saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 31/03/2009

Antara realiti dan bayangan

YASMIN Ahmad melalui filem-filem arahannya telah menunjukkan yang dia adalah tukang cerita yang menarik dengan cerita-ceritanya yang kaya dengan unsur kemanusiaan.

Melalui filem-filemnya dia mengangkat kisah keluarga-keluarga yang bahagia dan juga yang derita. Dia juga menuturkan kisah-kisah zaman kanak-kanak yang nakal tapi menyeronokkan dan kisah cinta zaman remaja yang melampaui sempadan kaum.

Melalui filem-filemnya seperti Rabun, Sepet, Gubra dan Mukhsin, Yasmin menonjolkan bentuk keluarga dan masyarakat Malaysia (imagined society) yang dibayangkannya, sebuah keluarga yang hubungannya tidak terikat pada satu kaum, sungguhpun tidak terlalu kaya tetapi terpelajar, berfikiran terbuka dan mampu bercakap dalam bahasa Inggeris yang baik.

Dalam Talentime, Yasmin meneruskan imej keluarga yang dibayangkannya itu. Keluarga Melur (Pamela Chong) boleh dianggap sebuah keluarga yang cukup bahagia. Ibu bapa (Harith Iskandar dan Mislina) yang mesra dan penyayang, adik beradik yang bijak dan mesra serta punya pembantu rumah Mei Ling dari keturunan China (sesuatu yang jarang sebenarnya, tetapi Yasmin memberikan alasan yang wajar tentang kehadiran Mei Ling dalam keluarga itu).

Untuk menyediakan alasan yang wajar tentang ahli keluarga ini yang mampu bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan baik, maka didatangkan ibu Harith, wanita Inggeris dari Yorkshire, England yang pekat loghatnya.

Maka kita dapat melihat bentuk keluarga ini yang tidak terikat dengan tradisi Melayu, berfikiran terbuka dan yang membacakan puisi sebelum makan.

Namun dalam Yasmin menggambarkan sebuah keluarga moden yang terbuka dan melampaui batas kaum, satu perkara yang konsisten dalam filem Yasmin adalah nama-nama watak utama wanitanya tetap mengambil nama Melayu yang tradisi iaitu Melur, Mawar dan Melati yang diambil dari nama bunga sepertimana orang Melayu dahulu.

Dalam filem-filemnya yang terdahulu Yasmin menggunakan nama Orkid. Hal ini memberikan gambaran bahawa dalam keluarga yang terbuka dan punya kecenderungan Inggeris, tetapi masih diikat dengan budaya dan tradisi Melayu yang kukuh.

Tetapi dua buah keluarga lagi diberikan gambaran sebaliknya. Keluarga Hafiz dan Mahesh adalah sebuah keluarga tipikal masyarakat Malaysia yang berhadapan dengan berbagai masalah, suram dan hampir menemui kemusnahan.

Keluarga Hafiz (Mohd. Shafie Naswip) adalah gambaran keluarga Melayu yang berpecah dan melalui masa-masanya yang suram. Wajah Hafiz adalah wajah yang suram walaupun dia sebenarnya bijak dan cukup berbakat.

Bapa Hafiz meninggalkan ibu Hafiz, Embun (Azean Irdawaty) ketika Hafiz masih dalam kandungan dan kini ibunya sedang bertarung dengan maut akibat menderita ketumbuhan otak.

Bukan itu sahaja, di sekolah Hafiz dicemburui oleh rakannya berketurunan Cina, Kahoe (Howard Hon Kahoe). Yasmin memberikan gambaran tipikal tentang kaum ini yang sukar menerima kekurangan tetapi diseimbangkan dengan gurunya Encik Tan yang bersifat toleransi dan akrab pula dengan seorang guru Melayu, Anuar.

Keluarga Mahesh (Mahesh Kishor) juga tidak jauh bezanya dengan Hafiz, yang berdepan dengan kehidupan yang suram dan masalah yang tersendiri.

Mahesh yang bisu dan pekak berhadapan dengan ibunya (Sukania Venugopal) yang hidup dengan penyesalan kerana gagal memahami adiknya , Ganesh yang menyintai seorang gadis dari keturunan India Muslim.

Apabila Ganesh mati akibat pergaduhan dengan jirannya, keluarga ini hidup dalam trauma dan menjadikan si ibu tambah derita.

Tetapi Yasmin sebenarnya tidak membiarkan trauma dan penderitaan berterusan dalam keluarga ini. Mahesh mempunyai Melur dan keluarganya yang cuba memahami penderitaan mereka.

Begitu juga Embun yang menderita sakit, cuba digembirakan oleh Ismail (Jiid Murad) si pesakit misteri di hospital tersebut.

Kesemua perca-perca kehidupan keluarga ini diikat melalui hubungan persahabatan antara Melur, Mahesh, Hafiz dan Kahoe.

Perca-perca kehidupan ini bagaikan memori buat Yasmin kerana Talentime yang sengaja dibezakan ejaan "n" dengan huruf kecil membawakan maksud kisah dan masa, dan bukan hanya tentang pertandingan bakat nyanyian di kalangan para pelajar di sekolah tersebut.

Hal ini kerana cara filem ini dimulakan dengan adegan petikan suiz lampu yang menyalakan lampu kelas dan kemudian syot koridor sekolah dan tingkap yang terbuka dengan lambaian daun ditiup angin dan kemudian filem ini ditamatkan dengan petikan suiz lampu yang memadamkan bilik darjah yang tinggal kerusi-kerusi kosong adalah gambaran sebuah perjalanan kenangan yang datang dan kemudian pergi.

Imej-imej dalam filem ini seakan membawakan period dekad 70-an kecuali penggunaan komputer yang membawa imej kemodenan. Bandar Ipoh yang menjadi latar filem ini sendiri masih banyak tidak berubah fasadnya yang masih mengekalkan bangunan-bangunan lama.

Kekuatan Talentime selain alur cerita dan lagu-lagunya yang penuh emosi, dilengkapkan oleh kecermerlangan pelakonnya terutama Mohd. Syafie Naswip, Sukania Venugopal, Jacklyn Victor (penampilan yang hebat sebagai Bhavani kakak Mahesh) dan Mahesh Kishor.

Biarpun filem ini tidak memaparkan aksi dramatik secara fizikal tetapi konflik emosi yang dipaparkan oleh Sukania, Mahesh, Azean dan Syafie Naswip sudah cukup menggetarkan.

Apabila ada ruang, Yasmin nampaknya tidak lupa menjentik masyarakat tentang realiti hubungan kaum dan sifat kepura-puraan seperti dialog antara Hafiz dan Kahoe, guru yang mengelat semasa mengundi sedangkan pelajar diingatkan tidak menipu serta persoalan nama orang Islam dan agama.

Seperti filem-filemnya terdahulu, dalam filem Talentime, Yasmin terus memperlihatkan keyakinan terhadap satu bentuk keluarga dan hubungan masyarakat Malaysia. Dan secara halus pula dia mengkritik realiti dan permasalahan dalam hubungan tersebut.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.