itu. Saya tidak sebut menyelinap. Nak dapat satu lagi itu, kalau tidak, kita tidak boleh bertanding kerana tak cukup kuota.

Ini boleh menimbulkan pelbagai tuduhan sama ada realiti atau persepsi. Oleh itu, kuota kita akan kaji semula. Kita akan tentukan syarat kelayakan yang paling minimum supaya jangan ada pula jokers (badut) yang hendak bertanding.

Begitu juga, janganlah sampai untuk jawatan presiden perlu ada 58 bahagian. (Sebaliknya) saya hanya rela menjadi presiden kalau ahli UMNO menyokong saya sebenarnya.

Jadi, perkara-perkara lain kita akan semak dan sebuah jawatankuasa khas akan kita ditubuhkan dan mengadakan perbincangan dengan bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara.

Kita akan dapat pendapat, cadangan daripada bahagian kemudian MT akan rumuskan dan membuat cadangan.

Persidangan tahun ini adalah persidangan tahun sudah. Jadi kita kena bersidang sekali lagi. Jadi marilah kita gunakan kesempatan itu untuk meminda Perlembagaan UMNO supaya UMNO menjadi parti yang lebih dihormati oleh rakyat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Melihat pada perbahasan yang berlangsung, banyak yang berminat tentang konsep parti menguasai kerajaan. Saya fikir kalau kita sebut parti, pasti kerajaan, kita ada dua komponen, apa dia? Parti dan kerajaan.

Saya nak masukkan satu lagi komponen, apa dia? Rakyat, parti dan kerajaan. Sebab apa? Sebab tidak ada gunanya kita ada jawatan dalam parti kalau parti tidak berkuasa. Oleh itu, parti mesti tahu aspirasi dan denyutan nadi rakyat. Betul tidak?

Parti sudah tahu denyutan hati rakyat maka parti terjemahkan dalam bentuk dasar dan tindakan oleh kerajaan, apabila kerajaan dikuasai oleh parti melaksanakan kehendak rakyat, masa itu segala akan jadi parti yang gagah perkasa dan akan terus melangsungkan pemerintahan kita maknanya UMNO parti yang berkuasa.

Jadi bila orang luar dengar parti menguasai kerajaan, kita tambah rakyat, parti kerajaan. Jadi insya-Allah ini adalah ramuan yang terbaik bagi kita untuk kita melangsungkan kuasa kita, ini lima negeri dah kalah ni, dapat satu balik, itu pun masih dipertikaikan. Bila lagi kita nak sedar, dah sedar tak?

Dah sedar, jadi dah sedar, turunlah maruah, mesra dengan rakyat, berkhidmat pada rakyat, bukan saya yang penting, saya pernah dengar orang kata maruah saya, sebenarnya bukan maruah saya, maruah parti, itu yang mesti kita ingat.

Saudara saudari sekalian, saya juga telah mengikuti perbincangan dalam persidangan ini dan banyak juga perkara-perkara yang telah dilontarkan, wakil daripada Tawau minta supaya agenda Islam jangan ditinggalkan, bukan ditinggalkan sebaliknya kita akan membawa agenda mendaulatkan agama Islam ini akan sentiasa ditingkatkan pada semua sudut rohani, ekonomi, sosial mahupun budaya hidup.

Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya, jadi usaha UMNO untuk mengembangkan syiar Islam tidak akan pernah kunjung padam, kita akan teruskan perjuangan untuk mendaulatkan agama Islam.

Saudara Saudari sekalian.

Wakil dari Bukit Mertajam mengingatkan kepada kita supaya usaha memartabatkan bangsa Melayu mesti diunggulkan. Agenda ini kita akan teruskan mobiliti sosial secara menegak telah berlaku dalam masyarakat kita hanya dalam tempoh satu generasi sahaja.

Hasilnya anak-anak nelayan, anak-anak penoreh getah, anak-anak buruh, pesawah, peneroka telah diangkat martabat dan telah dapat jawatan dan pekerjaan yang tinggi dalam tempoh masa satu generasi sahaja hasil perjuangan UMNO.

