saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 29/03/2009

Wanita UMNO corakkan politik negara

RABU lalu dalam pemilihan UMNO di PWTC, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dipilih menjadi Ketua Wanita UMNO yang baru menggantikan Tan Sri Rafidah Aziz. Gelora pemilihan sayap wanita dalam UMNO ini begitu terasa apabila Shahrizat menawarkan diri menentang Rafidah pada kali ini.

Suatu yang menarik barangkali bukanlah percaturan politik siapa menang dan siapa yang tewas dalam pemilihan Wanita kali ini. Semua ini adalah kelangsungan meletakkan wanita sebagai barisan kepimpinan politik negara yang dirintis oleh generasi perjuang wanita Melayu terdahulu pada zaman penjajah.

Sama ada Shahrizat atau Rafidah, kedua-duanya adalah antara wanita Melayu yang meneruskan semangat perjuang silam yang menggunakan pentas politik untuk kepentingan negara dan juga orang-orang Melayu. Maka menang dan kalah bukan lagi suatu yang boleh meruntuhkan satu perjalanan panjang sejarah penglibatan wanita Melayu dalam perjuangan politik.

Di sebalik keriuhan pemilihan UMNO kali ini khususnya Wanita, elok juga kalau sejarah perjuangan wanita Melayu yakni UMNO dilihat secara retrospektif. Tujuannya supaya dalam keghairahan menonjol profil pemimpin terkini, kita tidak terputus daripada akar sejarah yang awal, perit pedih yang dilalui dan rintangan yang terpaksa ditempuhi oleh generasi pejuang politik wanita dahulu.

Rafidah mencatat sejarah sebagai Ketua Wanita UMNO yang paling lama mengekalkan kedudukan di kerusi nombor satu. Beliau memimpin pergerakan mulai 1984 hingga 1996. Ditewaskan oleh Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman pada 1996. Bagaimana pun Zaharah kecundang selepas 1999 dan Rafidah sekali lagi dipilih memimpin Wanita UMNO hingga pemilihan pada Rabu lalu.

Hari ini kedudukan wanita dalam politik dan sosial dianggap "berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah" dengan kaum lelaki. Perubahan sosial dalam masyarakat telah meluaskan laluan untuk wanita menyumbangkan bakti mereka dalam politik yang dulunya didominasi oleh lelaki.

Kedudukan wanita dalam politik Melayu pada relatifnya masih baru. Sebelum gerakan kebangkitan orang Melayu secara besar-besaran menentang gagasan Malayan Union tahun 1945, wanita Melayu lebih kepada kerja-kerja kebajikan tetapi bukan dalam politik. Tetapi Malayan Union juga yang mengubah persepsi terhadap politik kaum wanita Melayu ketika itu. Wanita juga bangun menentang Malayan Union.

Walaupun masih tebal dibelenggu tradisi yang menghalang penglibatan kaum wanita dalam sosial, keterbukaan yang berlaku sedikit demi sedikit mulai terasa selepas 1945. Wanita Melayu terpaksa berdepan dengan prejudis khususnya daripada masyarakat yang menganggap mereka hanya layak di dapur.

Wanita Melayu seolah-olah tidak diberi peluang untuk melangkah ke "ruang tamu" bercakap soal-soal yang lebih besar mengenai bangsa dan negara. Bagaimana pun atas kesedaran politik untuk memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah, Jabatan Kaum Ibu UMNO telah ditubuhkan pada 1947. Semua ini adalah kelangsungan daripada pertemuan tiga tokoh wanita, Putih Mariah Ibrahim Rashid dari Persatuan Melayu Perak, Zainab Abdul Rahman (Persatuan Melayu Seberang Perai) dan Saleha Ali (Persatuan Melayu Selangor) mengenai penubuhan sebuah pergerakan wanita Melayu.

