saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 29/03/2009

Bermulanya zaman penyatuan

PADA pukul 11.31 pagi semalam, para perwakilan UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) khusyuk mendengar para pemimpin kanan parti itu membuat ucapan penggulungan.

Ketika Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sedang berucap di Dewan Merdeka, bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad berada di kediamannya di pinggir Kuala Lumpur.

Dr. Mahathir, Perdana Menteri selama 22 tahun antara 1981 dan 2003, memanggil seorang pembantunya. Beliau bertanya, pukul berapa Presiden baru UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat ucapan penerimaan jawatan Presiden UMNO pada perhimpunan tersebut.

Pembantunya membuat semakan dengan kenalannya di PWTC dan memberitahu bekas Perdana Menteri itu bahawa Najib akan berucap kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Dalam satu respons yang mengejutkan tetapi mencerminkan kerinduan kepada parti politik yang pernah dianggotainya sejak 1946, Dr. Mahathir, 84, tiba-tiba menyatakan beliau ingin ke Dewan Merdeka, PWTC untuk mendengar sendiri ucapan sulung Najib selaku Presiden UMNO.

Dengan berpakaian kasual, beliau yang sejak beberapa tahun lalu lantang mengkritik kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi – yang semalam merupakan hari terakhirnya sebagai Presiden UMNO – bergegas ke PWTC.

Dr. Mahathir dan isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali masuk ke Dewan Merdeka pada pukul 12.30 tengah hari sewaktu Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapannya yang antara lain menegaskan UMNO merupakan sebuah parti politik yang penuh tradisi.

“UMNO ialah parti massa, UMNO bukan parti elitis,” isytihar Muhyiddin, yang dengan penuh kejujuran menyatakan kesetiaannya kepada Najib dan juga menyeru semua orang Melayu “supaya bersatu bersama-sama UMNO demi masa depan anak cucu kita.”

Ketika itulah Dewan Merdeka tiba-tiba riuh rendah kerana orang mula berbisik dan para perwakilan kemudian bangun berdiri menyambut kehadiran Dr. Mahathir yang mengambil tempat duduk di kerusi pemerhati dalam dewan itu. Di belakang Dr. Mahathir, duduk Datuk Seri Nazir Tun Razak, adik Presiden baru UMNO.

Apabila Muhyiddin menyedari suasana yang tiba-tiba berubah itu, nadanya berubah daripada bersahaja menjadi girang dan bersemangat. Senyuman manis tersimpul pada wajahnya kerana beliau tahu betapa hebatnya nilai politik langkah Dr. Mahathir itu.

Muhyiddin mengumumkan mengenai kehadiran Dr. Mahathir dan tanpa bertanya pun kepada bekas Perdana Menteri itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu membayangkan kepada 2,509 perwakilan UMNO bahawa “Tun akan masuk (semula) UMNO secara rasmi hari ini.”

Dalam bingit tepukan gemuruh para perwakilan UMNO, beliau meneruskan ucapannya: “Kedatangan Tun ini adalah satu endorsement kepada kepimpinan Datuk Seri Najib.”

Semalam secara rasmi Najib memulakan tugasnya sebagai Presiden UMNO ketujuh menggantikan Abdullah, 69, yang mengemudi UMNO sejak lima tahun lalu.

Sejak melepaskan jawatan Perdana Menteri pada Oktober 2003 kepada Abdullah, Dr. Mahathir menjadi pengkritik Abdullah yang paling lantang, iaitu orang yang diangkatnya menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Antara faktor kemenangan besar Abdullah pada pilihan raya umum 2004 adalah kerana rakyat terpesona dengan peralihan kuasa yang lancar antara beliau dan Dr. Mahathir.

Namun, ekoran beberapa percanggahan pendapat daripada pembinaan jambatan bengkok di Selat Tebrau, penjualan subsidiari Proton, M.V. Agusta, hinggalah kepada apa yang dipanggil pengaruh ‘budak-budak Tingkat Empat’, kritikan-kritikan Dr. Mahathir yang pedas dan tajam mengenai pelbagai isu telah menjejaskan UMNO, kerajaan dan imej Abdullah sendiri.

Dalam menghadapi serangan itu, pagar-pagar politik telah dibina oleh sesetengah pihak dalam UMNO dan kerajaan, kebanyakannya oleh sekutu rapat Abdullah, untuk menghalang pandangan-pandangan Dr. Mahathir daripada mempengaruhi agenda kerajaan.