Insya-Allah perkara ini kita akan teruskan dengan usaha yang lebih gigih lagi termasuk memberi pertimbangan dan mengambil berat kepada pendidikan awal kanak-kanak kerana ini adalah asas orang Melayu boleh bersaing di masa hadapan.

Ke hadapan tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Kita juga jangan lupa bahawa kita adalah ketua kepada rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN). Apa yang telah diusahakan oleh pemimpin-pemimpin selama ini atas permuafakatan kaum ini, kita akan teruskan, kita harap juga pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional akan faham juga dalam kita menjaga perasaan mereka, mereka juga mesti menjaga perasaan orang-orang Melayu.

Saudara saudari sekalian. Fitnah adalah racun berbisa menghancur bangsa, Yang Amat Berhormat Pak Lah telah sebut beberapa kali tentang soal fitnah ini, dan akhir-akhir ini fitnah disembur dan dilempar merata-rata dengan niat penuh nista, sesungguhnya fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh.

Selalu kini kepada yang berdiam tidak melatah di anggap sudah sah melakukan dosa, kepada pemfitnah-pemfitnah yang bermaharajalela pula dianggap benar sebagai pejuang nusa, lihatlah Firman Allah SWT yang bermaksud:

‘‘Katakanlah telah datang kebenaran dan telah lenyap yang batil, sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap.’’

Oleh itu janganlah keadilan itu ada dua standard, satu untuk kerajaan dan satu untuk pembangkang jika mana-mana pembangkang dituduh dibawa ke mahkamah, kata pembangkang hakim tidak adil, didakwa menganiaya.

Kes pun tidak betul, kalau mana-mana tokoh kerajaan bukan sahaja dituduh, belum apa-apa sudah dianggap bersalah oleh mereka. Bukti yang tidak ada dicipta-ciptakan, gambar yang tidak ada diwujud-wujudkan malah saksi yang tidak betul diupah-upahkan.

Justeru itu jika beginilah tafsiran kebenaran dan keadilan dari kaca mata pembangkang maka ia adalah lebih buruk daripada undang-undang rimba, tiada siapa yang akan selamat dari undang-undang sebegini, para kelicikan, para pembohongan yang dahsyat bohong kosong boleh melompong.

Yang peliknya ada orang itu suatu ketika dahulu pernah duduk dalam kerajaan, tapi kini bila sudah menjadi pembangkang tiba-tiba dianggap bersih seperti malaikat, putih bersih seperti bayi yang baru lahir, hakikatnya saya dan kita semua tahu siapa dia sebenarnya.

Saudara saudari sekalian.

Persidangan kita pada kali ini merupakan satu persidangan yang bukan sahaja bersejarah tapi merupakan satu persidangan yang menyayat hati kerana kita mengucapkan selamat tinggal pada Presiden parti kita selama lima tahun menjadi Presiden parti.

Ramai yang tidak tahu bahawa Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan saya mempunyai hubungan yang telah terjalin sekian lama bermula dari zaman Allahyarham ayahanda saya lagi.

Saya berasa amat-amat terharu sebenarnya, kerana Yang Amat Berhormat Pak Lah telah memberi laluan yang mudah kepada saya untuk mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan.

Saya tahu bukan senang nak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri. Nak lepaskan jawatan ketua UMNO bahagian pun susah, nak lepaskan jawatan ketua UMNO cawangan pun susah. Inikan pula jawatan tertinggi dalam parti dan kerajaan.

Pak Lah membuat keputusan ini (lepaskan jawatan) dengan cara begitu baik sekali di mana Pak Lah telah berunding dengan saya dengan saya banyak kali dan tiap kali berjam-jam lamanya.

Orang tidak tahu perkara ini dan saya tidak pernah cakap tentang perkara ini. Saya amat terharu dengan Pak Lah yang membuat proses itu amat mesra dan penuh dengan perasaan kemanusiaan dan personal (peribadi) sifatnya sehinggakan Pak Lah sebelum saya datang, dia boleh berbincang dengan Datin Seri Jeanne Abdullah agak-agaknya Najib ini suka makan apa.