Jabatan Kaum Ibu yang ditubuhkan pada 1947 adalah sejarah baru penglibatan wanita Melayu dalam perjuangan politik negara ini. Dalam kekangan sosio-budaya yang kelihatan menutup peluang untuk wanita menyumbang dalam politik, Jabatan Kaum Ibu membuktikan wanita bukan lagi "di dapur" tetapi turut berjuang di tengah gelanggang malah di perbatasan tanah air.

Mariah pula mencatat sejarah sebagai pemimpin pergerakan wanita Melayu pertama apabila diberi kepercayaan menjadi ketua Jabatan Kaum Ibu yang pertama.

Pada perhimpunan agung wakil wanita di Butterworth 25 Ogos 1949, wakil-wakil dari bahagian UMNO menubuhkan Ahli Perempuan UMNO (APU) dan Putih Mariah sebagai ketuanya.

Antara yang menyumbangkan perubahan kepada APU adalah nasionalis Tan Sri Zainun Sulaiman atau Ibu Zain yang mepimpin APU pada 1950 hingga 1953. Pada era Ibu Zain, APU melipatgandakan usaha untuk menambah keahlian serta cawangan-cawangan. Walaupun tempuh kepimpinannya singkat tetapi Ibu Zain telah melakukan anjakan yang besar untuk memberi kefahaman tentang politik kepada golongan wanita di luar bandar.

Ketika ini perjuangan politik Melayu apa lagi wanita penuh dengan ranjau dan duri. Antara suara mempelekeh dan tidak kurang prejudis dengan kebangkitan wanita dalam politik sebenarnya menjadi pemangkin pertubuhan politik wanita ini bergerak.

Selepas Ibu Zain menghadapi masalah kesihatan pada 1954, teraju kepimpinan diamanahkan kepada Khatijah Sidek. Pergolakan berlaku dalam pergerakan itu pada 1956, Khatijah diberhentikan dan diganti oleh Tan Sri Fatimah Hashim.

Sekali lagi nama pergerakan ini ditukar daripada APU menjadi Pergerakan Kaum Ibu UMNO. Fatimah telah dipilih menjadi ketua pergerakan ini pada perhimpunan agung UMNO 1957 hingga 1972.

Nama Fatimah hampir sinonim dengan Wanita UMNO kerana memimpin hampir 12 tahun. Begitu juga dengan Tan Sri Aishah Ghani yang memimpin Wanita UMNO mulai 1972 hingga 1984. Aishah diingati sebagai wanita pertama yang dilantik menjadi Senator dan wanita kedua menjadi menteri. Selain menjalankan tugas sebagai ketua Wanita UMNO, Aishah diingati sebagai Menteri Kebajikan yang paling berjaya.

Aishah telah mengubah stigma bahawa Kementerian Kebajikan daripada kementerian yang bukan utama menjadi kementerian yang menjadi sebutan ramai.

Sifat keibuan Aishah antara resipi kejayaan dalam kepimpinan. Semasa menjadi Menteri Kebajikan, Aishah antara yang begitu kuat berjuang untuk mengubah kedudukan ekonomi golongan wanita. Beliau menjadi idola sekaligus pencetus untuk menyakinkan di negara ini wanita boleh berjaya seperti lelaki.

Wanita UMNO bertuah apabila Aishah diganti oleh Rafidah seorang tokoh akademik dalam bidang ekonomi menjadi ketua pada 1984. Rafidah banyak menganjak Wanita UMNO sepanjang kepimpinan beliau dan ternyata jangka masa beliau memegang tampuk kepimpinan Wanita, Rafidah telah melakukan yang terbaik kepada kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Maka pemimpin Wanita UMNO masa kini tidak harus terputus daripada semangat dan matlamat perjuangan pemimpin terdahulu. Walaupun jawatan dalam Wanita UMNO kini menjadi rebutan tetapi rakyat memerlukan kepimpinan yang boleh membawa perubahan ekonomi dan pemikiran.

Menoleh sejarah tidak ada ruginya. Ini kerana kejayaan masa depan tidak pernah terputus daripada kegemilangan masa silam. Kedua-dua zaman ini saling berkait dan yang perlu mengaitkannya ialah pemimpin generasi masa kini terhadap sejarah lampau.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.