Zamannya telah berlalu, perli mereka. Itulah pendirian sesetengah pihak termasuk beberapa ahli Majlis Tertinggi UMNO yang sempat bersalaman dengan Dr. Mahathir ketika bekas Perdana Menteri itu naik ke pentas Dewan Merdeka petang semalam.

UMNO dan Barisan Nasional merasai kesan dahsyat ekoran perbezaan pendapat antara Dr. Mahathir dan Abdullah yang impaknya dicerminkan dalam keputusan pilihan raya umum Mac 2008 yang menyaksikan BN kehilangan kuasa di lima buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Kelantan pula -- yang terlepas ke tangan Pas pada tahun 1990 ekoran perpecahan orang Melayu dan UMNO akibat persengketaan antara Dr. Mahathir dan kem Tengku Razaleigh Hamzah – masih kekal di bawah dominasi Pas sehingga sekarang.

Sesetengah orang mungkin tidak menyenangi Dr. Mahathir, tetapi dalam percaturan politik Malaysia, pandangannya menjadi pengukur penerimaan rakyat terhadap UMNO. Beliau menjadi seperti satu magnet yang membangkitkan enigma.

Jika beliau berasa jauh hati dengan UMNO, akan ramai penyokong dan berjuta-juta generasi muda yang membesar di bawah pemerintahannya yang panjang mungkin turut menganggap UMNO sebagai musuh.

Najib sendiri menyedari betapa di bawah kepimpinannya UMNO perlu menggerakkan agenda penyatuan dan mengembalikan parti itu sebagai sebuah gerakan yang berpadu.

Kepadanya, UMNO tidak boleh bergerak seperti sebelum ini, ia perlu ditransformasikan. Persepsi negatif terhadap UMNO yang sudah menjadi suatu kepercayaan merupakan musuh utama UMNO. Beliau mencabar ahli-ahli UMNO: Berubah sebelum diubah, berubah sebelum rebah.

Zaman kepimpinan Najib, seperti yang terpancar daripada mesej ucapan penerimaan jawatan Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO, seharusnya menjadi era UMNO dan Barisan Nasional menyatukan orang Melayu dan kaum-kaum lain.

Beliau tangkas menyatakan rasa terhutang budinya kepada Abdullah yang disifatkannya sebagai kekanda dalam perjuangan dan rakan dalam perjalanan. “bahkan Pak Lah pernah menyebut kepada saya bahawa saya ialah anak kandung Tun Razak, sedangkan dia adalah anak didik politik Allahyarham.”

Najib menghargai tiga komitmen Abdullah kepadanya iaitu untuk melihat dirinya berjaya, tidak akan mengkritiknya secara terbuka serta “sanggup memberi nasihat dan pandangan pada bila-bila masa.”

Kemunculan Dr. Mahathir ke Perhimpunan Agung UMNO pula umpama intan yang datang melayang ke pangkuan Najib. Ketika berucap, dalam nada sebak Najib cuba mentafsir petanda kehadiran Dr. Mahathir ke Dewan Merdeka semalam. “Hati kecil dan darah beliau adalah darah UMNO,” simpulnya.

Sebagaimana peranan Allahyarham Tun Razak yang menyatukan perbezaan politik, menyejukkan suhu perkauman, menghapuskan prasangka di Malaysia selepas Tragedi 13 Mei 1969 yang hampir-hampir menguburkan UMNO dan Perikatan, Najib mengambil alih kepimpinan UMNO dengan impian yang amat besar.

Buat permulaan, salah satu fokus Najib adalah untuk menyatukan Dr. Mahathir dan Abdullah supaya beliau “bersama-sama dengan dua negarawan itu dapat berbincang tentang masalah parti dan negara.”

Usiknya, pertemuan pertama antara Dr. Mahathir dan Abdullah tentulah kekok tetapi beliau percaya lama kelamaan kemesraan pasti akan terjalin dan memberi inspirasi kepada ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia untuk bertaut.

Buat pertama kali selepas lima tahun, semalam Dr. Mahathir bersalaman dan berpegangan tangan dengan Abdullah dalam satu acara anjuran UMNO.

Apakah bentuk peranan Dr. Mahathir dan Abdullah dalam UMNO dan kerajaan pada masa depan masih tidak jelas. Najib tidak pula memperincikannya.

Berkhidmat kepada rakyat menjadi motto politik Najib sejak beliau mula bertanding di Parlimen Pekan pada 1976 selepas kembalinya Tun Razak ke Rahmatullah.