Pak Lah tahu apa saya suka dan yang saya sukalah itu yang dihidangkan. Bila masa proses peralihan kuasa berlaku, ia dilakukan secara tersusun dan amat tertib serta penuh dengan harmoni. Tradisi UMNO telah kembali semula.

Tradisi yang kita pertahankan sekian lama sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj lagi. Bila Tun Dr. Mahathir serah kepada Datuk Seri Abdullah ia dibuat ketika Perhimpunan Agung UMNO dan kini Pak Lah serah kepada saya pun dalam Perhimpunan Agung UMNO yang penuh dengan ketertiban, tradisi dan sebagainya.

Saya sebenarnya pernah ungkapkan satu rahsia peribadi waktu Pergerakan Pemuda UMNO buat Seminar Tun Abdul Razak dan saya zahirkan satu rahsia peribadi dan saya nak ulang balik dalam persidangan ini bahawa Pak Lah pernah sebut, dia cakap dengan saya dalam bahasa Inggeris, dia kata berkenaan Allahyarham Tun Abdul Razak.

Kata Pak Lah: You are his biological son and i am his political son. Pak Lah menyebut kepada saya bahawa saya anak Tun Abdul Razak dan dia anak didik Tun Abdul Razak.

Pak Lah dalam perbincangan ini juga turut menyatakan kepada saya tiga perkara dan saya nak berkongsi dengan perwakilan.

Pertamanya, dia kata: I want to see you succeed, dia nak lihat saya berjaya jadi katanya buatlah yang terbaik dan dia akan sokong.

Kedua, dia kata: ‘‘Saya tidak akan kritik, I will not criticise you in public” dan ketiga “Saya sanggup beri nasihat dan pandangan saya pada bila-bila masa.’’

Pak Lah, saya amat menghargai, amat-amat menghargai apa yang dinyatakan oleh beliau secara peribadi kepada saya. Saya akan kenang sampai bila-bila, kekanda saya dalam politik. YAB Pak Lah terpahat dalam hati saya.

Saya juga berasa begitu bangga pada hari ini bahawa seorang lagi negarawan kita, Tun Dr. Mahathir ada dalam persidangan. Saya nak cuba mentafsir kehadiran dia, tapi saya percaya dalam hati kecil beliau, dalam darah beliau adalah darah UMNO.

Saya ada harapan ialah bersama-sama dua negarawan iaitu Datuk Seri Abdullah dan Tun Dr. Mahathir bersama berbincang masalah dan masa depan parti dan negara.

Walaupun mungkin pertemuan pertama kekok sedikit agaknya, tetapi lama-kelamaan kemesraan akan terjalin, insya-Allah. yang penting bukan perasaan diri tetapi yang penting ialah masa depan UMNO dan negara kita.

Insya-Allah, kalau pemimpin seperti negarawan tunjuk teladan yang baik, kita boleh rapatkan barisan dan yang di bawah boleh ikut bersama dan terus mendapat inspirasi dari isyarat-isyarat dari negarawan-negarawan kita.

Insya-Allah, kita akan menghadapi banyak cabaran tapi kalau pemimpin-pemimpin, negarawan kita bersama-sama mendokong perjuangan kita, bersama-sama melahirkan ideanya, bersama-sama tidak mengkritik secara terbuka tetapi berfikir secara baik, secara dalaman kerana parti inilah yang pernah berjasa kepada kita, kepada ahli UMNO dan juga negarawan-negarawan kita.

Sudah sampai masanya bila kita jadi pemimpin, ahli-ahli setia kepada kita bila kita sudah bersara, kita pertahankan parti yang pernah berjasa kepada kita.

Ini prinsip yang saya pegang dan saya percaya kita boleh jadikan perkara ini satu kenyataan. Inilah juga kehendak para perwakilan.

Kepada para perwakilan, semboyan telah dibunyikan, bingkaslah bangun, bangunkan hati rakyat, kibarkan panji-panji perjuangan demi untung nasib rakyat Malaysia.

UMNO akan diperkasa, UMNO akan didaulatkan dan Insya-Allah, perjuangan kita akan berjaya. Terima kasih.

Wabillahitaufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.