Ucapan penerimaan jawatan Presiden UMNO semalam adalah refleksi mesej Najib. Presiden baru UMNO itu memberi dimensi segar kepada konsep parti menguasai kerajaan dengan menegaskan komponen sokongan rakyat amat mustahak. Kehendak, kemahuan dan denyut hati rakyat perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan program oleh kerajaan dan parti.

Melahirkan UMNO yang berintegriti, memperkukuhkan imej parti, memimpin UMNO yang bebas rasuah politik, membuka ruang yang lebih luas kepada proses demokrasi dalam parti dan memacu UMNO ke arah kemenangan besar dalam pilihan raya umum ke-13 kini menjadi objektifnya.

Dalam perjalanan politiknya yang panjang selama 33 tahun dalam politik UMNO dan kerajaan, Najib, 56, memang seorang ahli politik yang amat bersinar takdirnya. Keistimewaannya ialah beliau sentiasa dibantu oleh orang yang pernah terhutang budi dengan Allahyarham bapanya.

Dalam satu temu bual pada tahun 1993 ketika kali pertama beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, Najib yang ketika itu berusia 40 tahun telah pun jelas tentang langkah politik yang beliau akan lalui.

“Falsafah saya,” kata Najib, “ialah saya naik dalam politik ikut mata tangga.”

Legasi Allahyarham bapanya banyak menyumbang kepada kebangkitan perlahan-lahan Najib – langkah demi langkah, satu demi satu, setapak demi setapak – dalam politik Malaysia. Ada darah kesabaran Tun Razak dalam tubuhnya. Kerana itulah beliau berada pada kedudukan sekarang sebagai Presiden UMNO dan beberapa hari lagi sebagai Perdana Menteri.

Dr. Mahathir dan Abdullah, dua tokoh yang rapat dengan Allahyarham Tun Razak, ialah dua bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang selama ini memberi peluang yang terbuka kepada Najib untuk mendaki tangga kekuasaan dari bawah sehingga ke puncak.

Jika kena caranya dan lancar tanpa sebarang gangguan, dua nama besar dalam politik Malaysia itu akan berpadu kembali, melupakan perselisihan masing-masing, demi UMNO dan perjuangan bangsa.

Dalam kegawatan politik dan ketika usaha untuk menangani efek krisis kewangan global menjadi keprihatinan semua orang, Najib sewajarnya bersyukur kerana beliau bertuah dapat berada di tengah-tengah senario baru politik itu.

Beliau ingin menjadi tenaga yang membujuk dan menyatukan dua negarawan. Dalam proses itu, jika nasib bersamanya, Najib kelak bakal menyatukan sebuah parti yang begitu banyak berjasa dan seterusnya berpeluang merapatkan sebuah negara yang terbelah hebat atas nama politik.

Isyarat daripada Perhimpunan Agung UMNO ke-59 yang berakhir petang semalam ialah Najib, para pemimpin UMNO dan ahli-ahli parti itu sedar bahawa peralihan kuasa daripada Abdullah ialah saat-saat yang perlu disambar. Detik itu telah menyuntik suatu semangat untuk menyemarakkan penyatuan baru Malaysia.

Penyertaan rakyat yang aktif dalam usaha bersama ke arah penyatuan pada zaman yang mencabar ini menjadi simbol ikonik yang menjanjikan kecemerlangan Najib dalam menghadapi gelora politik.

Tegas Najib kepada ahli-ahli UMNO: “Semboyan telah dibunyikan. Ayuh bingkaslah bangun, tawanlah hati rakyat.”

Parti-parti pembangkang yang gegak gempita dengan gendang kemenangan mereka pada pilihan raya umum 8 Mac 2008 kini tahu bahawa semboyan Najib kali ini bukan sebarang semboyan.

Dengan barisan kepimpinan baru dalam UMNO, berserta kembalinya Dr. Mahathir ke pangkuan parti, bersama tertibnya peralihan kuasa antara Abdullah dengan Najib, dan didorong semangat UMNO dan Melayu yang membuak-buak selepas perhimpunan di PWTC semalam, mereka bukan berdepan dengan parti dinosaur.

UMNO selepas 28 Mac 2009 muncul sebagai sebuah parti yang sejarahnya adalah parti politik yang berkuasa dan masa depannya juga nampaknya berada dalam genggaman kuasa.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:18
Asar 4:44
Maghrib 7:27
Isyak 8:43



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.